SETIAP detik yang berlaku dalam kehidupan ini ada yang pahit dan manis untuk dilalui dan apa yang pahit untuk ditelan itu haruslah dijadikan sebagai pengajaran.
Justeru, bekas suami Norish Karman berminat untuk ‘menjual’ kisah hidupnya dengan aktres itu kepada Kuasatek Pictures Sdn. Bhd.
Dikhabarkan, kawan baik Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 61, Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd dan produser Mohd. Noor Kadir akan menjadikan cerita itu sebagai drama 60 episod.
“Drama ini menceritakan tentang kehidupan sesebuah keluarga dan secara zahirnya mengupas tentang tanggungjawab seorang ayah dan ibu terhadap keluarga dan kedudukan seorang isteri itu,” katanya.
Luah Hashimuddin, ‘ Ada banyak hikmah yang lebih baik berlaku selepas penceraian..’
Hubungannya dengan NK agak ‘tegang’ dan hanya berkomunikasi menerusi sekeping nota jika membincangkan tentang soal keperluan dan kehendak anak-anak.
Namun Hashimuddin tetap menyayangi anak-anaknya walaupun sekali-sekala kedengaran suara tidak enak, ‘Baba jahat’.
Katanya, ‘Anak-anak tetap menjadi keutamaan saya kerana mereka merupakan amanah. Kes cerai pun sudah berlaku. Saya telah failkan isu harta anak-anak dan mata sepencarian yang masih berada dalam urusan mahkamah. Jadi, saya tak nak sentuh tentang hal itu lagi’.
Hashimuddin menjelaskan, dia lebih selesa menyediakan nafkah untuk anak-anak dalam bentuk fizikal berbanding memberi dalam bentuk wang tunai.
“Timbul persoalan kenapa saya tak bagi ‘cash’. Sebabnya, saya tidak percayakan NK kerana dia tidak amanah berdasarkan pengalaman sebelum ini. Tetapi saya tetap sediakan ‘petty cash’ jika masih tidak mencukupi dengan menghubungi setiausaha saya.
“Terpulanglah kalau persoal lagi. Masih ada ruang untuk saya bantu jika apa yang diberikan masih tak cukup.
“Saya jenis yang suka membeli-belah, jadi saya tahu apa yang anak-anak suka atau tidak,” katanya.
Lalu, Hashimuddin menganggap tidak manis hubungan ‘luar biasa’ antara Norish dengan kekasihnya, Mohd Luqman Mohd Amin untuk dilibatkan ke dalam kehidupan anak-anaknya.
Hashimuddin juga menafikan dia cemburu akan hubungan NK dengan Luqman memandangkan dia dan NK sudah bercerai.
“Saya tidak akan kembali kepadanya lagi, jadi kenapa saya perlu cemburu selepas bercerai. Kalau beminat nak kahwin semula, baru saya cemburu.
“Anak-anak masih kecil dan tidak tahu cerita. Apabila mereka dibangunkan dengan ‘environment’ itu, macam mana nak jadi rakyat Malaysia? Kita berada dalam masyarakat majmuk. Saya bukan khalifah..benda yang salah tetap salah.
“Anak-anak merupakan pewaris apa-apa yang saya miliki termasuk harta-harta arwah ayah saya. Jadi, saya tak nak anak-anak dibesarkan dalam suasana ....,” tutur Pengerusi Eksekutif Perspect Prime (M) Sdn. Bhd. itu.
Tambahnya, jika mempunyai rezeki dia mahu membuka sebuah syarikat produksi.
Ditanya, adakah dia serik untuk berkahwin dengan artis lagi selepas apa yang berlaku ini, Hashimuddin menjawab, ‘Nauzubillah..bukan semua artis macam itu. ‘Seulas’ dua adalah..jodoh di tangan Tuhan tetapi kalau boleh biarlah wanita yang solehah’.
Hashimuddin bagaimanapun enggan menceritakan tentang perkenalannya dengan NK kerana baginya apa yang berlaku ini terlalu pedih untuk diingati.
Hashimuddin juga sempat berpesan kepada NK dan Luqman supaya cepat-cepat bernikah jika sudah jodoh.
Pada 27 April lalu, NK menuntut Hashimuddin membayar nafkah anak sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi tiga anak hasil perkongsian hidup mereka.
Permohonan perintah nafkah sementara itu dikemukakan NK selaku plaintif mengikut peruntukan Seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
NK yang bercerai secara sah pada 15 Julai 2008 turut mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya Hashimuddin (responden) menjelaskan bayaran bulanan sewa rumah RM5,000 dan RM900 bagi bayaran gaji pembantu rumah yang menjaga anak-anak mereka.
Selain itu, NK memohon perintah mahkamah supaya responden mengembalikan dengan kadar segera sebuah kenderaan Nissan Murano yang sebelum ini digunakan pelakon itu untuk membawa anak-anaknya.
Dalam pada itu, perbicaraan tuntutan nafkah oleh Norish terhadap bekas suaminya itu telah ditangguhkan ke 17 Jun depan untuk penghujahan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Proses sulh (perundingan) nafkah pula ditetapkan pada 7 Mei ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment