Erma terima ujian


ERMA FATIMA bersama barisan pelakon-pelakon yang menjayakan lapan drama keagamaan terbitan syarikatnya.


PERCUBAAN berani! Pelakon dan pengarah filem Erma Fatima dengan semangat dan kewibawaannya menerbitkan lapan drama secara serentak walaupun pelbagai onak duri terpaksa ditempuhi.

Rintangan yang dilaluinya sepanjang menerbitkan drama-drama ini tidak langsung untuk meneruskan pembikinan drama tersebut supaya ia dapat disiapkan sepenuhnya dan menjadi pilihan tontonan masyarakat.

Namun, di sebalik keriangan riak wajahnya kerana dapat melancarkan drama-drama tersebut, sebenarnya hati Erma risau kerana terdapat sebilangan dramanya itu tidak dapat disiapkan sepenuhnya.


BAKAT pelakon Fahrin Ahmad dapat ditonton menerusi lima drama terbaru terbitan Erma Fatima.


Ia gara-gara tidak mendapat pelepasan permit bagi sesi pengambaran beberapa slot di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Segala usaha telah pun dijalankan untuk mendapat kebenaran menunaikan hajat Erma dan produksinya untuk rakaman di sana.

"Saya dah usaha sepenuhnya untuk dapatkan juga kebenaran mengadakan sesi pengambaran di Kota Mekah selama tiga minggu tetapi sehingga kini keputusan permintaan kami belum terjawab lagi," jelasnya yang masih lagi bersabar menanti permintaannya itu.

Jelas Erma dengan tenang, hanya dua drama sahaja ia tidak menjalani pengamaran di Kota Mekah iaitu drama Jangan dan Khalifah, selebihnya memaksa dirinya mendapatkan juga permintaan yang dinanti-nantikan itu.

Ditanya pula bagaimana dengan nasib drama-drama tersebut sekiranya permit tidak dapat dikeluarkan?

Lantas Erma memberitahu, segala-galanya perlu ditempuhi dengan reda dan mungkin drama itu tidak dapat ditayangkan seperti mana yang telah dijadualkan sebelum ini.




"Saya akui ini merupakan masalah yang agak berat untuk saya tempuhi kerana tanpa slot di Mekah drama ini mungkin tidak dapat ditayangkan.

"Memang susah untuk saya dapatkan permit ini kerana sesi pengambaran ini bukan hanya di luar sekitar Kota Mekah tetapi kami memerlukan pengambaran di dalam Masjidil Haram. Itu yang menyukarkan," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, sikap Erma harus dipuji kerana tidak berputus asa malah dia sendiri sudah berpengalaman mengadakan sesi pengambaran di sana menerusi drama Mencari Nur Khadijah dua tahun lalu turut mendapat kesulitan sebelum diluluskan oleh pihak berkuasa.

Bajet besarMelihat kepada perancangan Erma yang ingin membawa para pelakonnya ke Mekah mungkin terlintas difikiran, bajet yang terpaksa dikeluarkan sudah tentu mencecah puluhan ribu ringgit.

Akui Erma memang benar segala bajet yang dikeluarkan bukan seperti kos pengambaran biasa malah membabitkan ratusan ribu ringgit untuk sesebuah produksi. Untuk drama Tasbih Cinta misalnya, kira-kira RM600,000 telah dikeluarkan.




"Memang kita tidak nampak lagi keuntungannya tetapi saya bersedia menanggung segala kerugian untuk drama-drama ini. Ini yang dinamakan perniagaan harus terima apa sahaja dan jangan putus asa untuk mencuba," ulasnya lagi dengan penuh semangat.

Tetapi Erma turut bersyukur kerana drama Qasidah Buat Laila sudah mendapat perhatian siaran Astro Oasis manakala stesen televisyen RTM pula memilih drama Tetamu Allah manakala enam lagi belum mendapat perhatian mana-mana stesen TV.

Antara drama-drama yang mendapat sentuhan Erma dengan kerjasama terbitan Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd dan Teratak G2 Sdn. Bhd ialah Nur Kasih Di Jabal Rahmah, Andalusia dan Kau Mencipta Dosaku.

Sementara itu melihat barisan pelakon yang menjayakan drama-drama tersebut, ada yang mengandaikan Erma lebih selesa menggunakan pelakon yang sama. Adakah untuk mengurangkan kos atau sebaliknya?

Erma dengan jawapannya sendiri menjelaskan, sesi pengambaran menjadi lebih mudah menggunakan pelakon yang sama memandangkan Erma ingin mengikat kontrak yang agak lama bersama para pelakon pilihannya.

Barisan pelakon yang menjayakan drama-drama ini ialah tidak ketinggalan penyanyi terkenal Ziana Zain, Fahrin Ahmad, Julia Ziegler, Didie Alias, Rashidee Ishak dan ramai lagi.


KEUPAYAAN Ziana Zain terserlah menerusi drama Nur Kasih Di Jabal Rahmah.


Memilih mengetengahkan Ziana Zain sebagai salah seorang pelakon drama terbitannya, Erma mempunyai sebab tersendiri.

"Saya suka melihat watak Ziana yang serba boleh melakonkan pelbagai watak. Malah bekerja dengannya cukup senang tidak banyak kerenah walaupun dia merupakan seorang artis popular," pujinya dengan bersungguh-sungguh.

Melihat kepada tajuk drama yang dipilihnya itu sudah tertera menceritakan konsep drama tersebut berbentuk semangat keislaman. Tetapi ia tidak perlu disalah sangkan dengan hanya melihat tajuk sahaja.

Sememangnya turut menggunakan konsep keislaman seperti menggunakan bahasa Arab dan pelakon yang memakai purdah tetapi masih menyelitkan unsur kebaratan yang semakin mempengaruhi anak muda masa kini.

Merasakan tanggungjawab baginya untuk mengetengahkan drama berunsur sebegini, Erma menyifatkan industri hiburan masih ketandusan idea drama-drama bercorak sedemikian.


UMIE Aida dalam salah satu babak drama Jangan.


"Kita lihat sahaja pasaran hiburan kini dipenuhi dengan drama atau filem bercorak tahyul, hantu dan kepentingan duniawi semata-mata.

"Ianya tidak salah tetapi cuba kita pelbagaikan lagi dan menerbitkan cerita yang berunsurkan akhlak remaja masa kini yang semakin terikut-ikut dengan trend barat," katanya yang telah memulakan pengambaran drama-drama tersebut sejak bulan Februari lalu.

Perkara sebegini berlaku kerana kurangnya kerohanian dalam identiti masyarakat melayu lantas mereka mudah dipengaruhi dengan sewenang-wenang maka Erma yang mempunyai banyak idea untuk diketengahkan tidak melepaskan peluang beramal dengan memaparkan drama-drama berbentuk keislaman.


No comments: