PETALING JAYA: Pandai betul pembaca berita TV3, Norazlina Datuk Redzuan (gambar), 37 menyembunyikan kisah cintanya dengan Ketua Pegawai Kewangan TM International, Datuk Yusof Annuar Yaacob, 43.
Alih-alih dapat tahu dia hendak 'mendirikan masjid' dengan tokoh korporat dalam industri telekomunikasi itu.
Pasangan ini akan dinikahkan pada 22 Ogos ini, pukul 8 malam di rumah keluarga Norazlina di Kangar, Perlis.
Norazlina atau Alin memaklumkan yang majlis nikah tersebut dilakukan secara sederhana di luar pekarangan rumah dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat serta rakan-rakan.
Menurut Norazlina, dia sudah lama mengenali bakal suaminya yang juga berstatus duda tanpa anak itu sejak lapan tahun lalu melalui seorang rakan.
"Pada mulanya, hubungan kami terjalin sebagai kawan sahaja dan sehingga beberapa bulan ini baru kami mula intim dan ketika itu masing-masing masih solo," ujar Norazlina yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Sheikh Ahmad.
Seperti bakal pengantin yang lain, Alin turut merasakan debaran dan gemuruh sebelum menginjak ke jinjang pelamin.
"Saya rasa berdebar dan gembira seperti apa yang orang lain rasa apabila hendak berkahwin. Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk perkahwinan kami.
"Tengoklah macam mana nanti. Saya juga mengharapkan yang terbaik apabila menjalani kehidupan yang berbeza dan baru ini. Namun, saya tidak mahu mengalami terlalu banyak perubahan selepas berumahtangga nanti," luah Norazlina ketika dihubungi mStar Online.
Pada 23 Ogos iaitu sehari selepas dinikahkan, Norazlina dan Yusof bakal melalui majlis resepsi di Dewan Warisan Jalan Kolam, Kangar sementara majlis resepsi sebelah pengantin lelaki diadakan selang enam hari di Kuala Lumpur.
Mengenali Yusof selama lapan tahun ini, kata Norazlina: "Dia seorang yang matang, menghormati saya, sangat memahami dan setia bersama saya. Kami juga mudah serasi. Saya harap perkahwinan kami kekal selama-lamanya."
Bertanya kepada Norazlina tentang kerjayanya selepas berkahwin, Alin berkata, dia belum pasti sama ada akan meneruskan kerjaya sebagai pembaca berita di TV3 atau tidak.
"Kita tengok dahulu macam mana kehidupan saya selepas ini. Mungkin saya akan kerja separuh masa sahaja dan ubahsuai sedikit demi sedikit. Tengok dahulu cara kerja yang bagaimana sesuai dengan kehidupan saya nanti.
"Lagipun, saya gembira dengan apa yang dilakukan sekarang. Dia (Yusof) pun faham dan cakap yang saya boleh teruskan karier sebelum ini asalkan saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Bukan apa, saya rasa janggal apabila tiba-tiba sahaja berhenti kerja dan tidak melakukan apa-apa. Kalau tak melakukan tugas sebagai pembaca berita, mungkin saya akan melakukan kerja belakang tabir atau kerja dalam produksi," ulas Norazlina yang mula bercuti pada 19 Ogos ini untuk menumpukan kepada majlis perkahwinannya.
No comments:
Post a Comment