Yantzen rugi RM6,000

HULU KLANG: Hanya kerana ingin membeli sebungkus nasi ayam, penyanyi rock terkenal, Yantzen Juniwan, 50, kerugian RM6,000 apabila wang tunai yang disimpan dalam sampul surat dilarikan penjenayah.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, mangsa yang juga bekas penyanyi kumpulan Rusty Blade dan May itu baru mengeluarkan wang terbabit dari sebuah bank di Setapak.

“Sejurus membuat pengeluaran wang melalui kaunter bank, saya memasukkan semua not RM100 terbabit ke dalam sampul surat sebelum berjalan ke kereta,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian meletakkan sampul berisi wang berkenaan di tempat duduk sebelah pemandu sebelum memandu ke pejabat di Taman Melawati.

Setiba di kawasan berhampiran pejabat, penyanyi itu berhenti seketika untuk ke membeli nasi ayam tanpa mengunci pintu kereta dan mematikan enjin.

Tidak sampai dua minit, katanya, dia berjalan semula ke kereta sebelum mendapati sampul berkenaan lesap.

“Saya betul-betul terkejut dan tidak menyangka penjenayah sempat menyelinap masuk ke dalam kereta dan melarikan wang berkenaan. Saya langsung tidak menyedari kejadian yang berlaku secepat kilat itu.

Kata Yantzen, dia berlegar-legar di kawasan berkenaan untuk menjejaki penjenayah terbabit namun gagal.

“Saya segera membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati,” katanya yang mengesyaki penjenayah memerhatikan gerak-gerinya ketika mengeluarkan wang di bank sebelum mengekorinya untuk melarikan wang berkenaan.

“Wang berkenaan bukan milik saya, sebaliknya rakan saya. Kejadian itu menyebabkan saya terpaksa mengumpul wang untuk menggantikan semula wang itu.

“Susulan kejadian itu, saya sudah dipanggil pegawai penyiasat di Balai Polis Hulu Klang untuk memberi keterangan semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, punca sebenar kehilangan wang terbabit sedang disiasat.

“Siasatan dijalankan untuk mengetahui wang ditinggalkan dalam kereta itu benar-benar dilarikan individu dikatakan mengekori mangsa sebelum kejadian atau tercicir ketika penyanyi itu keluar untuk ke sebuah kedai berhampiran.

“Ketika memberi keterangan dia dikatakan sangsi serta memberikan keterangan tidak kukuh berhubung tempat sebenar dia menyimpan wang itu,” katanya.

Abd Jalil berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 kerana mencuri dalam kenderaan tetapi polis belum membuat sebarang tangkapan atau mengenalpasti suspek.

No comments: