KUALA LUMPUR: “Saya tidak faham Fahrin (Ahmad) tiba-tiba menengking saya di rakaman Sehati Berdansa itu,” demikian luahan penyampai terkenal radio Era, Linda Onn.
Malah, katanya, perbuatan Fahrin itu memalukannya di hadapan peserta, kru serta penerbit program berkenaan.
Linda juga berjumpa dengan penerbit selepas rakaman itu dan meminta mereka memberitahu Fahrin supaya dia perlu menghormatinya sebagai pengacara bersama.
“Saya tidak mahu kejadian seperti itu mengganggu kelancaran Sehati Berdansa selepas ini. Penerbit juga memberitahu saya mereka sudah maklumkan pesanan terbabit kepada Fahrin.
“Selepas kejadian itu, saya bekerja seperti biasa dengan Fahrin. Kami juga boleh berbincang mengenai skrip, tapi bukan berkaitan hal peribadi.
“Bagi saya hubungan kami sudah tinggal sejarah dan tidak perlu diungkit lagi. Saya juga sudah kikis semua memori hubungan kami dulu,” katanya ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam.
Fahrin dilaporkan mengaku dia meninggikan suara terhadap Linda ketika menjayakan rakaman Sehati Berdansa pada minggu kedua.
Dia juga mengesahkan berlaku perselisihan faham kecil pada rakaman itu seperti dilaporkan dalam e-mel yang tersebar bertajuk ‘Fahrin tidak profesional’ kepada wartawan hiburan akhbar tempatan.
Menurut Linda, dia meminta Fahrin bersikap profesional ketika bekerja dengannya dalam Sehati Berdansa.
“Saya akui kami pernah mesra sebelum ini, tapi ketika bekerja masing-masing perlu bersikap profesional. Kalau boleh jangan ‘buka mulut’ hal peribadi ketika di pentas.
“Jangan fikir lagi saya bekas ‘kawan mesranya’ ketika dulu. Lupakan semua cerita itu. Sudah terlalu banyak cerita buruk yang menyalahkan saya. Saya juga hanya mendiamkan diri selama ini,” tegasnya.
Bagi Linda, kejadian yang berlaku itu sudah cukup memberi keadilan kepada mereka berdua.
Dia berharap cerita ‘teman tapi mesra’ itu ditutup dan tidak diungkit.
“Saya juga tidak bermusuh dengannya dan boleh bekerjasama dengannya sehingga Sehati Berdansa selesai. Lebih penting, saya dapat menghabiskan program realiti itu sebaik mungkin,” katanya.
Menjawab soalan sama ada dia mengetahui identiti penyebar e-mel itu yang dianggap untuk memburukkan Fahrin, kata Linda, dia langsung tidak terbabit, malah tidak mengetahuinya.
“Saya hanya mendapat tahu mengenai e-mel itu menerusi rakan wartawan,” katanya yang turut meminta nasihat daripada kakitangan kanan di Astro kerana mereka juga berada di tempat kejadian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment