Kontrak Norman ditamatkan




KUALA LUMPUR – Natijah daripada kes khalwat baru-baru ini, kontrak pelakon Norman Hakim dalam drama Gerak Khas akan ditamatkan berkuat kuasa pertengahan Disember ini.

Ironinya, sebaik kontrak Norman ditamatkan, isterinya, Abby Abadi pula dikatakan akan kembali semula mewarnai drama bersiri kepolisan popular itu dengan memegang watak sebagai Asisten Supritendan Aleeza.

Abby akan memulakan penggambaran dalam drama terbitan Skop Production itu sekitar Januari depan.

Kosmo! difahamkan, Norman yang memegang watak ASP Aris dalam drama itu terpaksa ‘dibuang’ kerana penerbit tidak mahu berhadapan dengan risiko ‘tekanan emosi’ antara pasangan suami isteri itu di lokasi penggambaran drama berkenaan.

Rumah tangga Norman dan Abby pada ketika ini sedang bergolak ekoran kes tangkapan khalwat membabitkan Norman dengan seorang pelakon baru, Memey Suhaiza pada 30 Oktober lalu.

Kes berkenaan masih dalam siasatan dan kedua-duanya akan dibicarakan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Memey turut menerima tekanan apabila namanya digugurkan sebagai pelakon utama drama berjudul Issandra yang sepatutnya memulakan penggambaran pada awal November lalu.

Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam mengesahkan kepada Kosmo! watak Norman tidak lagi dapat disaksikan penonton Gerak Khas bermula Februari depan.

No comments: