EKORAN tersalah laporan kononnya salah seorang anggota kumpulan mereka ditahan di selatan Thailand kerana positif dadah, grup rock terkenal yang menggelarkan diri mereka, Jinbara mula disalah tafsir, lantas tohmahan jahat mula menerjah satu persatu.
Marah, kesal, bengang, kecewa dan barangkali bermacam lagi perasaan lain yang sukar digambarkan dengan kata-kata, saat ngeri itulah yang terpaksa dijalani lima pemuda yang menaungi grup ini.
Dan perkara itu sudah semestinya memberi impak yang lebih mendalam kepada individu 'dikatakan' disabit kesalahan tidak pernah sesekali atau minta dijauhi dilakukan dalam hidup iaitu Cepot yang merupakan pemain gitar dan vokal kedua Jinbara.
Kepada pihak media, Cepot atau nama lengkap Mohammad Jeffrry Johari beria menumpahkan emosi yang dipendam selama ini akibat berita kurang tepat yang ditafsir mampu menconteng arang ke muka.
Bahkan, dia beria-ria mahu memperbetulkan segenap tanggapan buruk daripada khalayak terhadap diri dan Jinbara ."Saya sedar masyarakat luar sana memandang serong kepada saya setelah berita itu disebarkan, lebih-lebih lagi dalam kumpulan ini, orang tahu Cepot memiliki rambut paling panjang.
"Dengan perasaan jujur dan ikhlas, saya dah maafkan kepada sesiapa yang pernah tuduh saya terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral ini.
"Cuma saya masih tak dapat lupakan apabila reputasi Jinbara mulai tercalar gara-gara insiden ini lebih-lebih lagi nama grup ini meliputi banyak perkara termasuk bisnes," bicaranya dalam nada yang sarat rasa kekesalan.
Kata Cepot lagi, Jinbara bukan sekadar representatif dalam mempersembah karya dan produk muzik dalam arena seni ini, sebaliknya grup ini memiliki matlamat sendiri dalam melebarkan sayap mereka ke tahap lebih teratas.
"Kami akui nama Jinbara terjejas disebabkan perkara yang melanda ini. Jinbara ada perniagaan sendiri dan kami menjalankan bisnes rumah penginapan, menternak kambing, memelihara ikan dan menjual makanan.
|
|
"Kami juga menerima banyak komen daripada budak-budak yang mengurus penjualan makanan yang menggunakan nama Jinbara bahawa jualan mengalami sedikit kemerosotan," luahnya.
"Kami cukup yakin situasi itu terjadi disebabkan isu yang mengaitkan salah seorang ahli Jinbara dicekup oleh pihak berkuasa.
"Undangan nyanyian juga jadi sedikit perlahan, tidak seperti kebiasaan sebelum masalah ini melanda Jinbara.
"Kami juga harus berdepan dengan klien untuk menjelaskan lebih lanjut tentang situasi sebenar agar kami tidak disalah anggap kelak.
"Dengan ini kami harap sangat agar tiada lagi cerita kurang elok dilemparkan sekali gus kami nak bersihkan nama grup Jinbara," mohon Cepot supaya kondisi Jinbara pulih seperti sedia kala.
Vokalis Jinbara, Tiar pula mengakui keadaan getir yang melanda sejak hampir sebulan lepas itu dilihat sedikit sebanyak menjejaskan nama serta reputasi kumpulan ini setelah dilempar fitnah yang mendatang.
"Hingga ke hari ini, saya masih menerima panggilan telefon daripada orang ramai yang bertanya tentang kebenaran ini.
"Peminat asyik menghubungi saya minta kepastian hingga ada waktunya saya mula jadi bosan jawab telefon sambil memperjelas setiap yang berlaku," akui Tiar sambil menggelengkan kepala, tanda kurang setuju dengan situasi itu.
Korban potong rambut
Bukannya sengaja mencipta publisiti ataupun gimik murahan, sebaliknya sesi memotong rambut Jinbara yang diadakan di depan peminat di perkarangan Pasar Budaya, KL Isnin lepas memiliki signifikan tersendiri.
Paling utama, acara tersebut dilaksana oleh para pendengar bertuah stesen radio ERA bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal muncul tidak lama lagi.
Selain itu, ia dijalankan untuk membersihkan nama mereka akibat laporan mengelirukan, mendakwa salah seorang anggota Jinbara ditangkap polis kerana penyalahgunaan najis dadah.
Kata Tiar, acara menggunting rambut ini begitu signifikan kepada Jinbara setelah banyak masalah melanda mereka.
"Rambut panjang selalu dikaitkan terlibat dengan kegiatan dadah, malah masyarakat bakal memandang serong kepada satu-satu kumpulan yang ada stail rambut macam kami.
"Acara potong rambut ini dilihat macam satu simbolik dalam membersihkan nama baik Jinbara. Dan kami turut mahu jadi idola kepada masyarakat dalam memerangi najis dadah," tuturnya.
Tegasnya lagi, "Tiada sebarang istilah atau pengertian mahu kaitkan acara ini sebagai mendapatkan publisiti murahan kerana kami dah mempunyai pengikut tersendiri.
"Buat apa kami nak tampil dengan gimik berbentuk sebegini sedangkan saya menyimpan rambut semenjak dua tahun lalu manakala Cepot pula dah hampir 18 tahun.
"Kami berani ambil risiko mengubah identiti yang sebelum ini dikenali peminat demi memulihkan semula nama Jinbara yang tercalar dek cerita tak berasas itu."
Cepot, menjadi insan paling beremosi apabila ditanya tentang perkara memotong rambut ini.
"Saya buat semua ini sebab nak beritahu kepada masyarakat agar mereka yakin dengan produk kami, malah Jinbara turut lakukan pengorbanan dalam pelbagai aspek demi peminat.
"Tidak dinafikan, pada awal ketika dihubungi secara peribadi untuk memotong rambut, saya seakan enggan bersetuju dan hampir mengalirkan air mata," akuinya.
No comments:
Post a Comment