PEMENTASAN pertama teater muzikal Patung Kertas tahun lalu hanya disertai oleh para pelakon Melayu, kali ini ia turut melibatkan pelakon bukan Melayu.
Menariknya, artis-artis seperti Radhi Khalid dan Kelvin Lau (mimik Karina Lau) selain penari klasik, Vishnu (mimik Kareena Kaapor) julung kali menjadi `patung kertas' ataupun Mak Nyah.
Penerbit Eksekutif teater itu, Eja Ibrahim berkata, selain itu, Patung Kertas musim kedua ini menyajikan isi kandungan baru dengan 60 hingga 70 peratus adalah lebih relaks dan melucukan.
"Mereka yang pernah menyaksikan pementasan pertama dan kedua memberikan komen bahawa mereka terhibur dan berasa puas dengan persembahan itu," katanya kepada mStar Online, semalam.
Sementara itu, Eja berkata, keseluruhan pentas digunakan untuk pementasan kali ini berbanding hanya tiga per empat saiz pentas pada musim lalu untuk memberikan persembahan terbaik.
Teater muzikal tersebut akan dipentaskan sehingga 3 Mei ini, pada jam 8.30 malam, di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
SINOPSIS
Teater Patung Kertas musim kedua ini menyingkap kenapa dan mengapa segelintir kita menjadi Mak Nyah atau `Patung Kertas' dan akhirnya kembali ke pangkal jalan.
Ia berkisar kepada seorang pemuda lembut, Adik Chu (Ashraf Muslim) yang mempunyai perhubungan akrab dengan Abang Long (Datuk Jalaluddin Hassan) yang juga idolanya.
Akhirnya, Adik Chu menganggotai kumpulan patung kertas itu. Adik Chu berkenalan dengan Adik Wan (Ku Mohd. Yusri Ku Abd. Rahman), Donny dan lain-lain anggota patung kertas menerusi Abang Long.
Mereka berkongsi masalah dalam menghadapi liku-liku kehidupan masing-masing. Mereka turut menganjurkan pertunjukan kebajikan iaitu Malam Gala untuk membantu seorang kanak-kanak penghidap jantung kronik.
Bagaimanapun, pergolakan dunia patung kertas yang penuh suka duka itu menimbulkan konflik apabila Abang Long rapat dengan salah seorang ahli baru kumpulan tersebut yang tidak disenangi oleh seseorang.
Turut diselitkan ialah kisah percintaan Abang Long dan gadis sekampungnya, Suhana (Aishah Atan) suatu ketika dahulu.
SAMBUTAN MENGGALAKKAN
Eja berkata, sambutan orang ramai terhadap teater muzikal itu amat menggalakkan. "Rata-ratanya, sambutan amat menggalakkan dengan hampir setiap persembahan mencapai 70 hingga 80 peratus kehadiran penonton," katanya.
Sementara itu, Datuk Jalaluddin ketika ditemui berkata, beliau berasa letih pada malam itu selepas memberikan persembahan berturut-turut selama tujuh hari.
Bagaimanapun, katanya, fokus dan komitmen beliau untuk menjayakan teater muzikal itu dapat menyisihkan rasa letih itu.
TAYANGAN AMAL MALAM INI
Untuk malam ini, segala hasil pementasan teater muzikal tersebut akan disalurkan ke Yayasan Institut Jantung Negara.
Harga tiket pada hari ini ialah RM50, RM80 dan RM100.
APA KATA PELAKON LAIN?
Kelvin Lau: "Selepas berlakon sebagai Mak Nyah, baru saya tahu betapa susah menjadi wanita daripada aspek pakaian dan solekan.
"Jika berpeluang dilahirkan semula, saya harap menjadi seorang lelaki dan bukannya perempuan," katanya bergurau.
Kata Kelvin lagi, "Saya kini lebih memahami sensitiviti mereka serta mengenali hati budi mereka. Sebenarnya mereka peramah.
Radhi Khalid: "Saya menonton video dan berbual-bual dengan golongan Mak Nyah untuk mendapatkan tips menjadi Patung Kertas.
"Saya berasa berpakaian wanita dan berkasut tumit tinggi merupakan cabaran paling besar," katanya yang pernah membawakan watak yang sedikit feminin dalam siri Phua Chu Kang.
Vishnu: "Semasa menerima tawaran tersebut buat pertama kali, saya berasa was-was. "Namun, ibu menggalakkan saya menceburkan diri dalam industri hiburan Melayu juga.
"Walaupun saya dikira junior di kalangan Patung Kertas, mereka rata-ratanya sangat peramah," katanya yang pernah menyertai So You Know You Can Dance.
Dia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (dalam bidang tarian) di Universiti Kalakshetra, Chennai, India.
No comments:
Post a Comment