KUALA LUMPUR - Hasrat Maya Karin untuk bersanding di padang bola sepak dengan disaksikan keluarga dan teman rapat di Malaysia akhirnya menjadi kenyataan.
Tepat pukul 9 malam tadi, pelakon jelita ini disandingkan dengan suaminya, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali di padang bola sepak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong.
Pemilihan padang bola sepak tersebut adalah bersesuaian dengan peranan Maya sendiri sebagai duta Taman Laut Malaysia yang mahukan manusia supaya menghargai alam semulajadi.
Majlis persandingan tersebut yang berlangsung dalam suasana meriah dihadiri oleh kira-kira 600 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat kedua-dua belah mempelai.
Maya, gadis darah kacukan Jerman-Malaysia itu kelihatan anggun berpakaian pengantin moden rekaan Radzuan Radziwill berwarna putih di samping suami tercintanya mengenakan baju Melayu berwarna hitam.
Biarpun begitu, pasangan itu memilih majlis perkahwinan mereka diadakan secara sederhana yang tidak menyaksikan acara merenjis, sebaliknya kedua-dua pengantin hanya memotong kek dan makan beradab.
Maya yang pernah membintangi beberapa filem tanah air dan terakhirnya bertajuk Duyung bersama pasangannya juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan tetamu yang hadir.
Mereka telah melangsungkan majlis pernikahan di daerah kaki pergunungan di Lake Como, Itali pada 14 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment