Jackman paling seksi




LOS ANGGELES – Majalah People menobatkan aktor Australia, Hugh Jackman (gambar) sebagai lelaki paling seksi di dunia dalam edisi tahunannya yang sebelum ini meletakkan George Clooney dan Brad Pitt di tangga teratas senarai jejaka kacak serta sasa Hollywood.

Gelaran itu diberikan bukan semata-mata bersandarkan wajah kacak dan tubuh berotot Jackman yang berusia 40 tahun dan memiliki ketinggian 1.88 meter.

“Jackman memiliki pakej sebenar - dia seorang lelaki yang tidak meninggi diri, romantis dan menawan. Dia jauh lebih menarik berbanding penampilan di layar perak - itulah seksi,” kata Pengarang Eksekutif People, Elizabeth Sporkin.

Majalah berkenaan memberitahu Jackman memikul senjata sebaris dengan kalangan aktor filem aksi terbaik Hollywood dan menyanyikan balada romantik kepada isteri yang dikahwininya selama 12 tahun, Deborra-Lee Furness.

Selain itu, aktor kacak tersebut juga pandai memasak dan dia akan membuat penkek kepada anak-anaknya Oscar dan Ava jika memiliki masa lapang, lapor People.

Pelakon itu memukau para penonton dalam berbagai-bagai filem daripada yang bercorak aksi seperti X-Men sehinggalah filem yang mendapat pujian kalangan penggiat pengkritik seni, The Prestige.

Jackman juga memenangi anugerah Tony iaitu anugerah tertinggi teater Broadway kerana lakonannya dalam pementasan The Boy from Oz. – Reuters

No comments: