Penyatuan realiti dan maya




BERPELUANG melawat lokasi penggambaran filem The Storm Warrior 2 di Bangkok, Thailand membuka mata penulis bagaimana sebuah produksi antarabangsa dibikin. Lokasi penggambarannya, Pak-Gret yang mengambil masa satu jam dari Bangkok merupakan gabungan beberapa gedung besar.

Dijadikan sebagai studio penggambaran, dua daripada studionya mempunyai keluasan 24,000 kaki persegi dan satu daripadanya adalah 12,000 kaki persegi.

Studio kecil dimuatkan dengan set tokong Cina. Dan semasa tiba di lokasi, hanya satu studio besarnya sahaja yang siap dibina dengan set berlatarbelakang hutan khatulistiwa dan hutan bersalji.


AARON (kiri) dan Ekin menjayakan satu babak pertarungan yang berlatar belakangkan musim salji.


Di bawah cahaya panas 40 darjah celsius dan menunggu hampir sejam dengan badan berpeluh, wartawan Malaysia, Singapura, Hong Kong, China, Taiwan dan Thailand yang dikumpul bersama diberi laluan menyaksikan rakaman salah satu babak dalam filem yang diterajui oleh Ekin Cheng dan Aaron Kwok.

Ada sebab mengapa filem ini dirakamkan seratus peratus di dalam studio. Pengarahnya, adik-beradik Pang, Danny dan Oxide memilih untuk menggunakan teknik skrin biru dan kepadatan efek CGI yang dikendalikan oleh pasukan yang pernah menjayakan filem Recycle.

Diadaptasi daripada komik tulisan Ma Wing Shing, filem ini yang memulakan penggambaran 7 April lalu akan mengambil masa empat bulan. Kemudian durasi selama setahun setengah akan dipakai untuk proses pasca produksi. Maka peminat hanya berpeluang menyaksikan filem ini pada penghujung tahun 2009.

Filem pertamanya, The Storm Riders dibikin pada sedekad lalu. Namun, atas masalah hak cipta, sekuel ini diberi judul baru, The Warriors 2. Kini dengan kecanggihan teknologi komputer, filem ini direvolusi sepenuhnya. Mengambil filem barat, 300 sebagai contoh, sekuel ini mengutamakan gabungan realiti dan maya.

Membawa dunia Cina purba kepada audiens The Storm Warriors 2 yang menggunakan bajet AS$12 juta (RM37.5 juta) bukan sahaja bercerita mengenai pertarungan, aksi, dendam tetapi juga kisah cinta. Berkisarkan mengenai panglima jahat Jepun, Lord Godless (Simon Yam) yang ingin menguasai China.


FILEM ini menggunakan teknik skrin biru sepenuhnya.


Dia telah mengurung ramai pengamal seni mempertahankan diri dan menakluki mereka. Antaranya termasuk Cloud (Aaron) dan Nameless (Kenny Ho). Wind (Ekin) datang menyelamatkan mereka dan cedera kerana diserang Lord Godless.

Chu Chu (Tiffany T) juga cedera apabila dia cuba menahan serangan Lord Godless ke atas Cloud. Chu Chu cedera parah dan Cloud bersumpah untuk membalas dendam. Melatih dirinya untuk memperhebatkan lagi seni mempertahankan diri, dia bertemu dengan gadis yang mengubah hidupnya, Dream (Charlene Choi).

Manakala latihan Wind telah diganggu apabila cuba menyelamatkan Dream dan selepas beberapa pembunuhan, Wind menghilangkan diri. Lord Godless pula mengumpulkan pasukannya di dalam gua Heaven dan mengumpan Wind (yang menjadi separuh jahat akibat tersalah melatih seni mempertahankan diri) dan Cloud untuk bertarung.

Bertemu dengan Oxide Pang dan Danny Pang, Aaron dan Ekin di Bangkok, Thailand, mereka berempat berkongsi pengalaman mengenai pembikinan filem separa animasi ini di bawah kepanasan dan keseronokan bekerja di Thailand dan perasaan Aaron dan Ekin bertemu semula selepas sedekad.

Semasa menyaksikan rakaman, Aaron cedera di kepala akibat dipukul Ekin. Adakah anda berasa cemas?

Oxide: Aaron seorang pelakon profesional. Maka kecederaan bukan satu perkara yang luar biasa. Lagipun Ekin ada cedera sebelum ini.

Bagaimana dengan kecederaan anda?


AKTOR utama Aaron (kiri) dan Ekin menjalankan upacara berdoa bagi memastikan penggambaran berjalan lancar.


Aaron: Saya dan Ekin amat rapat dan ini merupakan kerja kami. Penggambaran ini memerlukan banyak penggunaan pedang. Kami sebenarnya sudah berlatih di Hong Kong sebelum ini tetapi hari ini pengarah inginkan sedikit kelainan. Jadi ini menyebabkan Ekin tersalah langkah dan memukul dahi saya. Ekin berasa malu tetapi saya tidak kisah. Lagipun saya ada cederakan dia semalam.

Ekin: Dalam filem aksi kecederaan memang tidak boleh dielakkan. Nasib baik banyak aksi melampau telah dijayakan dengan efek. Jika tidak, rasanya lagi banyak kecederaan kami.

Kelainan cerita ini daripada filem pertamanya yang dirakamkan di China?

Oxide: Plot cerita berlainan kerana komik ini amat panjang. Jadi kami hanya memilih sebahagian daripadanya. Kami juga tidak membikin filem ini terlalu fantasi walaupun diadaptasi 95 peratus daripada komik.

Jadi ia lebih mendekati realiti tetapi kami banyak menggunakan efek CGI. Sebanyak AS$3 juta (RM9.6 juta) dibelanjakan untuk efek CGI sahaja.

Tidak takut anda akan dibanding dengan pengarah sebelum ini, Lau Wai Keung?

Oxide: Kami tidak takut. Apa yang kami kekalkan dalam filem ini cuma aktornya, Aaron dan Ekin. Ada sebab kami mengekalkan mereka berdua kerana watak Wind dan Cloud bagaikan sudah sebati dalam badan mereka. Jadi kami tidak boleh menggantikan mereka dengan pelakon lain.

Tidakkah usia Aaron dan Ekin terlalu tua untuk watak ini selepas sedekad?

Danny: Memang mereka berdua telah berubah tetapi menjadi lebih matang. Saya tidak rasa mereka berdua tua. Malah mereka berdua kini lebih menyerupai watak dalam komik. Apa yang menarik adalah pertukaran personaliti di antara Wing dan Cloud.

Bagaimana pula perasaan anda untuk kembali memegang watak sama selepas sedekad?

Aaron: Watak ini lebih bermakna buat saya. Lakonan dan komunikasi di antara pengarah juga sudah berubah. Kali ini, saya juga banyak mempelajari skil pedang. Watak Wind dan Cloud memang tidak boleh dipisahkan.Pertemuan semula dengan Ekin selepas satu dekad adalah satu jodoh. Kami berdua juga tidak banyak berubah kerana sudah menjiwai watak. Cuma yang berlainan adalah minat dan persepsi kami terhadap filem yang lebih mendalam.


EKIN CHENG


Mengapa memilih Thailand sebagai lokasi penggambaran?

Danny: Sejak filem pertama kami, Bangkok Dangerous (1999) dibikin di Thailand, kami mula menyukai dan selesa dengan krew produksi di sini. Lagipun kelengkapan peralatan dan studio juga amat memuaskan. Kami berdua juga memulakan langkah dalam dunia perfileman di Thailand.

Lokasi penggambaran amat panas. Bagaimana anda bertahan?

Aaron: Memang sukar kerana dengan kostum dan pergerakan aksi, kami semua banyak berpeluh. Namun, kami semua sanggup berkorban dan prosesnya amat menyeronokkan. Diharap penonton dapat merasakan kejujuran kami dan menyukainya.

Ekin: Cuaca memang panas tetapi pengarah melakukan banyak perancangan supaya lokasi penggambaran lebih selesa. Namun, penampilan saya kali ini agak berlainan daripada filem pertama.

Bagaimana pula dengan penampilan Ekin? Anda akan bertukar menjadi seekor naga jadian akibat latihan seni mempertahankan diri yang keterlaluan?

Ekin: Selain sisik di tangan, saya juga mempunyai mata ketiga di antara kedua-dua mata saya. Semua itu akan dijayakan dengan teknik CGI. Apa yang lebih menarik adalah watak saya akan bertukar jahat.

Saya sangat sukakan watak ini terutamanya aksi dan kesan efeknya.

Aaron: Watak saya kini lebih matang. Dulu rambut saya berwarna biru. Selain daripada itu, saya perlu makan dengan banyak untuk membina otot di bahagian tangan supaya kelihatan elok dengan kostum. Setiap ruang di rumah saya diletakkan dengan dumb-bell supaya senang berlatih.


AARON KWOK


Adakah anda berasa tertekan untuk bekerjasama dengan Aaron yang pernah memenangi pelbagai anugerah?

Ekin: Aaron mungkin pernah memenangi banyak anugerah tetapi saya tidak berasa tertekan dan seronok dengan gabungan semula ini. Kami berdua juga banyak bertarung dalam filem ini.

Apa pun, kami berdua hanya menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dulu mungkin saya berasa cemas tetapi kini ia adalah seperti satu barang permainan.

Berbanding dengan pengarah pertama, apakah perasaan bekerja dengan adik-beradik Pang?

Aaron: Pada mulanya saya berasa keliru kerana mereka berdua adalah adik-beradik kembar. Amat sukar untuk membezakan mereka berdua.

Namun, adalah tidak adil untuk membandingkan mereka dengan pengarah sebelum ini. Kini dengan teknologi efek dan cerita berlainan, hasilnya adalah berbeza.




Jika filem ini diterima baik, adakah sekeul ketiga akan menyusul tidak lama lagi?

Danny: Bukan senang untuk membikin filem sebegini kerana proses pasca produksi mengambil masa yang lama. Ia juga amat berisiko. Kita kena tunggu masa yang sesuai dan bajet sebelum berfikir untuk memulakan sesebuah produksi. Banyak benda yang perlu diambil kira.

No comments: