Hurley atasi aura Herzigova


HERZIGOVA (kiri) bergambar dengan seorang lelaki tidak dikenali di La Fenice Theatre, Venice kelmarin


PENAMPILAN jelita model antarabangsa Eva Herzigova pada tayangan perdana filem Valentino: The Last Emperor semasa Festival Filem Venice, Itali tenggelam dengan ketibaan aktres Elizabeth Hurley, lapor sebuah akhbar semalam

Model beranak satu berusia 34 tahun dari Republik Czech itu tampak mempesonakan ketika memperagakan gaun putih sambil diperhatikan kekasihnya, Gregorio Marsiaj.

Namun, detik glamor yang dikecapi Herzigova hanya seketika dan hilang apabila perhatian para tetamu dipesongkan dengan ketibaan wanita yang sembilan tahun lebih tua daripadanya.

Hurley yang menggayakan gaun petang ciptaan Valentino itu kelihatan begitu memukau lebih-lebih lagi pakaian tersebut menyerlahkan susuk tubuhnya.

Wanita itu tiba sambil diiringi suaminya iaitu seorang hartawan, Arun Nayar.

Ketika mengulas mengenai filem Valentino: The Last Emperor, yang menceritakan tentang kehidupan pereka fesyen itu, Hurley menganggap beliau sebagai seorang rakan dan memuji bakatnya.

Selain Herzigova dan Hurley, majlis yang berlangsung kelmarin itu turut membariskan aktres Hollywood seperti Charlize Theron, Diane Kruger, Claire Danes selain model-model antarabangsa.




Barisan selebriti berkenaan tiba untuk menyerikan acara karpet merah di dewan opera La Fenice Theatre di Venice.

Selepas tayangan perdana itu berakhir, kumpulan selebriti tersebut bersama sejumlah tetamu diraikan pula dalam satu parti di Muzium Guggenheim.

Terdahulu, Valentino memberikan temu bual kepada pemberita mengenai filem tersebut, idea beliau tentang gaya dan keanggunan serta ciptaannya yang paling dihargai.

Apabila diminta menamakan aktres yang menggayakan gaun Valentino paling cantik, pereka fesyen itu berkata: "Senarai bintang filem yang pernah memakai gaun saya adalah panjang.

"Namun, saya harus jujur, orang yang membuatkan saya sungguh gembira, juga kerana dia memilih gaun vintaj, ialah aktres Julia Roberts ketika dia menghadiri Anugerah Academy.

"Saya amat teruja apabila melihat dia muncul dengan memakai gaun saya. Adalah penting untuk selebriti menyukai gaun anda.

"Terdapat pelbagai cara untuk tampil anggun tetapi seseorang itu harus tidak melampaui batasan," tambahnya.

Valentino mengumumkan persaraannya pada tahun lalu, dua bulan selepas beliau mengadakan parti mewah selama tiga hari berturut-turut di Rom.

Majlis yang dihadiri ramai selebriti itu diadakan untuk mengenang jasa dan sumbangan Valentino sepanjang 45 tahun beliau berkecimpung dalam industri rekaan fesyen.

Filem Valentino: The Last Emperor menjalani penggambaran bermula Jun 2005 hingga Julai 2007 dan melibatkan beratus-ratus jam rakaman mengenai pereka fesyen dari Itali itu dan pengiringnya termasuk enam ekor anjing.

Anjing-anjing tersebut mengekori tuannya ke mana sahaja dan dijaga rapi termasuk gigi haiwan itu diberus.

Seorang rakan Valentino, Giancarlo Giammetti memberitahu filem itu diterbitkan bukan semata-mata kerana ingin mengaut keuntungan atau menceritakan tentang fesyen.

Menurutnya, filem itu turut menyentuh mengenai soal cinta.

Valentino dan Giammetti berkawan pada awal 1960-an dan mereka kemudian menjadi rakan perniagaan dan bersama-sama membangunkan empayar fesyen bernilai berbilion-bilion dolar. - Agensi

No comments: