Dadah: Shereen lepas tanpa bebas




PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Noor Sheereen Mohamad Hadzim atau Shereen melahirkan rasa lega dan bersyukur setelah Mahkamah Majistret di sini melepas tanpa membebaskannya daripada tiga pertuduhan mengawal dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

“Lega selepas empat tahun terseksa dan sekarang saya rasa seperti masuk ke dalam syurga,” kata artis berusia 38 tahun itu.

Mahkamah turut melepaskan tanpa membebaskan teman lelakinya, Ku Faizal Ku Baharum, 32, dan Mohd. Nizam Halami, 35.

Majistret Nur Syafawati Arifin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan saksi selepas mahkamah beberapa kali menetapkan perbicaraan kes itu sejak Januari 2006.

Shereen yang pernah popular dengan beberapa drama seperti Menantu Mami dan filem Putera serta merakamkan album solo berjudul Rahsia Cinta pada 1992 tenang ketika ditemui selepas keputusan itu.

Pada 23 Mac 2005, Shereen, Ku Faizal, Mohd. Hafiz Nasib, 32, dan Mohd. Nizam dituduh mengambil dadah methamphetamine bagi tuduhan pindaan pertama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah bernombor C1-1-C3, Pangsapuri Subang Villa Ehsan, Jalan PJS 10/11, Taman Sri Subang di sini, pukul 2 pagi 15 Mac 2005.

Keempat-empat mereka, dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments: