Masih kekal dalam segmen mewah, BMW HP2 Megamoto ini hadir untuk terus memukau kaki motor dunia.
BMW seperti yang kita semua ketahui, memiliki sejarah automotif yang panjang dan sukses. Ia memiliki kepentingan yang besar dalam banyak syarikat automotif asing, kejuruteraan automotif yang konsisten serta produk inovatif yang berbeza daripada segenap sudut.
Setiap kali BMW menerima ketua jurutera reka bentuk baru, dunia automotif akan dikejutkan dengan rekaan baru yang meninggalkan generasi sebelumnya jauh ke belakang.
BMW masih dengan tradisi perniagaan automotif Jerman, berlandaskan teknologi dan kredibiliti sebagai jenama mewah.
BMW Motorrad adalah cabang rangkaian perniagaan penting syarikat ini. Dengan pengikut setia dari seluruh dunia, motosikal yang dibina menggunakan asas enjin empat silinder sebaris dan boxer ini masih kekal sebagai jenama mewah pasaran motosikal berkuasa tinggi moden.
Ia mungkin tidak dikenali dalam dunia perlumbaan antarabangsa SuperBike atau MotoGP, namun hakikatnya, BMW menguasai pasaran motosikal mewah yang dahulunya tidak langsung dianggap berpotensi untuk berkembang maju.
BMW HP2 Supermoto ini adalah jawapan kepada pasaran KTM 950SM, Buell SuperTT dan Ducati Hypermotard. Motosikal naked atau supermoto dengan enjin lebih 1000cc kini dilihat sebagai pasaran baru dalam segmen motosikal berkuasa tinggi semasa.
Secara visualnya, ia kelihatan seperti sebuah motocross yang direka untuk spesifikasi tarmac. Namun hakikatnya, ia lebih kepada kejuruteraan serius untuk mereka yang mahukan sebuah motosikal ‘tinggi’ yang berkuasa di atas jalan raya.
BMW cuba untuk mengekalkan konfigurasi rangkaian enjin boxer berkembar pada HP2 Megamoto. Sebenarnya, motosikal ini dihasilkan daripada asas maxi-enduro dengan kebanyakan peralatannya berkongsi sama seperti model enduro terbesar BMW tersebut.
Model enduro yang kini banyak digunakan dalam acara motorcross dan rali juga telah membuktikan bahawa enjin boxer memang dinamik dan lasak dalam kegunaan paling ekstrem.
Konsep motosikal ini ialah untuk mendapatkan kuasa yang seimbang daripada enjin boxer dengan kerangka yang terbukti tegar dan senang dikendalikan.
Suspensi istimewa BMW adalah jawapan kepada kestabilan motosikal untuk kelajuan tinggi dan meratah selekoh dengan yakin. Sistem yang dikenali sebagai Telelever dan Paraleveler ini masing-masing memastikan dinamik pengendalian diperoleh menerusi gabungan kerangka, suspensi dan enjin yang tepat.
Ia kelihatan seperti sebuah gergasi dari segi fizikalnya, namun motosikal ini memiliki berat kurang daripada 200 kilogram (kg). Dengan jarak roda 63.4 inci dan ketinggian tempat duduk 36.2 inci, ia bukanlah sebuah jentera yang direka untuk amatur.
Ia adalah produk khusus untuk mereka yang inginkan sebuah supermoto yang bukan hanya pada saiz, tetapi juga pada kuasa. Begitupun, dengan ketinggian tersebut, BMW berjanji bahawa ia lebih mudah dikendalikan berbanding model adventure mereka sebelum ini.
Brek hadapan Megamoto ini dipasangkan dengan sistem empat omboh Brembo dengan sepasang piring cakera berukuran 320 mm, mengambil tempat lebih separuh daripada rekaan roda hadapan ini.
Hasilnya? Pakej pemberhentian yang cemerlang apabila digandingkan dengan rotor 265mm di belakang dengan dua pot brek sebagai pengangkupnya.
Unit enjin yang dipasangkan pada jentera ini secara asasnya adalah sama dengan siri 1200GS dan HP2 Enduro. Ia memiliki kuasa yang banyak dan tork yang tinggi.
BMW mendakwa ia mampu menghasilkan 113 kuasa kuda pada 7500rpm dan 85 paun/kaki tork pada 6000rpm. Untuk memastikan kenaikan injap ekzos lebih cepat, BMW memadankan aci sesondol berprofil perlumbaan, cukup agresif apabila dipadankan dengan sistem ekzos rekaan firma terkenal Akrapovic.
Membuktikan kepantasan gergasi ini ialah tahap pecutannya yang hanya mengambil masa tiga saat untuk kelajuan daripada 0 hingga 60 b/sj. Kelajuan tertinggi yang pernah dicatatkan ialah 244 kmsj dalam trek perlumbaan untuk laluan lurus yang agak pendek.
Apa yang pasti, tubuh badannya yang besar adalah menjadi sebahagian daripada faktor yang membolehkannya ditunggang pantas dalam kawalan penunggang.
No comments:
Post a Comment