SAAT dirinya dijulang sebagai juara Akademi Fantasia musim ke empat (AF), nama Faizal atau Mohammad Faizal Ramly pantas saja meraih perhatian.
Malah kehidupannya juga bertukar 360 darjah daripada sebelumnya. Jika dulu dia bertungkus lumus sebagai seorang buruh dan peniaga pasar malam, tetapi kini dia bergelar penyanyi dan dipuja banyak.
Begitu sekali perubahan yang diperoleh Faizal. Tetapi harus diingat bukan semua juara akan kekal popular sehingga ke hari ini. Begitu juga halnya jejaka kelahiran Terengganu ini yang dilihat gagal mengekalkan pengaruh popularitinya.
Akhir-akhir ini, populariti Faizal dilihat merundum selain tidak banyak khabar berita tentang dirinya menjadi agenda media. Malah ada yang melihat Faizal seakan-akan hilang daripada direktori dunia hiburan tempatan.
Banyak juga pihak menuding jari ke arah tuan empunya badan, kerana dia dikatakan tidak memiliki disiplin dan menyebabkan banyak pihak enggan lagi bekerjasama dengannya.
Perkara ini tidak secara langsung menyebabkan nama Faizal terus turun daripada carta artis popular negara, walaupun pada asalnya dia merupakan juara program realiti paling popular.
Peluang bertemu dengannya pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-24 baru-baru ini merungkai segala persoalan yang bersarang di fikiran.
"Saya masih seperti dulu, sibuk menyanyi, masih lagi banyak tawaran persembahan cuma sekarang ini kurang publisiti saja.
"Saya tidak ada album baru, jadi tidak ada cerita yang mahu diberitahu. Saya rasa baik saya senyap saja dan buat kerja seperti biasa," ujarnya.
Menurutnya lagi, dia sedar bahawa dirinya bukan lagi seorang penyanyi popular seperti diawal kemunculan dulu. Namun, baginya itu bukanlah perkara yang merunsingkan kerana sungguhpun tidak lagi popular, dia masih lagi boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
"Saya tidak kisah kepada populariti. Pada saya buat apa popular kalau tidak ada kerja atau tawaran persembahan. Biar senyap asalkan kerja masih berjalan seperti biasa. Kira macam padi, diam-diam berisi, saya mahu begitu. Sekarang ini pun saya masih sibuk dengan persembahan pentas dan pelbagai aktiviti seni," terangnya.
|
|
Ditanya apa pihak yang mempertikaikan tahap profesionalisme dirinya selaku seorang penyanyi, tetapi kata Faizal dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik dan salah faham adalah perkara yang tidak mampu untuk dielakkan dari terjadi.
"Saya tahu media sering mengatakan saya artis yang tidak berdisiplin, susah beri komitmen kepada mereka walaupun sebenarnya kalau saya jumpa media saya sebolehnya mahu tunjukkan yang terbaik.
"Mungkin dulu berlaku sedikit salah faham dan tiba-tiba perkara itu menjadi besar, saya mahu buat macam mana. Saya juga manusia biasa yang bukan sempurna, sehingga hari ini saya masih dalam proses pembelajaran sebagai seorang anak seni," tuturnya jujur.
Dia yang kini bergerak sendiri tanpa bantuan seorang pengurus memberitahu, perkara yang terjadi pada awal pembabitannya dalam dunia seni banyak mengajarnya menjadi seorang yang lebih tabah.
"Walaupun sudah dua tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, saya masih merasakan diri saya kecil kerana banyak lagi perkara yang saya tidak tahu.
"Apa pun saya selesa tanpa menggunakan khidmat pengurus. Bukan saya tidak suka, tetapi untuk mencari yang benar-benar serasi dan memahami kita sangat susah."
Jelasnya lagi, walaupun timbul cerita yang kurang enak tentang dirinya yang dikatakan sukar untuk bekerjasama dengan mana-mana pengurus, dia hanya mampu berdiam diri.
"Dulu saya ada pakai pengurus, dan apabila dia berhenti untuk sambung pelajaran, saya pun okeylah. Tetapi lepas itu mula keluar cerita macam-macam sebab soal pengurus saya berhenti.
"Orang luar yang tidak tahu cerita sebenar, cepat membuat andaian yang bukan-bukan, sedangkan hubungan saya dengan mereka yang pernah menjaga saya sangat baik walaupun mereka telah berhenti.
"Saya ada satu prinsip kalau orang buat jahat pada saya, saya tidak akan balas. Saya tidak kisah. Paling penting saya selalu ingat dan hargai penyokong yang tidak henti-henti menyokong saya sejak hari pertama di AF," katanya lagi.
Selain itu, Faizal juga dikatakan seorang yang sukar didekati media kerana kegagalannya untuk mengangkat telefon jika dihubungi. Namun, Faizal mempunyai jawapannya, mengapa dia bertindak sedemikian.
"Saya memang ada telefon, tetapi saya bukan jenis yang suka memegang telefon 24 jam, jika ada nombor yang saya tidak kenali, saya tidak akan jawab panggilan tersebut. Kalau diberitahu terlebih dahulu saya pasti akan memberi kerjasama.
"Dan jika saya sibuk, saya juga kadang-kala tidak sempat untuk menjawab panggilan. Saya harap jangan kerana kegagalan saya untuk menjawab beberapa panggilan saya terus dikatakan tidak profesional," luahnya minta dimengerti.
Dia yang enggan mengesahkan mengenai perkembangan terbarunya itu hanya memberitahu: "Buat masa ini saya tidak boleh beritahu. Memang ada dapat tawaran tetapi saya masih memikirkannya. Kalau jadi, ia satu lagi tambahan dalam karier saya."
Selain itu, dia yang masih mempunyai kontrak selama setahun dengan Maestro memberitahu, selepas kontraknya tamat berkemungkinan besar dia akan bergerak sendiri pula dan tidak lagi bergantung kepada syarikat rakaman berkenaan.
"Selain menyanyi dan berlakon, saya juga memasang impian untuk membuka syarikat produksi sendiri. Kalau ia benar-benar terjadi itulah aset saya di masa hadapan," beritahunya lagi.
Dalam pada itu, Faizal sempat juga membicarakan tentang album terbarunya. Masih lagi konsep yang sama seperti album terdahulu, dia kini sedang memikirkan lagu yang dirasakan sesuai untuk dimuatkan dalam album tersebut.
"Banyak lagu yang diberi oleh komposer, jadi kena pilih dengan teliti, kalau tidak ada aral melintang bulan puasa nanti saya akan masuk studio. Kira berehat sambil bekerja," tuturnya.
"Saya tidak ada hasrat lain selain terus mengharapkan kerjaya saya untuk berkembang lebih baik daripada hari ini. Kalau disebut tentang impian, saya ingin menjadi seperti Allahyarham Sudirman tetapi rasanya saya masih jauh lagi untuk jadi seperti itu.
"Itu cita-cita sahaja, bila dan bagaimana mahu merealisasikan impian itu saya harus letakkan usaha dan kemudian terserah kepada peluang yang datang. Nyanyian ini satu anugerah yang Allah kurniakan kepada saya, jadi saya harus gunakan ia sebaik mungkin," katanya.
Dalam majlis yang dianjurkan oleh kelab peminat Faizal itu, keluarganya termasuk ibunya Zanidah Awang, turut didatangkan khas daripada Terengganu untuk memeriahkan lagi suasana.
"Seronok sebab mereka masih hargai saya, lagipun ibu dan keluarga saya turut datang sekali, ini sungguh bermakna buat saya," bicaranya jujur.
Dia yang sempat menyanyikan beberapa buah lagu secara untuk menghiburkan peminat malam itu mengatakan tiada yang lebih bermakna buat dirinya selain sokongan padu yang diterima daripada keluarga dan peminat.
"Walau buruk mana cerita yang timbul tentang saya, hanya mereka yang masih percaya dengan bakat dan diri saya, kerana itu saya masih berdiri di sini hari ini," katanya.
No comments:
Post a Comment