Kemunculan semula filem 3D


BEBERAPA kanak-kanak berdiri di depan papan tanda filem animasi tiga dimensi (3D) di luar sebuah pawagam di Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Filem tiga dimensi (3D) yang pernah menyebabkan penonton berasa loya kini membuat kemunculan semula dan dijangka menjadi era baru industri perfileman pada masa depan.

Dengan kemajuan teknologi digital membolehkan studio-studio penerbitan menggunakan teknik kesan khas dan projektor canggih bagi menghasilkan filem 3D yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif DreamWorks Animation, Jeffrey Katzenberg yang menghadiri Festival 3DX di Singapura pada minggu ini berkata, industri perfileman telah memasuki satu era baru.

"Terdapat dua revolusi hebat dalam sejarah perfileman iaitu daripada filem bisu kepada filem bersuara dan daripada filem hitam putih kepada filem berwarna penuh.

"Kini industri sejarah perfileman melalui revolusi ketiga dengan kehadiran teknologi 3D," katanya.

"Filem-filem 3D kini membuat kemunculan semula, terima kasih kepada kemajuan inovasi dan teknologi," katanya.

Teknologi 3D membolehkan penonton merasa pengalaman berlainan apabila menjadi sebahagian daripada filem yang ditayangkan.

Sebagai contoh, para penonton boleh melihat sesuatu objek di dalam filem seolah-olah terbang di hadapan mereka.

Sejak kejatuhan jumlah penonton, studio-studio penerbitan filem kini menawarkan pengalaman baru dengan visual dramatik untuk menarik kehadiran penonton ke pawagam.


SEORANG individu memakai cermin mata tiga dimensi (3D) di luar sebuah pawagam di Singapura kelmarin.


Kejatuhan jumlah penonton ke pawagam berlaku ketika peningkatan mendadak cakera digital video (DVD) dan pelbagai format hiburan rumah.

Para penonton masih perlu memakai cermin mata khas untuk menonton filem 3D tetapi kini gajet itu didatangkan dengan lensa canggih dan bentuk yang lebih menarik.

Teknologi digital juga menghasilkan warna terang yang lebih bersih dan imej yang lebih jelas sekali gus memberi pengalaman baru kepada penonton tanpa berasa pening atau loya.

Katzenberg berkata, filem-filem 3D yang dihasilkan sekarang jauh lebih baik berbanding awal kemunculan teknologi itu di mana penonton terpaksa memakai cermin kertas besar berwarna merah dan biru.

"Secara jujur, filem-filem 3D ketika zaman itu sangat teruk dan teknologinya masih di peringkat primitif," katanya.

"Filem 3D yang dihasilkan juga kelihatan kabur menyebabkan sebilangan penonton berasa pening dan loya.

"Filem-filem 3D ketika itu hanyalah sekadar satu gimik murahan semata-mata untuk menarik penonton ke pawagam," jelasnya.

Katzenberg juga menayangkan dua klip video filem animasi 3D terbaru DreamWorks, Monsters vs Aliens yang mendapat komen memberangsangkan daripada pengarah dan penerbit filem di festival itu.


IMEJ ini menunjukkan salah satu adegan dalam filem animasi tiga dimensi Bolt keluaran Walt Disney.


Presiden Walt Disney Studios Motion Pictures Group, Mark Zoradi berkata, pihaknya membuat pelaburan besar dalam filem-filem 3D.

Syarikat itu sebelum ini telah menghasilkan empat buah filem 3D iaitu Chicken Little, Meet the Robinsons, The Nightmare Before Christmas dan Hannah Montana.

Filem animasi 3D kelima syarikat itu, Bolt dijadualkan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Walt Disney juga merancang untuk menghasilkan 17 buah filem dalam tempoh tiga tahun dan 11 daripada itu adalah filem animasi 3D manakala enam filem lagi adalah berbentuk aksi hidup 3D.

Presiden Studio perfileman IMAX, Greg Foster juga berkata, syarikat itu turut melihat 3D sebagai pasaran masa depan yang luas.

"Bagi kami, 3D masih menjadi satu pasaran yang berkembang pesat pada peringkat antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun, cabaran utama teknologi itu ialah meningkatkan taraf pawagam di seluruh dunia supaya mampu menayangkan filem digital 3D.

Di Amerika Syarikat (AS), hanya 1,400 daripada 30,000 buah pawagam mempunyai kemampuan menayangkan filem-filem digital 3D.

Di seluruh dunia, hanya 700 buah pawagam yang mempunyai teknologi untuk menayangkan filem-filem digital 3D.

Walaupun pelbagai kesukaran dan belanja besar untuk menaik taraf pawagam di seluruh dunia tetapi Hollywod yakin 3D merupakan masa depan industri perfileman.

Sejumlah pengarah terkenal termasuk, Robert Zemeckis, James Cameron, Steven Spielberg, George Lucas dan Peter Jackson terlibat dalam projek-projek 3D. - AFP

No comments: