50 tahun yang menakjubkan - Michael Jackson setengah abad


KEMUNCULAN terbaru Michael Jackson dengan wajah yang cengkung dan terlalu kurus mengejutkan banyak peminat.


AURA bintangnya bermula semenjak usia kecil lagi apabila di puja oleh seluruh pelusuk dunia.

Sehinggalah terjebak dengan pelbagai skandal yang memualkan, termasuk pencabulan terhadap kanak-kanak, dia tidak dapat melarikan diri daripada dilihat dengan imej sebagai seorang penyanyi bermasalah.


MENYAMBUT ulangtahun dengan anak-anak sambil menonton kartun bersama.


Pun begitu, King of Pop, Michael Jackson menyambut dan meraikan ulang tahun ke-50nya semalam, dalam perasaan penuh kesyukuran meskipun berhadapan dengan pelbagai ejekan dan penghinaan.

"Ya, saya telah melalui kehidupan yang sangat menakjubkan," demikian lapor Good Morning America dalam satu temu bual eksklusif dengannya.

Dalam perbualan melalui telefon dengan media berkenaan dari rumahnya di California, Jacko memberitahu bahawa dia menyambut kehadiran usia 50 tahun dengan mendengar muzik James Brown.

"Juga dengan sebiji kek kecil bersama anak-anak dan menonton beberapa siri kartun." katanya sambil tertawa riang.

Apakah usia 50 tahun akan menjauhkan dia daripada pelbagai pandangan negatif? Jacko sendiri memberitahu dia kurang pasti.

" Tidak semestinya," kata Jacko sambil menambah "Kita tidak akan tahu. Mereka boleh mencari apa saja yang mereka mahu cari tentang diri anda," katanya.


MUZIK dan lagu James Brown menemani Michael ketika detik-detik menjelang ulangtahun kelahirannya.


Apa pun di usia emas, kata Jacko dia pasti akan terus mengisi ruang dalam dunia hiburan dan mahu melangkah ke depan dengan penuh gaya.

"Sekarang saya rasa lebih bijak dan berpengalaman luas. Satu lagi, sudah semestinya saya masih terlalu muda," katanya lagi.

Usia 50 tahun ternyata bukan saja diraikan oleh empunya diri, tetapi juga banyak bintang dari seluruh dunia dijangka meraikan ulang tahun Michael.

Supermodel Tyson Beckford berkata, "Dia sangat istimewa. Saya tak kisah apa juga yang berlaku kepada kehidupan peribadinya. Dia seorang anak seni yang hebat. Pada saya dia akan selamanya menjadi King of Pop," katanya.

Lalu tidak hairan meskipun selepas 40 tahun dalam bisnes seni, Jacko masih boleh berdiri sama tinggi dengan artis muda seperti Usher dan Chris Brown.


KELLY ROWLAND berharap Michael dapat muncul dengan karya terbaru selepas menyambut ulangtahun yang ke-50 semalam.


Chris Brown memberitahu " Dia mempunyai kerjaya yang cukup hebat dan saya meletakkan dia ditempat paling hebat," katanya.

Di usia emas juga akan menyaksikan kembalinya Jacko dengan karya terbaru tidak lama lagi dan bakal bekerjasama dengan bintang seperti Akon dan Ne-Yo.

Tentunya banyak peminat bukan sahaja di Hollywood malah diseluruh dunia menantikan kehadiran karya terbarunya itu.


TYSON BECKFORD menyifatkan Michael mempunyai kelebihan yang tidak ada kepada banyak penyanyi.


Bintang rap dan penerbit Ice Cube memberitahu: "Saya tahu dia akan membuat kemunculan semula."

Bekas anggota kumpulan Destiny's Child, Kelly Rowland memberitahu

" Michael sudah semestinya perlu membuat kemunculan semula. Dia sangat mengujakan dan tentunya muncul dengan benda baru. Bukankah itu selalu menjadi keutamannya?"

No comments: