INTERAKSI: Ajak warga industri bersatu

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


PEMILIHAN pelakon dan pengarah, Khir Mohd Nor, 49, sebagai Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) diharap dapat memberi dimensi baru bagi persatuan itu.

Khir yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) sebelum ini aktif mengarahkan drama televisyen Rebah Di Pintu Neraka, Dominan, Terminal Cinta yang dihasilkan di Brunei, selain tampil menerusi lakonan dalam drama bersiri, Tentang Bulan, Gerak Khas dan Harimau Rimba.

Dia mengambil alih teraju presiden daripada Syed Mohamed Hassan Benyahya yang sekian lama memegang jawatan itu menerusi Mesyuarat Agong PPFM yang berlangsung, baru-baru ini. Di samping Khir, muka baru yang turut dilantik dalam senarai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) persatuan ialah Khairuddin Othman dipilih sebagai Timbalan Presiden; Thorpe Ali sebagai Setiausaha; Omar Ariffin (Penolong Setiausaha) dan Ali Hussin (Bendahari).

PPFM sebelum ini cukup terkenal dengan penganjuran Anugerah Oskar yang memartabatkan individu bekerja di belakang tadbir, selain menjaga kebajikan dan kepentingan ahlinya.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan (wanasr@hmetro.com.my) bersama Khir Mohd Nor mengenai perancangan dan wawasan sebagai presiden baru PPFM.



SOALAN (S): Tahniah atas pelantikan menerajui PPFM untuk sesi 2009/2012. Pemilihan kali ini nampak berbeza kerana adanya pertandingan. Bagaimana, anda melihat situasi ini?

JAWAPAN (J): Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan presiden Syed Mohamed Hassan Benyahya yang mahu mengekalkan jawatan dan pencabar baru, Khairudin Osman, selain saya sendiri. Saingan pemilihan kali ini memang sengit. Masing-masing mempunyai reputasi tersendiri. Syed Mohamed sudah memegang jawatan itu hampir lapan tahun manakala Khairudin pernah berkhidmat di TV3 dan sekarang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pada hari pertandingan, setiap mereka yang merebut jawatan presiden diberikan peluang melontarkan pandangan dan menerangkan beberapa usul atau pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

Saya bertanding kerana mahu melakukan perubahan dalam persatuan. Pada saya, tidak perlu ada kem atau kelompok tertentu dalam berpersatuan. Saya boleh bekerja dengan siapa saja. Malah, saya sentiasa menggalakkan setiap ahli yang dipilih memberikan pandangan dan berbincang apa saja perkara supaya ia dapat diatasi kelak.

S: Difahamkan ketika sesi pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) baru PPFM tempoh hari berlaku beberapa perkara yang agak tegang mengenai perasaan tidak puas hati beberapa pihak dengan keputusan tertentu. Boleh anda ulas serba sedikit mengenainya?

J: Mungkin sengit dari segi perebutan presiden. Untuk jawatan lain juga masih ada yang enggan melepaskan jawatan yang disandang. Pada saya, ia terpulang kepada individu berkenaan. Sejauh mana mereka yang dilantik dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan berhemah dan jujur.



S: Bagaimana anda ingin menggerakkan PPFM dan apakah hala tuju yang ingin dibawa?

J: Saya mahu semua ahli PPFM dan kru meletakkan sasaran ke arah profesionalisme. Oleh sebab itu, saya akan menggalakkan setiap ahli menyertai beberapa bengkel yang akan diadakan kelak. Selain itu, saya akan mewujudkan beberapa biro membabitkan kru yang terbabit sebagai ahli PPFM. Seperti kita sedia maklum setiap ahli dan orang di belakang tadbir datang daripada latar belakang yang berbeza. Dengan adanya bengkel dan kewujudan biro matlamat ke arah profesionalisme ini dapat dilaksanakan. Saya juga bercadang menukarkan logo dan nama persatuan kepada Persatuan Tenaga Profesional Filem Malaysia atau Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia. Disamping mengutamakan soal kebajikan kru termasuk aspek bayaran, waktu kerja dan akan datang menggalakkan setiap pekerja kru mempunyai skim perlindungan insuran untuk persediaan pada masa hadapan. Ini kerana saya difahamkan ada di antara kru yang berkerja dan terdedah kepada risiko kemalangan tertentu tidak mempunyai sebarang perlindungan insuran.



S: Bagaimana pengalaman anda sepanjang 20 tahun dalam bidang produksi dapat membantu persatuan?

J: Pengalaman yang bermula dari peringkat bawah dalam bidang produksi sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan untuk mendekati ahli itu sendiri. Saya pernah melalui pengalaman hidup susah ketika menjalani penggambaran suatu masa dulu. Saya sudah melalui pelbagai pengalaman ketika menjayakan penggambaran sebagai kru am seterusnya sehingga melangkah ke bidang pengarahan.



S: Imej anda yang ‘low profile’ mungkin antara faktor pemilihan sebagai teraju baru PPFM?

J: Sebenarnya imej ‘low profile’ berkenaan mungkin bagi orang atasan. Saya lebih senang dikenali di peringkat kru produksi. Saya suka berkenalan dengan individu atau sesiapa saja yang terbabit di dalamnya. Sehinggakan kerap meluangkan masa bersama kru selepas selesai menjalani penggambaran. Saya yang mula menjadi ahli PPFM sejak 1993 sentiasa mengalu-alukan mereka yang terbabit dalam bidang ini menyertai persatuan.



S: Bagaimana anda melihat pemilihan jawatankuasa baru PPFM kali ini, sejauh manakah tenaga mereka boleh diguna pakai untuk menggerakkan persatuan?

J: Saya percaya dengan kemampuan dan kredibiliti AJK yang dilantik. Tidak timbul langsung soal berpuak-puak dalam persatuan. Saya sedia bekerja dengan sesiapa saja dilantik dan boleh bekerja secara berpasukan.



S: Bagaimana dengan perlaksanaan Anugerah Oskar yang memberikan pengiktirafan kepada karyawan seni tanah air?

J: Anugerah berkenaan tetap dianjurkan seperti tahun sebelumnya. Cuma kali ini, saya tidak akan mewujudkan anugerah bagi penerbit dan pelakon. Sebaliknya anugerah berkenaan khusus untuk kru yang bertugas di belakang tadbir. Ia termasuk anugerah kepada ‘runner’. Di mana ‘runner’ juga memainkan peranan penting dalam perjalanan sesuatu penggambaran. Kita juga perlu ingat beberapa nama besar dalam industri turut bermula daripada bidang ini. Justeru, amat penting bagi kita mengiktiraf sumbangan mereka. Walaupun ada yang menganggap tugas mereka agak remeh dalam produksi. Justeru, setiap individu mempunyai peranan yang besar dalam kerja penggambaran.



S: Bagaimana dengan status anda sebagai Timbalan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM)?

J: Setakat ini, saya memang masih memegang jawatan berkenaan. Walaupun tiada yang menghalang, namun saya memikirkan untuk melepaskan jawatan itu bagi menumpukan kepada tugas dalam PPFM. Saya tidak mahu terlalu banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Lebih baik saya menumpukan kepada sesuatu tugas dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab amanah yang diberikan.



S: Apa harapan kepada penggiat filem ke arah memartabatkan kembali industri hiburan tanah air pada masa hadapan?

J: Saya harap dalam industri ini tidak kira pelakon, pengarah dan penyanyi semuanya perlu bersatu untuk meningkatkan martabat filem tanah air. Jika menghasilkan sesuatu produk, kita perlu menampilkan imej atau budaya Malaysia supaya ia menjadi ‘trade mark’ tersendiri. Sebagai contoh, apabila kita melihat filem Thailand mahupun Hong Kong yang ternyata mempunyai identitinya sendiri. Disebabkan itu, kita perlu menampilkan sesuatu produk yang mencerminkan identiti dan budaya Malaysia supaya boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

No comments: