Lembaran baru Archuleta


PENGARAH Urusan Sony Music Entertainment, Adrian Lim (kanan) mengikat samping yang dipakai Archuleta.


BIARPUN namanya tidak dijulang sebagai juara American Idol musim ketujuh tahun lalu, ia bukan satu penghalang untuk anak muda ini meneruskan perjuangannya sebagai anak seni.

Meskipun dia tewas kepada David Cook untuk dinobatkan dengan gelaran itu, tetapi Archuleta begitu optimis dengan kerjaya seninya yang semakin menuju puncak.

“David layak untuk digelar juara kerana dia mempunyai karisma tersendiri. Jujurnya, saya langsung tidak terkesan dengan kemenangannya kerana apa yang penting bagi saya adalah untuk memperjuangkan seni saya demi peminat. Untuk berasa kecewa mahupun berkecil hati, adalah jauh sekali.

“Namun, saya tidak menafikan American Idol telah berjaya mengangkat nama saya sehingga menjadi apa yang anda lihat hari ini. Yang pasti, saya adalah David Archuleta yang sama dan tidak pernah berubah,” katanya membuka bicara sewaktu sidang media di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dengan berbaju melayu hijau pucuk pisang dan bersamping sememangnya cukup menyerlahkan wajah comel jejaka kegilaan ramai ini yang juga murah dengan senyuman.

Archuleta berada di Malaysia selama empat hari minggu lalu bagi mempromosikan album perdananya, David Archuleta serta mengadakan persembahan istimewa khusus untuk peminatnya di negara ini.

Sememangnya sejak azali, dia sudah tekad untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai satu mata pencarian.

Archuleta begitu bertuah kerana dia hadir dengan pakej yang cukup lengkap. Berwajah comel yang membuatkan sejuk mata memandang selain daripada vokal merdunya yang bisa mencairkan hati mereka yang menikmati alunan suaranya.

Bagi anak kelahiran Miami, Florida, Amerika Syarikat ini, dia tidak mahu dilabelkan sebagai seorang penyanyi yang mempertaruhkan wajah semata-mata tetapi mahu membuktikan perjuangannya adalah lebih daripada segala-galanya.

Apatah lagi, untuk menjadi seorang penyanyi, katanya, bukanlah semudah yang disangka kerana dia perlu berdepan dengan rintangan dan cabaran. Jiika tidak kuat semangat, mampu untuk membawa dirinya jatuh ke bawah.

“Biarpun saya masih muda, tetapi, banyak yang saya impikan dalam bidang seni ini. Saya mempunyai perancangan dan visi untuk memastikan saya berada dalam bidang seni ini untuk satu tempoh yang lama.

“Tetapi, saya sedar saya tidak boleh lakukan sesuatu perkara itu dengan drastik dan semuanya memerlukan kesabaran, usaha serta iltizam yang tinggi,” jelas si comel yang berusia 18 tahun itu penuh makna.

Memberikan contoh penghasilan album pertamanya dia menyifatkan album itu sebagai satu eksperimentasi dalam usahanya untuk memancing peminat yang bukan lahir dari zamannya.

Lebih bersemangat

Ini kerana katanya, sepanjang dia berjuang di pentas American Idol, peminatnya terdiri daripada semua golongan yang banyak memberikan sokongan kepadanya untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni.

Sedar atau tidak, sememangnya peminat Archuleta kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke atas dan ternyata bakat Archuleta telah berjaya menawan golongan senior ini.

“Disebabkan itu, saya harus mengimbangi muzik saya untuk memenuhi tuntunan para peminat saya yang pelbagai. Dalam masa yang sama juga, saya perlu memastikan bahawa muzik yang saya persembahkan tidak terlalu mendewasakan saya sehingga tidak mampu diterima.

“Apa yang saya lakukan setakat ini saya rasa berbaloi dan saya berpuas hati kerana respons yang saya terima cukup positif. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan muzik dan album yang lebih baik selepas ini,” jelasnya yang juga bertindak sebagai salah seorang penerbit untuk album pertamanya itu.

Tambahnya, dia juga mahu mencuba elemen muzik baru dalam album keduanya yang kini dalam perbincangan kerana bagi Archuleta, dia tidak boleh berasa selesa dengan apa yang telah dilakukannya.

Sebaliknya, dia akan cuba untuk mengimbangi muzik baru dan keinginan nuraninya untuk memastikan peminatnya akan terus berasa puas hati.

Album David Archuleta yang dipasarkan November tahun lalu sehingga kini mencatatkan penjualan sebanyak 665,000 salinan di Amerika Syarikat dan berjaya menduduki tangga kedua dalam carta Billboard 200 sebaik sahaja dipasarkan.

Malah, albumnya itu juga sudah layak menerima Anugerah Emas oleh Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA).

Single pertamanya, Crush telah mendapat perhatian yang cukup meluas dan lagu itu juga berjaya mencatatkan jumlah muat turun digital tertinggi iaitu 1.5 juta di Amerika Syarikat.

Sebagaimana Crush, single kedua, A Little Not Too Over You yang merupakan hasil ciptaan Archuleta sendiri bersama Mathew Gerrard, Mike Krompass dan Robbie Nevil juga mendapat sambutan hangat di corong-corong radio.

Hujan bukan penghalang

Sementara itu dalam persembahannya, David Archuleta Live In Malaysia yang diadakan di Sunway Amphitheatre Sabtu lalu, Achuleta berjaya memukau lebih daripada 6,000 peminatnya yang membanjiri lokasi berkenaan.

Walaupun hujan namun ia bukan penghalang kepada para peminatnya untuk membanjiri Amphitheater, Sunway Lagoon.

Semuanya semata-mata ingin melihat lebih dekat lagi penyanyi remaja antarabangsa kegemaran mereka, David Archuleta.

Dari jauh kedengaran laungan nama David Archuleta menunjukkan mereka (peminat) tidak sabar menyaksikan persembahan artis kelahiran Utah, Texas itu.

Dihoskan oleh dua gandingan penyampai radio Hitz.FM, Ean dan JJ, persembahan petang itu dimulakan oleh tiga artis tempatan iaitu pemenang tempat ketiga Astro Talent Quest 2008, Hou Ren, Aliff OIAM dan Daniel Lee dari Malaysian Idol musim kedua.

Tepat pukul 4.30 petang, kelibat orang yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul.

Hadir dengan kemeja berwarna merah, berseluar jeans gelap serta bertali leher, David Archuleta melangkah sambil melambai kepada orang ramai.

Tanpa banyak bicara, Archuleta terus mendendangkan lagu ciptaannya sendiri bersama Mathew Gerrard, Mike Krompass dan Robbie Nevil iaitu A Little Too Not Over You.

Tampil dengan persembahan bertenaga, di samping lontaran vokal yang sedap di halwa telinga, nyata persembahan naib juara American Idol musim ketujuh itu mampu memukau setiap penonton yang datang.

Enggan para peminatnya kedinginan, Archuleta terus sahaja menghangatkan persembahan dengan single keduanya, Touch My Hand.

Petang itu, Archuleta menyanyikan enam buah lagu secara keseluruhan. Empat adalah lagu Archuleta sendiri manakala dua lagi adalah daripada penyanyi lain.

“Terima kasih kerana sudi datang pada persembahan saya ini,'' ujarnya sebaik sahaja selesai menyanyikan lagu kedua tersebut.

Kemudian, dewan Amphitheater terus gamat apabila Archuleta menyanyikan lagu yang menjadi igauan di seluruh dunia, Crush sebaik sahaja selesai menyanyikan lagu Don’t Let Go.

Sebaik selesai kuiz dan penyampaian hadiah, Archuleta muncul sekali lagi, menyanyi sambil bermain piano

Mempersembahkan dua buah lagu iaitu A Thousand Miles (Vanessa Carlton) dan Angles (Robbie Williams), melengkapkan lagi kecemerlangan persembahan Archuleta.

Sebelum Archuleta melangkah keluar daripada pentas, dia sempat mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminat yang hadir pada petang itu.

No comments: