PROGRAM pencarian bakat tertua di Malaysia, Bintang RTM yang mula diperkenalkan pada tahun 1959 kelihatan semakin hilang auranya.
Program yang melahirkan puluhan penyanyi terkenal tanah air dan pernah meraih perhatian masyarakat suatu ketika dahulu dilihat gagal bersaing dengan program pencari bakat stesen televisyen yang lain.
Di sebalik kritikan itu kejayaan Ramlah Ram, Allahyarham Sudirman Arshad, Jamal Abdillah sehinggalah Azharina Azhar, semuanya bermula daripada Bintang RTM.
Tahun ini Bintang RTM bersiaran lagi tetapi sambutan serta publisiti yang diberikan kepadanya kekal sepi dan suram.
Jangan terkejut jika kebanyakan penonton tempatan tidak tahu akan kewujudan program yang peringkat akhirnya akan diadakan pada 21 Jun depan.
Bagi mengupas lebih lanjut isu kesuraman Bintang RTM, Kosmo! menemubual Pengarah Penerbitan TV, Rokiah Norma Mohd. Ramli.
Kosmo!: Kehilangan aura, sambutan tak hangat, pemenang terpinggir, itu komen tentang Bintang RTM, apa yang mahu diulas?
ROKIAH NORMA: Kalau nak bandingkan dulu dengan sekarang memang banyak bezanya. Zaman dulu RTM satu-satunya stesen televisyen yang ada, jadi semua menumpukan perhatian pada RTM. Sekarang, penonton semakin banyak pilihan. Mungkin kurangnya publisiti serta promosi yang menyebabkan Bintang RTM hilang perhatian.
|
|
Apakah yang pihak RTM lakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangannya?
Kami di RTM sentiasa cuba yang terbaik, saya selalu ingatkan kakitangan yang terbabit supaya jangan leka dengan rancangan di RTM sahaja. Lihat apa yang pihak lain lakukan. Apa yang baik kita boleh ambil untuk dijadikan contoh kenapa program mereka mendapat perhatian dan kita di RTM tidak begitu.
Apakah pembaharuan yang ditawarkan?
Banyak pembaharuan yang telah dilakukan sejak beberapa tahun sudah. RTM merupakan stesen pertama mewujudkan kemasukan peserta pilihan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Kita beri kuasa kepada penonton. Dengan cara ini kita dapat melihat respons peminat walaupun keputusan akhir tetap di tangan juri profesional.
Bintang RTM dikenali sebagai program yang menghasilkan penyanyi berkualiti, tetapi ia seolah-olah terlupa dengan aspek sampingan lain. Adakah benar tanggapan ini?
Pada kami vokal perkara utama yang dititikberatkan, rupa paras serta imej itu jatuh perkara yang kedua. Namun, setelah menerima kritikan, tahun ini kami mengambil peserta yang mempunyai pakej yang lengkap, tetapi suara tetap didahulukan. Bab imej itu, kami di RTM ada imej konsultan yang akan membantu mereka.
Peserta program RTM juga dilabel sebagai penyanyi kampung. Apakah komen anda?
Soal penyanyi kampung itu saya tidak boleh buat apa, mungkin program ini sudah terlalu lama, maka kebanyakan stigma penonton menganggap keseluruhan program ini kekampungan termasuklah penyanyinya. Walhal, kualiti penyanyi yang kita lahirkan lebih baik daripada sesetengah program stesen lain yang hanya berlandaskan populariti semata-mata. Kalau nak ikutkan penyanyi kampung inilah yang selalunya bertahan lama dalam industri hiburan kerana kualiti vokal mereka.
Kenapa tidak diwujudkan sebuah organisasi untuk menjaga menjaga dan bimbing kerjaya pemenang, seperti yang dilakukan stesen lain?
Harus diingat, kami stesen televisyen kerajaan dan tidak mengambil sebarang keuntungan daripada terbitan program ini. Tugas kami hanya mencungkil bakat selebihnya terpulang pada mereka. Kita tidak boleh dan tidak mahu mengikat pemenang kerana peluang di luar sana lebih banyak dan biarlah mereka sendiri yang buat pilihan, bukannya kami. Tetapi ada juga di kalangan juara dan finalis yang mempunyai bakat lain, kami panggil untuk bekerja dalam program RTM.
No comments:
Post a Comment