DI SEBELAH ini lagu dikir barat popular yang menjadi siulan anak muda, bukan setakat orang Kelantan malahan jika ia singgah ke telinga mana-mana pendengar, khalayak tahu ini lagu Halim Yazid, seorang pendikir popular yang besar pengaruhnya.
Ada yang berkerut kening tatkala nama Halim Yazid, menjadi pilihan pengisi halaman Intuisi Cinta minggu ini. Tetapi mengenali latar belakang si pemilik kening yang berkerut itu, sebagai penulis ruangan ini, saya tetap teguh dengan gerak hati.
Rasanya tidak cacat insan yang bangkit dengan seni persembahan dikir barat ini didekati dan digali susur galur hidupnya, mencari yang molek sebagai santapan bersama. Dia bukan tidak popular malah di kalangan 'penganut' dikir barat, namanya mekar bak melor di laman.
Mungkin di mata segelintir peminat industri hiburan tanah air, anak seni dari Pasir Puteh, Kelantan ini bukanlah nama besar. Lagipun dikir barat, hanyalah digilai oleh orang Pantai Timur khususnya Kelantan sahaja. Bahkan si pemilik nama Halim Yazid ini sendiri bukan 'orang besar', kerangka tubuhnya kecil, kurus dan tidak menggerunkan sesiapa yang melihat.
|
|
Namun, itu bukan ukuran besar atau tingginya kedudukan seni Halim di mata peminat. Apa yang lebih membanggakan, daripada seni yang dianggap hiburan kampung, Halim, 48, bersama kudrat dan minat mendalam berupaya mengangkat hiburan rakyat Kelantan itu menjadi popular merentasi daerah sendiri. Bahkan jualan albumnya sendiri ada yang mencatat ratusan ribu unit dan mengalahkan jualan album penyanyi terkenal tanah air.
Tertarik dengan pencapaian yang diraih Halim ini, terutama lagu Tupai yang menjadi lagu tema filem Budak Kelantan yang sedang berlegar di pawagam tempatan, keluarganya didekati untuk mengorek perjalanan yang telah ditempuhi selama lebih 20 tahun membina keluarga bersama wanita bernama Noor Mahani Ahmad ini.
|
|
"Saya tidak ada kisah cinta yang pelik-pelik, yang penting saya dianugerahkan seorang isteri yang boleh ikut saya. Masa kami kenal dulu, saya belum ada kerja. Masa tu musim siswazah menganggur. Jadi, saya nampak dia (Mahani) jenis yang mudah dibawa berbincang, jadi kami buat keputusan nak kahwin sebab tak guna duk berkawan lama-lama," ucap Halim selamba sebelum rangkap ceriteranya disambung si isteri.
Bibir Mahani bergulung senyuman simpul, mungkin kekok dibawa mengimbau kisah lalu yang sangat nostalgik.
|
|
"Pertama kali saya nampak dia (Halim), dia tengah buat persembahan dikir barat di Daya Bumi KL. Masa tu saya baru datang KL, untuk cari kerja lepas SPM. Tapi tak jadi kerja sebab terjumpa dia. Saya boleh tengok dan ikut persembahan dikir barat walaupun saya tak minat sebab saya suka dan sayangkan dia," hela Mahani yang membahasakan diri Kak Ani ini ramah.
Seperti sudah lama kenal, perbualan kami berlanjutan berjam-jam mungkin disebabkan ada hujan lebat yang menemani di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM) ini.
Sama-sama larut dalam emosi yang basah, Halim memberitahu bergelar anak seni, merujuk kepada diri sendiri dan keluarga, seni tidak boleh membuatkan dirinya menjadi orang kaya-raya. Cuma dikir barat yang diceburi sejak kecil ini telah membuatkan diri dan keluarga hidup selesa, itupun setelah merintis laluan berduri.
|
|
Berlainan latar, seorang berpendidikan tinggi dan seorang tidak, seorang dari Pahang dan seorang dari Kelantan, seorang tok juara dikir barat dan seorang sekadar pemerhati, tetapi bawah lembayung kasih mereka menyatu cinta yang mekar di balik gedung seni.
"Saya masih ingat lagi, masa mula-mula kahwin dulu, tak ada kerja tetap, cuma sebagai budak pejabat yang bergaji RM150 sebulan, saya hanya mampu menyewa di rumah setinggan di Sentul, itupun berkongsi dengan pasangan lain.
"Soal pindah rumah jangan cakaplah, dah berpuluh-kali rasanya. Tapi pindah-randahpun tak kisah sebab barang-barang kita orang cuma dua beg pakaian sahaja. Bagi saya sesusah mana sekalipun hidup di KL, susah lagi hidup di kampung, saya memang anak orang susah.
"Masa asyik berpindah-randah, saya terjumpa rakan sekampung di Pasar Seni, saya anggap dia macam abang angkat saya, dia ajak saya tinggal di rumahnya. Jadi, sayapun seronok sebab dapat tinggal di apartmen. Rupa-rupanya, abang angkat saya tu gangster, geng tarik kereta.
|
|
"Pernah ada orang datang bawa parang dan ajak bergaduh, kesnya sebab tarik kereta. Tak lama sayapun pindah tempat lain, takut tak pasal-pasal pula terlibat sama," cerita Halim tertawa mengungkit kisah kesempitan hidupnya diawal perkahwinan.
Benarlah anak itu rezeki daripada Ilahi. Hakikatnya diakui sendiri oleh Mahani. Menurut ceritanya, segala kepayahan beransur-ansur meninggalkan mereka sejak anak pertama Izyanti Amalini dilahirkan.
Tidak lama selepas Izayanti lahir, Halim diterima bekerja tetap sebagai Pegawai Kebudayaan di UM pada tahun 1987.
Dari detik itu, graf kehidupan mereka naik tangga demi tangga. Bekerja sebagai Pegawai Kebudayaan di universiti kebanggaan negara juga memberi bonus untuk gerak dikirnya mengukir rentak.
Menanyakan Mahani tentang hidup yang berpaksikan suami seorang penggiat dikir barat ini, pantas wanita yang berpenampilan sederhana ini berkongsi perasaannya.
"Dulu saya tak tahu apa itu dikir barat tapi lama-kelamaan, semua aspek dikir barat dalam kepala saya. Saya dah faham sangat minat dia, jadi tak ada apa yang nak disanggah. Orang kata dikir barat tak ada faedah tapi bagi saya tak, kami buat duit dengan dikir barat," jelas Mahani yang merasai dan melalui zaman sukar suaminya bergelar penyair jalanan sehinggalah kehidupan yang selesa hari ini bersama Halim Yazid.
Sikap mengikut, tunduk dan patuh kepada setiap butir kata suami mungkin satu daripada rahsia keberkekalan pasangan ini. Akui Mahani sekali lagi, kerana sayang dia ikutkan segala rentak suami.
"Bohonglah kalau kami tak pernah bergaduh tapi hal dikir barat tak pernah jadi punca pergaduhan. Sebesar kuman dia (Mahani) tak menjadikan kegilaan saya pada dikir barat untuk marah atau cemburu dengan saya.
"Mujur sebab dia jenis yang mengikut kata, sebab itulah kami boleh bersama. Sebab saya jenis yang kuat mengamuk kalau orang halang hajat saya," luah Halim sedikit berseloroh.
Menyokong 100 peratus kerja seni suami, Mahani sekaligus bertindak sebagai pengurus peribadi Halim walaupun tidak dilantik secara khusus.
"Tak suruhpun dia buat, tak bayarpun dia uruskan juga, jadi biar dia yang buat, macam jahit kostum dan uruskan hal-hal lain. Setiap kali saya nak buat persembahan dia yang risau, bimbang saya lupa lirik atau sebagainya, tapi hanya di belakang tabir. Pendek kata dia pelengkap hidup sayalah," puji Halim dalam dialek Kelantan.
Cuma satu sahaja tentangan Mahani terhadap kerja seni yang diminati Halim. Kata Halim, Mahani melarangnya agar jangan taksub terhadap penulisan puisi atau sastera.
"Berapa sen sangat nak dapat dari puisi, kalau nak harapkan puisi, makanpun tak cukup. Dulu hidup kami tak ubah memang macam penyair jalanan. Bagi saya, hidup begitu seperti tak ada kesudahan, baiklah dengan berdikir barat begini," kata Mahani menghabiskan bicaranya.
No comments:
Post a Comment