Sarah, Bob pilihan negara


HARAPAN. Barisan peserta yang bakal mewakili Malaysia ke gelanggang World Championship of Performing Arts di Hollywood, Julai nanti.


MENYAKSIKAN 10 finalis bertanding untuk kategori vokal dalam program realiti terbitan TV2, Worldstars - Road To Hollywood (WRTH) pada pusingan akhir yang berlangsung baru-baru ini, ramai sudah boleh menjangkakan bahawa Sarah Raissuddin dan Mohd. Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob AF2 akan menempa tiket ke Hollywood.

Bukannya berpihak kepada mereka atas populariti sedia ada, sebaliknya kedua-dua nama itu sememangnya sudah terkenal sebagai penyanyi yang bergantung kekuatan kepada suara dan bukannya paras rupa. Maka, apabila Sarah dan Bob dipilih mewakili negara untuk bertanding di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat pada 10 hingga 19 Julai nanti, ramai yang tersenyum gembira tanda berpuas hati.


WILSON TAN SIONG PING


Apa tidaknya, WCOPA akan disertai oleh peserta dari 61 buah negara. Dengan menghantar Sarah dan Bob serta dua lagi finalis iaitu Norhasmidar Ahmad, 23 serta Raja Farah Afzal Raja Ikram, 23, kita mempunyai peluang cerah untuk membawa pulang pingat.

Malaysia yang mula menyertai pertandingan itu pada tahun 2005 pernah menghantar penyanyi seperti Syafinaz Selamat, Dina dan Deja Moss. Mereka pernah membawa balik pingat tetapi pencapaian tertinggi negara dicipta oleh Noryn Aziz apabila dia menjadi penyanyi pertama negara yang sampai ke pusingan Grand Final WCOPA tahun lalu.

Melihat kejayaan peserta sebelum ini, ramai termasuk penyelaras utama iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menaruh harapan tinggi terhadap peserta dan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 pingat berjaya 'dikutip' oleh kesemua 24 peserta negara yang mewakili lima kategori.

"Saya percaya dengan rezeki masing-masing. Namun, ini adalah tanggungjawab saya sebagai wakil negara. Saya berbangga dengan pencapaian Noryn dan akan lakukan yang terbaik untuk membawa pulang pingat," ulas Sarah, 25, yang ditemui selepas kemenangannya.


NORHASMIDAR AHMAD


Bob yang telah berusaha keras dalam melayakkan diri ke pertandingan itu turut menyokong kenyataan Sarah. Bagaimanapun, dia tidak dapat menyembunyikan tekanan apabila memikirkan penyertaan Malaysia sebelum ini tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

"Kita bukan sahaja membawa nama sendiri tetapi juga nama negara. Ini bukan satu tugas yang senang tetapi kami akan cuba sebaiknya. Kami sendiri juga mahu mengorak keluar negara dan mencipta nama di persada dunia," demikian azam Bob.

Membuat persiapan sebulan awal, Sarah berlatih selama tujuh jam sehari untuk pusingan akhir itu. Namun, disebabkan kesihatan kurang memuaskan, tahap keyakinannya sedikit turun. Ditambah dengan saingan hebat para peserta, Sarah pada mulanya bimbang jikalau dia tidak mampu mara ke Hollywood.

"Dua hari lepas, suara saya tidak keluar langsung. Tapi nasib baik hari ini saya boleh menyanyi semula. Peserta-peserta lain amat hebat. Lihat sahaja Emer (Mohd. Emeer Iskandar, 14 tahun) dan Hara (Hanara Harun, 16 tahun). Walaupun muda, mereka memiliki suara besar.

"Namun, semua wakil dipilih oleh juri profesional iaitu Deja Moss dan Syafinaz Selamat. Jadi mereka yang dipilih terbukti memiliki bakat," kata Sarah yang menyampaikan lagu Respect dan Listen.


PUTRI MARDIANA ZAINAL ABIDIN


Bakal diberi latihan sebelum bertanding, Bob dan Sarah berharap untuk menyertai sebanyak mungkin dalam kategori membabitkan vokal. Namun, semuanya akan dibincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan, para juri dan kementerian.

"Kalau tidak silap, ada 14 kategori kesemuanya. Tapi setiap individu hanya dibenarkan untuk bertanding dalam lima kategori. Jika boleh, kami mahu bertanding lebih daripada lima kategori. Kami mahu membawa pulang sebanyak mungkin pingat," jelas Bob, 28.

Dinasihat untuk menyampaikan lagu Bahasa Inggeris, penyanyi juga berpeluang untuk menyampaikan lagu Bahasa Malaysia kerana WCOPA ada menawarkan kategori etnik. Maka, kedua-dua Bob serta Sarah tidak akan melepaskan peluang untuk mempromosikan budaya tempatan kepada dunia luar.

"Ini adalah peluang terbaik untuk mempamerkan budaya Malaysia kepada dunia luar. Tapi semua lagu yang bakal dipersembahkan akan dibincang terlebih dahulu dengan banyak pihak termasuk kementerian. Apa yang penting adalah keupayaan penyanyi itu sendiri," ujar Bob yang mempertaruhkan lagu My Baby You dan The Prayer.

Selain daripada kategori vokal yang mendapat perhatian ramai, ini merupakan kali pertama negara menghantar peserta untuk kategori lakonan. Maka, peserta solo, Putri Mardiana Zainal Abidin menggalas peranan penting dalam mengharumkan nama negara apabila dipilih juri profesional, Hans Isaac dan Samantha Schubert.

"Saya tidak mempunyai sebarang pengalaman atau latar belakang dalam bidang lakonan. Menjadi ibu kepada tiga orang anak dan merupakan seorang penjual nasi lemak, keinginan untuk berlakon sebenarnya sudah lama terpendam dalam jiwa saya.

"Malah arwah ayah saya pernah menyatakan hasrat untuk menghantar saya ke sekolah filem di New York. Namun, impian itu tidak pernah tercapai. Kini melalui pertandingan ini, saya berpeluang untuk membuktikan bakat dan merealisasikan impian arwah ayah," jelas Putri Mardiana yang berusia 28 tahun.


SARAH dan Bob bertekad mengharumkan nama negara di Hollywood.


Bagi kategori tarian, kumpulan Artistana dari Istana Budaya yang dianggotai lapan ahli telah dipilih oleh juri, Dayang Mariana Ab. Bolhassan dan Zainal Abiddin Bujang untuk beraksi di Hollywood.

Kategori instrumen yang diadili oleh Mohd. Yazid Zakaria dan Samuel J. Dasmuzik telah memilih kumpulan Tuku Kame' dan Jerry Anak Kamit sebagai wakil negara. Bagi kategori peragaan, Siti Nurizana Iskandar, Dilla Syahirah Latiff, Wilson Tan Siong Ping dan Ramsheh Singh menjadi pilihan Tengku Norazura Tengku Awang dan Andrew.

Dianjurkan oleh Allstars Performing Arts (M) Sdn. Bhd., peserta WCOPA berpeluang untuk memenangi hadiah utama iaitu wang berjumlah AS$50,000 (RM138,000). Malah bagi peserta yang berjaya membawa pulang pingat, mereka akan diberikan imbuhan oleh kementerian.

"Kabinet telah memutuskan bahawa pemenang pingat emas akan mendapat imbuhan seperti tahun sebelumnya iaitu RM2,500. Bagi pingat perak, imbuhan sebanyak RM2,000 akan diberikan. Pingat gangsa pula RM1,500," kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Md. Daud.

Peringkat akhir WRTH yang bersiaran secara langsung di TV2 dari Panggung Sari, Istana Budaya pukul 8.30 malam minggu lalu turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie dan Datuk Joseph Solong Gandum serta Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamarudin Siaraf.

No comments: