Artis baru belum cukup mampu saingi kehebatan Siti Nurhaliza

MEMANG dia terbaik dan paling unggul serta popular di mata dan hati rakyat Malaysia. Mula membina empayar 14 tahun lalu dan berkembang gah di persada seni suara tanah air sehingga kini tanpa digugat, tanpa di cantas oleh mana-mana artis atau pendatang baru.

Itulah keajaiban penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Namanya tidak pernah lekang di mana-mana majlis hiburan. Wajahnya tidak pernah terlepas pandang sama ada di media elektronik atau media cetak.

Biar pun sudah bergelar isteri sejak tiga tahun lalu, keistimewaannya tidak pernah membuatkan peminat dan pengikutnya berpaling tadah.

Peminatnya tetap setia mengikuti setiap perkembangan dan perjalanan seni Siti.

Namun, pertanyaan yang mula hebat dan hangat diperkatakan kini ialah sampai bila kita perlu bergantung kepada Siti saja?

Walhal bukan beliau yang minta dipuja dan diiktiraf tetapi masyarakat khasnya pengikut seni suara yang masih terus memburunya untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dan terhebat.

Walhal kita masih lagi ada pelapis baru yang tidak kurang hebatnya. Malah, kita juga mempunyai penyanyi yang hampir sehebatnya, namun mengapa masyarakat hanya tertumpu pada Siti saja?

Apakah tiada ruang untuk artis yang seiring dengan beliau atau artis yang baru membina tapak untuk menggantikannya?

Kita masih lagi ramai artis yang mempunyai vokal dan gaya yang tidak dapat di pertikaikan. Nama hebat seperti Ning Baizura, Misha Omar, Siti Sarah, Noryn Aziz, Ziana Zain, Liza Hanim dan ramai lagi bagaikan kurang mendapat perhatian masyarakat atau sama ada kita sendiri yang terlepas pandang untuk mengiktiraf mereka.

Kita sudah boleh memartabatkan Siti Nurhaliza di- singgahsana paling unggul dan atas. Beliau sudah berada dalam lingkungan tersendiri.

Beliau boleh menjadi ikon seni negara yang perlu diiktirafkan. Biarlah ada ruang yang jelas untuk penyanyi wanita lain membina empayar dan lingkungan mereka sendiri.

Perlukah nama Siti Nurhaliza disenaraikan pada setiap majlis penganugerahan seni?

Apakah nama Siti Nurhaliza wajar dicalonkan untuk beberapa siri anugerah yang akan datang?

Merujuk kepada pencalonannya dalam Anugerah Industri Muzik (AIM 16) yang baru berlalu, namanya terus tersenarai dan empat kemenangan diraih dalam beberapa kategori termasuk vokal terbaik.

AIM satu penganugerahan yang bukan sembarangan. Apakah wajib setiap kemenangan berpihak kepada beliau?

Berdasarkan mutu album dan rakaman termasuk suara menerusi album Lantera Timur, memang penghasilan album itu termasuk mutu suara beliau tidak perlu dipertikaikan.

Kualiti album adalah perkara utama dalam setiap penghasilan album setiap penyanyi.

Begitu juga dengan pencalonan baru beliau dalam Muzik-Muzik ke-24 anjuran TV3 yang terus mendapat reaksi peminat seni.

Pencalonan lagu Di Taman Teman dalam kategori Etnik Kreatif tanpa pengetahuan beliau dan Siti Nurhaliza Production juga tidak pernah mencalonkan mana-mana lagu dari album terbarunya (Lantera Timur) dalam Muzik Muzik.

Siapa yang perlu menjawab isu ini? Dulu Muzik Muzik atau Juara Lagu akan meriah dengan kemunculan beliau setiap tahun. Namun, sejak beliau menarik diri dan mahu berehat daripada Muzik Muzik, ada yang mengatakan program hiburan itu tidak sehebat dulu, sudah hilang seri tanpa kehadiran Siti.

Apakah beliau yang menjadi daya tarikan utama peminat seni suara negara?

Natijahnya, perlukah Siti dicalonkan dan tersenarai lagi di mana-mana acara anugerah sebagai calon yang bertanding?

Apakah namanya akan tersenarai lagi dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun depan?

Apakah juri Anugerah Industri Muzik (AIM) akan terus mencalonkan (jika beliau hadir dengan album terbaru), nama beliau untuk beberapa kategori lagi?

Apakah Juara Lagu untuk tahun ini akan menyaksikan kembali persembahan beliau di pentas akhir?

Tidak termasuk anugerah lain yang memang kita ketahui, kita terlalu mewah dengan anugerah seni untuk artis dan karyawan. Namun, jika Siti juga yang dipilih peminat dan jika juri yang bertanggungjawab terus meletakkan beliau yang terbaik, tiada apa yang kita mampu untuk menongkah bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh beliau untuk terus bertakhta dalam dunia seni suara tanah air, melainkan hanya jika beliau sendiri mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

Hanya ketika itu sajalah baru kita dapat melihat nama-nama baru memegang trofi keramat yang pernah digenggam erat oleh Siti Nurhaliza sebelum ini.

Walau apa pun, syabas untuk Siti Nurhaliza yang terus unggul dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

ADUKA,
Nilai,
Negeri Sembilan.

No comments: