Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
KEMASUKAN semula Aril (kiri), menggembirakan rakan seperjuangannya yang lain. |
Persembahan Hafiz, Akim, Isma dan Yazid membuatkan konsert AF kesembilan begitu menghiburkan
KETIKA empat pelajar lain berhempas pulas menghafal lirik, mengingat lagu dan gerak tari serta dalam tekanan menghadapi tugasan yang mendatang, di luar sana dia sudah pun mengecap nikmat bergelar artis.
Selama dua minggu berada di luar lingkungan sangkar emas Akademi Fantasia selepas disingkirkan ketika konsert minggu ketujuh, pelajar bernama Khairil Azam Pilus atau Aril ini kembali bebas menjalani kehidupan seperti biasa.
Tiada kuarantin, mengikuti pelbagai program promosi yang diatur Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) menghadiri sesi fotografi bersama media serta undangan menjayakan program televisyen dan juga radio iaitu aktiviti biasa yang sering dilakukan pelajar AF selepas tersingkir.
Namun, sewaktu konsert minggu kesembilan malam kelmarin, Aril diserap semua ke dalam akademi
atas nama tiket AF Masuk. Dan kemasukan Aril itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak dirinya dikeluarkan dari akademi itu, namanya menjadi sebutan sebagai pelajar yang bakal diserap semula andai elemen AF Masuk diwujudkan lagi tahun ini.
GAYA dan persembahan Akim turut mendapat reaksi positif penonton. |
Penyingkiran Aril dianggap sesuatu yang mengejutkan kerana pelajar yang berasal dari Kuala Lumpur itu sering tampil dengan persembahan yang menarik dan menghiburkan. Namun dek kerana undian SMS yang tidak memihak kepadanya, Aril terpaksa disingkirkan sebagai mengikut syarat yang ditetapkan program realiti itu.
Namun persoalannya di manakah kewajaran AF Masuk untuk musim ini sedangkan sewaktu menyaksikan Hafiz, Isma, Akim dan Yazid beraksi, tidak keterlaluan andai dikatakan konsert minggu kesembilan adalah yang terbaik yang pernah disajikan setakat ini.
Mereka berempat sebenarnya sudah cukup layak untuk bergelar finalis tanpa perlu ada peserta tambahan. Dan apa yang lebih penting, mereka ini adalah peserta akhir yang benar-benar diiktiraf penonton yang mahu mereka beraksi apabila undian setiap minggu berpihak kepada mereka.
Bagaimanapun, sewaktu mengulas pertanyaan ini, Ketua Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul menjelaskan elemen AF Masuk perlu diadakan atas permintaan ramai.
(Dari kiri) HAFIZ, Yazid , Isma dan Akim pada Konsert Akademi Fantasia 7 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. - Foto Ramdzan Masiam. |
"Sebenarnya keputusan untuk mewujudkan AF Masuk ini pun sudah dibincangkan lebih awal antara pihak produksi dan juga fakulti. Cuma ketika perbincangan itu kita tak buat keputusan bila mahu menggunakannya.
"Dan sebelum ini pun memang ramai yang bertanyakan perkara ini (AF Masuk) sebaik saja Zizi terkeluar. Malahan pihak khidmat pelanggan kami juga menerima banyak panggilan yang mahukan AF Masuk diadakan. Justeru, apabila prinsipal Tiara meminta untuk mengadakan AF Masuk, kami membenarkannya," ujar Khairul pada sidang media sejurus selepas konsert tamat.
Pun begitu, walau apapun alasannya, mewujudkan elemen AF Masuk dilihat sebagai sesuatu yang tidak adil buat empat peserta lain kerana untuk menempatkan diri ke final, mereka terpaksa berhempas pulas sedangkan Aril berjaya memboloskan diri menerusi jalan pintas ciptaan Astro.
Malah, sejarah AF pernah membuktikan bahawa sesiapa yang diberi peluang kedua menerusi AF Masuk seperti Linda Nanuwil, Mawi, Marsha dan Lotter, tuah sentiasa berpihak kepada mereka. Justeru tidak mustahil andai perkara yang sama berulang kepada peserta AF7.
"Ya dalam beberapa perkara, saya bersetuju dengan pendapat itu namun seperti yang saya katakan tadi, AF Masuk bukanlah sesuatu yang baru dalam AF dan tujuan kami menyerap masuk seorang lagi pelajar ke peringkat akhir adalah tidak lain dari sekadar menjadikan malam itu lebih menghiburkan dan bervariasi,” katanya.
Ditanya apakah elemen AF Masuk dibuat semata-mata kerana mereka mahukan Aril menghidupkan konsert terakhir itu, dengan pantas Khairul menafikannya.
"Kami membuka peluang sama rata kepada semua bekas pelajar dan terbukti ramai yang mahukan Aril kembali menyertai AF7. Untuk undian malam ini, Aril menerima sebanyak 52.5 peratus daripada 300,000 undian yang kami terima sepanjang minggu ini," ujar Khairul.
Barangkali ada benarnya apa yang dikatakan Khairul itu cuma timbul sedikit kekeliruan apabila prinsipal AF7, Datin Seri Tiara Jacquleina menjelaskan keputusan untuk mewujudkan AF Masuk dibuat apabila dia mendapati seorang pelajar yang cukup ‘kuat’ disingkirkan dari akademi.
Apakah pelajar yang dimaksudkannya itu adalah Aril, hanya fakulti dan produksi saja yang mengetahuinya. Dan buat empat pelajar lain, andai kemenangan berpihak pada Aril pada konsert akhir nanti, tidak perlu rasa kecewa. Sebaliknya anda perlu berbangga kerana anda berada di konsert itu semuanya atas titik peluh sendiri tanpa mengharapkan belas dan simpati sesiapa.
Rakaman dimanipulasi pihak tertentu
KECOH di internet dan juga laman sosial Facebook apabila tersiarnya klip rakaman Diari INT yang mendakwa pihak Astro sudah merancang lebih awal drama sebabak yang berlaku sewaktu konsert minggu kelapan.
Dalam klip itu, pengacara program berkenaan, Sarimah Ibrahim didakwa mengulas perkara itu lebih awal sedangkan kejadian itu belum lagi berlaku. Buktinya, dalam footage itu pada masa yang sama turut menunjukkan salah seorang peserta, Akim sedang berlatih sebagai Sultan Melaka iaitu watak persembahan teater muzikalnya untuk malam itu.
Untuk meleraikan kekeliruan itu, Khairul berkata apa yang tersebar di internet itu adalah footage embargo produksi AF.
"Sebenarnya untuk episod diari minggu berkenaan, kami memang menyediakan tiga rakaman yang berbeza dan ia adalah untuk tujuan embargo. Dan setiap rakaman itu memang Sarimah akan bercakap secara am mengenai apa yang akan berlaku pada malam itu.
"Lagipun, kita sudah pun menetapkan lebih awal berapa orang pelajar yang akan disingkirkan setiap minggu. Cuma apabila rakaman disebarkan oleh mereka yang mempunyai niat tertentu, maka ia menjadi bahan manipulasi walhal ia adalah rakaman biasa," jelas Khairul menerangkan situasi sebenar.
Ditanya apakah perkara itu berlaku kerana kecuaian pihak produksi, Khairul tidak menganggap perkara itu sedemikian kerana menurutnya apa yang mereka lakukan itu adalah prosedur biasa dan tegasnya berkali-kali, ia bukanlah satu konspirasi seperti yang didakwa ramai.
Pada malam itu, persembahan Akim dan Hafiz mendapat pujian pengkritik kerana berupaya menterjemahkan sebuah persembahan hebat di mata mereka dengan cara dan gaya nyanyian yang tersendiri.
Andai itulah konsert kemuncak, tidak mustahil salah seorang dari mereka ini bakal dinobatkan sebagai juara AF7 kerana sebagai juara, mereka memiliki segala-galanya, bakat, personaliti dan peminat yang begitu setia mengundi serta tidak pernah menafikan bakat milik mereka.
No comments:
Post a Comment