Farish, Keifli jual rupa semata?


MENGAKUI masih belajar, Keifli (kiri) dan Farish menafikan diri mereka hanya bersandarkan kepada rupa semata.


KEDUA-DUA mereka pernah ditemukan menerusi drama bersiri Gaia, antara drama yang paling mendapat tempat di hati penonton saluran Ria (saluran 104, Astro).

Memiliki wajah yang comel, pasti akan ada hati yang tersangkut apabila melihat mereka terutama si gadis remaja.

Baru berusia 24 tahun, masing-masing punyai bakat tersendiri dan saling bersaing memburu tempat di pentas hiburan tanah air.

Dari satu bidang ke satu bidang, mereka berdua tidak jemu untuk menerokai segala peluang yang hadir di depan mata.

Semuanya dilakukan bukan kerana tamakkan populariti tetapi hanyalah untuk mengembangkan bakat serta mencuba nasib dalam apa jua cabang hiburan.

Farish Aziz contohnya, daripada seorang pengacara, kini menjurus ke dunia lakonan manakala si jejaka bernama Mohamed Zulkefli Mohamed Idir atau Keifli pula mula berjinak-jinak dalam pengacaraan.

Meninggalkan Akademi Fantasia musim ketiga dahulu, Keifli dilihat pantas mengaut apa jua peluang dan diberikan kepercayaan membawakan pelbagai watak menerusi beberapa drama.

Juga kepada Farish, dirinya kini mula beradu nasib di luar skop bidangnya iaitu pengacaraan.

Sungguhpun begitu, ada sesetengah pihak yang melontarkan komen negatif mengenai kehadiran mereka di dunia lakonan.

Tidak pandai berlakon, kaku dan hanya menjual rupa semata, itu antara komen-komen yang didengari terhadap Farish dan Keifli.

Bagi mendapatkan pandangan mengenai perkara tersebut, Hits baru-baru ini menemu bual mereka berdua ketika menghadiri sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur.

Farish tidak kisah dikritik

Jejaka berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini sememangnya cukup dikenali menerusi program Ronda 360 Darjah di saluran Ria.

Pernah menjadi hos rancangan Fulus Mania, Trek Selebriti dan Piala Juara-Juara Belia (CYC) 2007, Farish kini mengendalikan program bercorak kanak-kanak iaitu Kuiz Adik Comel di Astro Oasis.

Bagi lakonan, wajahnya sudah mula muncul berlakon menerusi drama Adam pada tahun lalu diikuti Kami The Series, Gaia, Durani, Dunia Anita, Takbir Suci, Sofea Zahrah dan terbaru, Jangan Tinggal Daku yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Melihatkan rezeki yang datang mencurah-curah itu, Farish bagaimanapun enggan untuk mendabik dada.

"Saya akui memang saya tidak ada bakat semulajadi dan tidak pandai berlakon serta mengacara.

"Teringat masa mula-mula berlakon drama Adam. Saya banyak kali ditegur kerana lakonan saya ketika itu agak kayu.

"Tetapi saya tidak patah semangat. Atas segala teguran dan komen, saya bina kembali keyakinan,'' katanya.

Ujar Farish, jika ada yang berpendapat dia hanya menjual rupa semata dan tidak pandai berlakon, anak muda ini tidak pernah memikirkan segala komen itu dalam sudut negatif semata.

"Setiap kali ada peluang baik pengacaraan atau lakonan, saya bukannya dapat peluang itu secara mudah.

"Semua saya lalui dengan menghadiri sesi uji bakat dan saya bersyukur kerana diberikan peluang.

"Saya pun tidak kisah diberikan apa jua watak. Sehingga kini, saya sudah melakonkan watak jahat, perogol, samseng kampung dan anak orang kaya,'' jelasnya.

Di bidang pengacaraan pula, Farish berkata, sepanjang bergelar pengacara di Astro, dia amat meminati program Ronda 360 Darjah yang disifatkannya banyak menawarkannya pengalaman-pengalaman baru sepanjang mengembara ke seluruh Malaysia serta beberapa negara Asean.

"Jika dibenarkan, saya mahu meneruskan program tersebut dengan memfokus kepada lokasi pelancongan baru,'' ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini lagi.

Saya masih belajar - Keifli

Sementara itu, bagi Keifli, kali pertama bergelar pengacara ketika mengendalikan rancangan Program Karyawan Muda di RTM1 beberapa bulan lalu, ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dalam hidupnya.

Mengakui kekok, takut serta gugup, Keifli bagaimanapun mampu mengatasi segala perihal negatif itu setelah mendapat tunjuk ajar daripada Filem Negara Malaysia (FNM).

"Pihak FNM memanggil saya untuk menjalani sesi uji bakat mencari pengacara bagi rancangan berkenaan.

"Memikirkan inilah masanya untuk mencuba segala peluang dan mengembangkan bakat, saya terus memasuki uji bakat itu,'' katanya.

Ujar Keifli, perkara yang paling sukar untuknya sepanjang mengendalikan Program Karyawan Muda adalah menghayati sifat serta gaya seorang pengacara.

"Selepas ini, kalau ada peluang dan tawaran memasuki sesi uji bakat pengacara, saya pasti akan mencubanya,'' jelasnya.

Ditanya mengenai kritikan yang mendakwa dia tidak begitu mahir menguasai lakonan meskipun pernah menimba pembelajaran di akademi seni popular tiga tahun lalu, Keifli berkata, dia masih dalam proses pembelajaran.

"Terima kasih atas kritikan itu. Saya terimanya secara positif.

"Namun, saya bersyukur kerana tetap diberikan peluang untuk berlakon,'' katanya yang kini bebas daripada sebarang ikatan kontrak nyanyian.

Keifli sebelum ini pernah berlakon dalam drama bersiri antaranya Gaia 2, Loghat dan Impian Laili.

Mengenai soal nyanyian, Keifli yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Marsha Milan Londoh memberitahu, minatnya terhadap bidang itu masih mendalam.

"Bukan menyisihkan nyanyian tetapi bidang lakonan mempunyai skop pengalaman yang lebih besar.

"Lagipun, sekarang ini saya sedang sibuk menguruskan perniagaan termasuk kedai makan iaitu Prapp Street di Taman Sri Rampai, Setapak.

"Sudah tiga tahun saya menguruskan kedai makan dengan dibantu oleh ibu bapa,'' ujarnya sambil menambah, Prapp Street menawarkan masakan seperti Moi Sup, Nasi Ayam dan makanan Barat.

No comments: