Melodi hilang kredibiliti?


NORYN


PROGRAM yang menghidangkan perihal dunia seni dalam negara, Melodi baru-baru ini menerima pukulan hebat yang boleh menjejas kredibiliti yang dibina sejak sekian lama.

Semua ini berpunca dalam satu insiden menunjukkan wartawan Melodi yang dikatakan cuba memanipulasi cerita sebenar di sebalik majlis persandingan pelakon Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari, hujung minggu lalu.

Kesilapan ini telah mencetus perasaan tidak puas hati sesetengah pihak yang terlibat bukan saja kepada pengantin baru, Ashraf Sincalir dan Bunga Citra Lestari malah wartawan hiburan lainnya yang menerima tempias dek 'kesilapan' dilakukan rancangan berkenaan.

Tidak hairan hampir seluruh akhbar terkemuka dalam negara membidas Melodi kerana dianggap menghidangkan fakta yang kurang tepat mengenai insiden berkenaan.

Ini menyebabkan pengurusan Ashraf, Beyond DDB bangkit mempertahankan maruah mereka yang dikatakan tercemar ekoran pendedahan berkenaan.

Sebenarnya isu Melodi tersalah fakta seperti ini tidak seharusnya berlaku apatah lagi jika kita melihat kepada kematangan rancangan yang disukai ramai itu.

Melewati usia lebih satu dekad, Melodi tidak lagi memerlukan berita-berita sensasi yang 'murahan' jika niatnya sekadar untuk menaikkan rating penonton.

Kosmo! berkongsi pendapat dengan beberapa artis tanah air yang pernah mengalami perkara sama bagi mendapat ulasan tentang pengalaman buruk yang pernah dilalui selain Ashraf dan Bunga sendiri.

Bukannya mahu memperbesarkan isu ini, sebaliknya perkara yang dianggap tidak patut hadir, lalu meracuni bidang seni ini harus dicegah terlebih dahulu sebelum menjadi lebih parah dan merosakkan nama keseluruhan wartawan hiburan tanah air khususnya.

Salah seorang anggota KRU, Norman Abdul Halim juga tidak terkecuali pernah berdepan dalam situasi ini yang disifatkan tidak adil sama sekali kepada dirinya.


NORMAN


Oleh kerana penggunaan teknik visual yang dilakukan, masyarakat mula membuat kesimpulan awal bahawa dia dan penyanyi terkenal, Misha Omar pernah bersengketa dalam salah satu episod Melodi tahun lalu.

Gambaran mengelirukan yang diselit itu secara tidak langsung dilihat sebagai bukti Pengarah Urusan KRU Music Group (KMG) itu ada perselisihan faham dengan Misha.

"Memang saya akui sudah terbiasa diterjah atau diaju pertanyaan yang sifatnya provokasi. Adakala saya serba-salah kerana kalau saya cakap enggan berikan sebarang ulasan, takut nanti nampak pula implikasi negatif.

"Waktu itu, visual saya dan Misha turut disertakan sekali. Jadi perkara ini seolah-olah mengelirukan peminat, lalu mereka akan buat penilaian bukan-bukan tentang perkara ini.

"Sedangkan saya dan Misha tidak pernah bertelingkah, malah kami juga tiada masalah di antara satu dengan lain," beritahu Norman meluahkan kekesalannya kepada Kosmo!.

Kata Norman lagi, biasanya kalau ada satu-satu gosip yang dihebahkan dalam Melodi tidak benar, dia ada cara sendiri menyelesaikan masalah ini.

"Selepas terkena tempias kontroversi dalam program itu, saya akan bersemuka sendiri dengan wakil Melodi sambil beri penjelasan sebenar.

"Begitupun, apabila sesuatu isu negatif yang sudah disiarkan, maka negatif jugalah pandangan audiens dengan benda yang diketengahkan.

"Saya sedar Melodi selalu ingin cerita sensasi dan eksklusif, namun mereka juga harus fikirkan impak yang berlaku kelak kepada individu terbabit.

"Tidak semestinya untuk meningkatkan bilangan penonton, Melodi harus menghidangkan cerita panas dan kontroversi semata-mata, sebaliknya mereka boleh mencorak program dengan cara lain yang lebih berkualiti.

"Harap mereka dapat mengambil iktibar dengan perkara yang berlaku bagi meraih semula kepercayaan penonton selepas ini," nasihat Norman.

Bagi penyanyi dangdut Ifa Raziah pula, dia pernah mengalami saat 'dimanipulasi' kira-kira dua atau tiga kali dengan Melodi.

"Bukan saya hendak bercakap perkara buruk-buruk tentang Melodi, sebaliknya itu hakikat sebenar yang terjadi kepada saya. Saya pernah diwawancara wartawan Melodi berhubung kes saya bergaduh dengan seorang artis. Memang saya akui ada berikan kenyataan tetapi setelah disunting, apa yang saya ucapkan semasa ditemu bual itu menjadi perkara sebaliknya.

"Sudah pastilah bila penonton lihat visual yang dipaparkan itu, saya nampak teruk di mata umum sedangkan banyak kenyataan positif yang saya berikan sebelum-sebelumnya.


IFA RAZIAH


"Saya jangkakan visual yang keluar lain, namun ia menjadi isu yang tidak sepatutnya hingga saya benar-benar keliru," akui Ifa yang sedang menjalani penggambaran Spa Q musim kedua.

Begitu, wanita berhati waja ini tetap berpendirian bahawa Melodi tetap membantu mempromosi namanya di lapangan seni.

"Selama berbelas-belas tahun melibatkan diri dalam bidang glamor ini, Melodi banyak berjasa kepada saya meskipun adakalanya juga mengaibkan saya dengan cerita tertentu. Benda ini ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Saya tidak mahu memperbesar isu ini. Semua yang dilakukan Melodi atau media lain tidak sesekali mengguris hati saya walaupun cerita yang disiarkan itu tiada kebenarannya," akui Ifa bersikap optimis sepanjang masa.

Sementara itu, penyanyi Noryn Aziz yang juga pernah menerima tempias soalan provokatif Melodi hanya mengambil pendekatan memberikan ulasan secara tenang, tanpa perlu melatah.

"Kadang-kadang, perkara yang ingin ditanya biasa-biasa saja, namun ia boleh menjadi isu besar lebih-lebih lagi apabila diaju soalan dalam nada yang berlainan.

"Macam saya sendiri yang pernah lalui pengalaman ditanya soalan personal melibatkan pengkid, bercinta dengan insan yang tidak dikenali dan masalah undangan nyanyian sebelum ini.

"Awal-awal lagi saya tahu Melodi merupakan program yang menyiarkan benda panas dan kontroversi, ditambah dengan soalan provokasi menjadikan sesetengah isu jadi hangat.

"Bukan menjadi masalah terlalu besar dalam soal ini, sebaliknya saya kurang gemar apabila isu yang tidak benar seolah-olah dijadikan benar secara realitinya," akui Noryn.

Lantaran itu, harapan Noryn kepada Melodi adalah dengan menghasilkan cerita yang seimbang sekali gus mengangkat perkembangan bidang seni tanah air tanpa menonjol gosip keterlaluan semata-mata.

Semoga dengan insiden terbaru minggu lalu memberi manafaat kepada semua pihak agar tidak terus bersikap menangguk di air yang keruh. Nilai profesionalisme dalam dunia kewartawanan perlu terus dijunjung sekalipun dalam keadaan media mahu menjadi 'jaguh' dalam menggerakkan isu-isu sensasi.

No comments: