Menangis dijerit peminat wanita




AKTOR British, Robert Pattinson tidak tahu apa yang dia bakal berdepan apabila meraih watak sebagai puntianak bernama Edward Cullen dalam filem adaptasi yang dinanti-nantikan, Twilight.

Walaupun pernah mendapat pendedahandari segi komersial menerusi produksi gergasi seperti Harry Potter and the Goblet of Fire (2005) dengan menjayakan watak sebagai Cedric Diggory, dia sebenarnya belum bersedia untuk berhadapan dengan populariti impak kemunculannya menerusi Twilight.

Terharu dipilih daripada 5,000 pelakon lain yang menghadiri uji bakat untuk watak Edward, Pattinson, 22, yang dilahirkan di London, England mula menceburi dunia lakonan menerusi Ring of the Nibelungs (2004) dan Vanity Fair (2004).

Bermain gitar dan piano secara profesional, muzik gubahannya juga didengar audiens cerita ini. Meminati Jack Nicholson, Pattinson yang menyukai kehidupan sederhana bakal dilihat dalam filem Little Ashes dan Art in How to Be.

Sebelum menonton lakonannya menerusi kedua-dua filem itu, ketahui pengalaman dan cabaran Pattinson dalam filem arahan Catherine Hardwicke yang turut dibintangi Kristen Stewart, Billy Burke, Ashley Greene, Nikki Reed, Jackson Rathbone dan Kellan Lutz. Berikut petikan temu bualnya.




Adakah anda sudah bersedia untuk berdepan dengan peminat terutamanya golongan wanita?

PATTINSON: Saya tidak pasti. Maksud saya, saya tidak pasti mengapa ia masih mengejutkan saya. Sudah tiga minggu saya berada di bandar berlainan di seluruh dunia dan mendengar peminat menjerit. Namun, setiap masa saya akan berasa cemas. Saya berasa ragu sama ada saya sudah bersedia untuk semua ini (populariti).

Jadi bagaimana anda berdepan dengan jeritan peminat?

Menangis. Itu yang saya lakukan tanpa disedari. Ia seperti satu reaksi yang salah dan memalukan. Dan saya hanya menyedarinya ketika Kristen memberitahu saya. Apabila peminat mula menjerit, saya akan mula menitiskan air mata. Tidak pernah terfikir ia boleh terjadi sebegini rupa.

Secara jujur, pernahkah anda mengambil tahu mengenai komen diri anda di internet? Adakah anda kisah jika mereka menyatakan anda tidak sesuai untuk memegang watak itu?

Ada pada permulaannya. Sebenarnya saya sudah menjangkakannya dan bersetuju dengan pandangan mereka.

Mengapa?

Saya tidak pasti. Ia seperti sudah boleh dijangka. Itu adalah antara sebab yang membuatkan saya takut untuk berlakon dalam filem ini pada mulanya kerana bimbang dengan 'penderaan' kritikan. Tetapi kini saya sudah lali.

Bagaimana dengan keserasian gandingan bersama Kristen?

Bukan sahaja keserasian tetapi telah wujud perasaan terhadapnya. Saya pastinya tidak pernah menjangkakan bahawa saya akan mempunyai perasaan terhadap dia.


PRODUKSI filem yang mencatat rekod kutipan minggu pertama tertinggi pernah diarahkan oleh pengarah wanita di Hollywood.


Apa yang membuatkan dia dan anda gandingan yang mantap?

Dia tidak memandang rendah dan mengumpat mengenai orang lain. Seronok bekerja dengan dia kerana saya juga tidak suka mengumpat. Jadi kami amat serasi. Dan kami sentiasa mempunyai idea yang sama ketika bergaduh dengan penerbit.

Anda ada bergaduh dengan penerbit?

Bukannya bergaduh. Tetapi saya dan Kristen tidak mahu filem ini menjadi terlalu 'remaja'. Lagipun ini adalah sebab mengapa Kristen berada dalam filem ini. Dia mahir dalam lakonan dan apabila saya mendapat tahu bahawa dia akan berlakon dalam filem ini, saya pasti ia bukan sebuah filem remeh dan bodoh. Jadi, banyak percanggahan idea timbul dan kami ingin mencari jalan penyelesaiannya.

Dalam satu babak, anda diikat dengan wayar, di samping perlu mengekalkan ekspresi wajah ceria. Adakah ia mencabar?

Pengalamannya amat 'gila'. Saya tidak minat filem aksi. Jadi untuk berlakon dalam filem sebegini dengan set yang dibina membuatkan saya seperti dalam cerita kung fu. Seperti di Hong Kong dengan segala peralatan dan wayar.

Adakah sukar untuk menguasainya dan anda rasa selesa dengan wayar itu?

Ya. Ini bukan kali pertama saya diikat dengan wayar semasa berlakon. Sebenarnya saya tidak perlu melakukan apa-apa. Tetapi untuk kekal di tengah graviti dan memberikan ekspresi muka yang menawan itu amat sukar. Ia boleh kelihatan palsu atau senang.

Selepas ini anda mungkin akan mengumpul bilangan peminat wanita yang ramai. Bagaimana anda akan berdepan dengan situasi bercinta di Hollywood? Adakah anda akan mengelak atau anda sedang bercinta sekarang?

Saya belum bercinta. Secara teori saya tidak cuba untuk mengelak tetapi ini adalah satu isu yang dihadapi semua artis. Saya tahu orang akan bercerita mengenai saya dan ia membuatkan saya berasa tidak selesa.


PATTINSON tidak menolak ada melahirkan perasaan tidak puas hati dengan penerbit filem Twilight tentang konsep filem tersebut.


Apabila saya cuba bercakap dengan orang terutamanya golongan wanita, mereka selalu memberikan pandangan bahawa saya seorang yang liar dan mempunyai ramai teman wanita kerana status saya sebagai aktor. Jadi, ia adalah kesan bertentangan daripada apa yang anda fikirkan.

Adakah dengan solekan dan dandanan rambut menyediakan anda untuk terus kepada watak anda?

Tidak. Sebenarnya solekan dan dandanan tidak mempunyai banyak kaitan dan tidak membantu. Ada banyak babak di mana saya perlu kelihatan menakutkan dan menjengkelkan. Tetapi solekan dan keadaan rambut atau pakaian tidak membantu sama sekali.

Namun, ada perkara lain yang membantu mengukuhkan watak saya. Selama sebulan setengah menjalani penggambaran, saya tidak berbual dengan pelakon lain kecuali mengenai filem. Dan ini mencipta aura ganjil kerana mereka memang tidak mengenali saya.

Mengapa rasanya puntianak atau budaya puntianak begitu menarik sehingga kini, dan ia tidak pernah pupus?

Mereka amat misteri. Hanya keluar pada waktu malam dan memiliki rahsia gelap. Itu yang menarik minat manusia. Mungkin perkataan puntianak itu sahaja sudah mempromosikan idea misteri kepada manusia. Dan juga tarikan seksual seperti menggigit leher manusia. Ia adalah cerita paranormal dan puntianak boleh menjadi cantik serta merbahaya. Maka, puntianak lebih menarik.

Pernah menerima nasihat daripada orang lain terutamanya mengenai lakonan atau cara berdepan dengan populariti?

Tiada siapa yang pernah memberikan saya nasihat. Tetapi melihat bagaimana saya dan pelakon Harry Potter yang lain, kami masih waras dan normal. Ini mungkin kerana kami berdepan hidup secara 'realiti' dan normal.

Kami melayan semua orang secara adil dan sebenarnya tiada apa yang perlu diubah walaupun selepas popular. Jika anda adalah manusia biasa, anda boleh lakukan apa sahaja yang dikehendaki.


DISEBABKAN keperluan untuk menghidupkan watak-watak puntianak, para barisan pelakon ini dikehendaki menjauhkan dari daripada sinaran matahari.


Adakah ini bermaksud anda secara automatik menandatangani kontrak untuk tiga siri filem Twilight?

Ya saya menandatangani untuk trilogi filem Twilight. Tetapi saya ada membaca bukunya dan mengetahui sekuel kedua dan ketiga Twilight tidak banyak memaparkan Edward. Lagipun usia saya adalah 17 tahun dan saya tidak mampu kekal pada usia itu apabila usia sebenar saya meningkat. Dan saya sudah tidak sabar untuk memulakan penggambaran filem seterusnya.

No comments: