Kes Aishah saman EMI tunggu keputusan

KUALA LUMPUR 14 April - Selepas 10 tahun, kes saman penyanyi Aishah terhadap syarikat rakaman EMI (M) Sdn. Bhd. atas dakwaan memungkiri perjanjian selesai didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan itu berakhir apabila peguam Soo Siew Mei yang mewakili syarikat rakaman tersebut memaklumkan pihaknya menutup kes selepas saksi defendan ketiga, Rosmanizawani Mohammad Nadzir selesai memberi keterangan.

Hakim Datuk Tee Ah Sing kemudian mengarahkan pihak plaintif dan defendan menyediakan hujahan masing-masing dan menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan sebelum menentukan tarikh keputusan.

Aishah, 44, atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 6 Disember 1999.

Sepanjang perbicaraan kes tersebut, sebanyak tiga saksi defendan dan Aishah selaku saksi plaintif telah dipanggil memberi keterangan.

Dalam perbicaraan hari ini, Rosmanizawani iaitu bekas Pengurus Promosi Kanan EMI memberitahu, nama syarikat rakaman itu terjejas akibat pembatalan menyertai program promosi di televisyen oleh Aishah pada hujung tahun 1998.

Ekoran daripada itu, dia yang bertugas sebagai Eksekutif Pengiklanan dan Promosi ketika itu berkata, kebolehpercayaan dan pengurusan artis syarikat tersebut telah dipersoalkan.

''Saya terpaksa menelefon penerbit televisyen dan membatalkan program promosi yang telah saya tempah sebelum itu.

''Saya menerima maklum balas negatif daripada penerbit yang amat kecewa kerana pembatalan ini menjejaskan penjadualan mereka dan mereka terpaksa mencari artis pengganti,'' katanya yang kini suri rumah.

Saksi itu berkata, dia sebelum itu telah menghantar memo meminta pengesahan jadual promosi televisyen ke kediaman keluarga Aishah kerana penyanyi itu yang sedang menuntut di luar negara tidak mempunyai mesin faks.

Bagaimanapun, katanya, Aishah menghantar memo menyatakan keengganannya melakukan promosi itu memandangkan album hari raya itu masih belum siap dan gambar album belum diambil.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Aishah, Rosmanizawani berkata, dia tidak tahu sama ada Aishah perlu mengesahkan aktiviti promosinya.

Dia juga berkata, tiada peruntukan dalam perjanjian bahawa Aishah perlu hadir perbincangan berhubung promosi televisyen yang akan diadakan.

Dalam pernyataan tuntutan terpindanya, Aishah menuntut ganti rugi RM406,000, ganti rugi am bagi melanggar kontrak, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa defendan telah memungkiri kontrak antara kedua-dua pihak.

Selain perintah injunksi, Aishah menuntut perintah supaya EMI menyerahkan semua album dan artikel yang mencerobohi hak ciptanya yang kini berada dalam milik syarikat berkenaan.

EMI dalam pernyataan pembelaannya pula menafikan dakwaan Aishah dan mengemukakan tuntutan balas membabitkan ganti rugi sebanyak RM93,071.66 daripada penyanyi tersebut.

Kes saman itu pernah dibatalkan pada 2 November 2004 selepas penyanyi tersebut gagal hadir untuk pendengaran kes tersebut.

Bagaimanapun pada 3 Ogos 2005, Hakim Ah Sing telah membenarkan permohonan Aishah untuk menghidupkan semula saman dan pernyataan tuntutan terpinda.

Turut mewakili defendan ialah peguam Ned Segaram.

No comments: