DIA banyak berdiam diri, hanya sesekali tertawa melihat gelagat teman-teman yang kuat mengusik. |
Ada masanya suaranya terus menghilang dan apabila menoleh, matanya sudah tertutup rapat.
Barangkali, dia terlalu keletihan atau terasa asyik dibelai jurumekap, Tiar Zainal yang begitu teliti mendandan rambut dan merias wajah cantik gadis 21 tahun, Siti Khatijah Hassan (Kat).
Sebaik didandan, dengan bergaun pendek ditaburi kilauan labuci dipadan aksesori ranggi, penampilan Kat serta-merta berubah menjadi seorang ‘diva’ persis model terkenal, Kimora Lee.
Lalu, langkahnya diatur dan saat menaiki pentas segi empat sederhana besar itu, Kat mula membuat beberapa gerakan erotik sebagai memanaskan badan sebelum penggambaran klip video, Chiki dimulakan.
Pada saat itu aksinya tidak tumpah seperti gaya Beyonce Knowles dan Shakira dalam video klip Beautiful Liar.
Seperti diketahui peminat, gadis kelahiran Pulau Pinang ini, Kat yang diperkenalkan menerusi program Mentor 2 terbitan TV3 pada 2006, kini muncul dengan single baru, Chiki, selepas dua tahun tiada sebarang perkembangan menarik.
“Selepas tamat program Mentor 2, saya menghasilkan satu single Cakra Mindaku namun tiada sebarang publisiti dilakukan untuk lagu berkenaan.
“Kemudian, saya merakamkan pula lagu duet bersama Jamal Abdillah dan Hattan namun, ia tidak begitu membantu menaikkan nama saya.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa dan terus memenuhi undangan nyanyian di kelab dan majlis tertutup. Tapi sempena kemunculan single terbaru ini saya begitu berharap Chiki benar-benar menjadi,” kata Kat.
Chiki mengisahkan luahan perasaan seorang wanita terhadap teman lelakinya yang kaki perempuan dan lagu ini ditulis sepenuhnya oleh Edrie Hashim yang turut bertanggungjawab menghasilkan lagu, Cakra Mindaku.
Menceritakan pengalaman merakamkan lagu berkonsepkan ‘house music’ itu pada April lalu, Kat akui banyak cabarannya kerana Chiki sebuah lagu yang cukup unik dan perlukan penghayatan.
“Dengar macam senang, nyanyi macam main-main. Tetapi susahnya hendak dapatkan ‘feel’.
Banyak kali abang Edrie terpaksa terangkan pada saya.
“Lagu ini perlu dinyanyikan dengan perasaan marah namun, dalam nada yang seksi dan sinis. Secara peribadi saya sukakan lagu ini dan ‘respect’ abang Edrie kerana dia tahu karakter lagu yang sesuai dengan vokal saya,” katanya.
Sekadar mengimbas, ketika menyertai Mentor, Kat dikenali dengan imej gadis rock. Bagaimanapun, penampilan diri dan muziknya kini jauh menyimpang daripada apa yang pernah diperjuangkan sebelum ini.
“Saya sukakan rock, itu benar. Tapi ia tidak bermakna saya tidak sukakan muzik dari genre lain. Sebenarnya saya seorang yang ‘enjoy’ mendengarkan muzik justeru, saya tiada masalah layan apa jenis muzik.
“Siapa tahu, untuk single kedua nanti muzik saya berubah lagi dan tidak sama seperti Chiki. Sebagai penyanyi, saya sukakan kepelbagaian dalam nyanyian asalkan lagu itu bagus serta bersesuaian vokal saya,” katanya.
Kat berkata, untuk peringkat awal dia ingin memperkenalkan lagu Chiki ini kepada peminat terlebih dulu dan jika mendapat reaksi positif barulah dia merancang menghasilkan album mini atau album penuh.
“Chiki, saya anggap sebagai lagu percubaan untuk melihat sejauh mana konsep ini diterima peminat. Jika sambutannya bagus, barulah saya akan muncul dengan sebuah album yang lebih terancang.
“Selain itu, pembikinan album menggunakan bajet sendiri bukan satu perkara baru dalam industri muzik sekarang. Ramai artis berbuat demikian kerana syarikat rakaman belum berminat mengambil artis baru.
“Memandangkan pasaran tidak begitu memberangsangkan ditambah pula masalah cetak rompak serta ‘download’,” katanya.
Beralih pada pembikinan klip video Chiki, Kat berkata, ia pengalaman baru buat Kat kerana bukan sekadar menyanyi dan menari tetapi terpaksa berlakon aksi perlumbaan.
Video klip mencecah RM30,000 itu diterbitkan Rab 9 Channel Sdn Bhd dan diarahkan Roslan Abu Bakar atau dikenali sebagai Casper sementara Norhasniza Hassan yang juga kakak Kat, bertindak sebagai produser. Ia dirakamkan pada 14 Ogos lalu.
Penggambarannya dimulakan seawal jam 7 pagi dan tamat tepat jam 5.30 pagi (15 Ogos) berlokasikan Segi College, Kota Damansara sebelum babak seterusnya diadakan di Greencow Studio, 26 Jalan Tago 11, Tago Industrial Park, Bandar Sri Damansara.
Video klip berkonsepkan ‘fesyen pop’ itu membabitkan 27 kru dan dua model profesional yang kini mencipta nama di peringkat antarabangsa, Kyla dan Pete.
“Kalau ikutkan, Chiki bukanlah video klip pertama pernah saya jayakan. Sebelum ini saya membintangi video klip Faizal Zainal iaitu Harapan. Pun begitu, ia tidaklah sesukar Chiki kerana tidak membabitkan sebarang babak perlumbaan selain bukan tunjang utama.
“Namun, berbeza dengan Chiki, saya kena berlumba, terpaksa berlakon bercakaran dengan dua model termasuk mencipta tarian yang sesuai dengan pergerakan lagu itu.
“Syukur, semuanya berjalan lancar. Walaupun penat kerana tempoh penggambaran video klip ini mengambil masa 22 jam 30 minit, saya berpuas hati dengan hasil dan konsep yang diketengahkan.
“Walaupun terdapat sedikit masalah apabila pembabitan penari terpaksa dibatalkan saat akhir, rasanya ia tidak mencacatkan perjalanan klip video ini.
“Di kesempatan ini saya juga ucapkan terima kasih kepada abang Edrie, Casper, jurusolek, penyelaras fesyen dan seluruh kru yang terbabit.
“Tentunya terima kasih yang tidak terhingga buat kakak saya yang bertungkus lumus menyediakan kemudahan daripada aspek kewangan termasuk Pete dan Kyla.
“Dua model ini sangat berbakat dan profesional kerana mereka boleh berikan ‘mood’ yang diinginkan pengarah tanpa perlu diajar. Saya senang sekali bekerja dengan mereka,” katanya.
>Profil
NAMA: Siti Khatijah Hassan
UMUR: 20 tahun
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1987
ASAL: Pulau Pinang
ZODIAK: Taurus
ANAK: Keempat daripada enam beradik
SUKA: Membeli-belah
TIDAK SUKA: Melatah atau orang melatah berlebih-lebihan
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KERJAYA: Penyanyi
No comments:
Post a Comment