Showing posts with label tidak. Show all posts
Showing posts with label tidak. Show all posts

Keguguran tidak halang Deja adakan resepsi perkahwinannya

Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, Andy menerima berita keguguran Deja sebagai qada dan qadar. Foto The Star Oleh: MOHD SAHAR MISNI.

MAJLIS sambut menantu penyanyi, Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss,35 dan suami, Azfendy Azzuddin,29 yang berlangsung di Dewan Perdana Felda malam tadi disambut meriah biarpun Deja baru sahaja selesai menjalani pembedahan akibat keguguran kandungannya seminggu yang lalu.

Biarpun jelas terpancar riak kelesuan di wajah si pelantun lagu Asmara Ini namun dia tetap melemparkan senyuman mesra buat tetamu yang hadir pada majlis resepsi pihak pengantin lelaki.

Berkonsepkan moden kontemporari, Deja tampil anggun menggayakan busana kebaya moden berwarna putih perak rekaan Putra Aziz dari butik Cosry manakala Andy tampil segak dalam persalinan baju Melayu dengan warna sedondon dari pereka yang sama.

Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu berlangsung hampir dua jam setengah dimulakan dengan perakakan masuk pasangan merpati dua sejoli diiringi enam orang ’flower girls’ yang menabur bunga di atas karpet merah menuju ke pelamin nan indah.

Pasangan Raja Sehari, Deja dan Andy diarak menuju ke meja makan beradap.

Penggunaan bunga ros berwana merah jambu menonjolkan suasana romantis serta menaikkan seri majlis persandingan Deja dan Fendy.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Yusof Nor.

Majlis resepsi yang menggabungkan konsep perkahwinan dalam taman turut diisi dengan beberapa majlis menepung tawar dan merenjis oleh keluarga pengantin kedua belah pihak, diikuti dengan persembahan menghiburkan daripada teman-teman rapat Deja seperti Misha Omar, Farhan AF4 dan Sharifah Zarina dan diakhiri dengan upacara memotong kek.

Majlis resepsi tersebut dihadiri kira-kira 800 orang tetamu yang terdiri dari kalangan ahli keluarga, rakan terdekat serta tetamu VIP.

Antara artis yang turut hadir memeriahkan majlis resepsi Deja dan Fendy ialah, penyanyi popular, Anuar Zain, Kevin Lau, Bob AF3, Rem, penerbit drama, Ziela Jalil, guru vokal AF, Siti Hajar dan pelakon Noniswara.

Sama cantik, sama padan, Deja dan Andy disandingkan buat kali kedua.

Tetamu yang hadir dihidangkan dengan makanan enak seperti nasi minyak, ayam masak merah, rendang tok, sambal udang berserai, dalca sayuran, acar buah, air sirap laici dan pencuci mulut istimewa, tapai aiskrim.

Alami keguguran

Hati ibu mana tidak sedih apabila mengetahui bayi yang dikandungnya terpaksa digugurkan kerana bimbang akan mengundang mudarat pada si ibu.

Biarpun sedih akan apa yang berlaku nyata Deja tabah menghadapi dugaan yang menimpa dirinya.

Walaupun mengalami kesukaran untuk menaiki tangga, kerana baru sahaja selesai menjalani pembedahan seminggu yang lalu nyata ia tidak memudarkan semangat Deja dan Fendy untuk meneruskan majlis resepsinya mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Biarpun sakit akibat pembedahan masih terasa namun Deja tetap menggagahkan diri meraikan mereka yang telah banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.

”Saya kesian dengan ibu dan ayah mertua saya sebab persiapan untuk majlis ini mereka dah atur lebih kurang sebulan yang lalu.

"Jadi agak payah untuk tangguhkannya, saya pun gagahkan diri untuk teruskan majlis ini walaupun ibu mertua ada minta hendak tangguhkan majlis ini dan tunggu hingga saya betul-betul sembuh,"kata Deja yang berehat seketika daripada menyannyi.

Bercerita mengenai kisah keguguran yang dialaminya baru-baru ini nyata mengungdang sebak di hati penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.

Deja tetap mengagahkan diri biarpun baru seminggu mengalami keguguran.

”Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, selama ini selepas keluar hospital memang saya tak pernah naik dan turun tangga. Jadi pertama kali masa naik tangga tadi memang rasa susah sangat sebab sakit sebab jahitan pembedahan itu masih belum pulih sepenuhnya.

”Saya dengan Andy sedar, saya mengandung masa usia kandungan dah enam minggu itu pun sebab masa itu saya rasa sakit. Kami dapat tahu pada hari Ahad dan masa dapat berita itu kami gembira sangat.

”Tapi pada hari Selasa masa saya buat pemeriksaan doktor nasihatkan kami supaya buat pembedahan buang kandungan itu sebab saya mengandung di luar rahim.

”Masa buat pemeriksaan kali pertama memang tak nampak tapi bila doktor pakar sakit puan yang memeriksa saya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena, dia buat pemeriksaan kali kedua, dan masa ini lah dia dapat kenalpasti saya mengandung di luar rahim.

”Saya bersyukur sangat benda ini dapat dikenalpasti pada tahap awal kerana menurut doktor tersebut kalau kami lambat buat pemeriksaan dia akan bahayakan nyawa saya sendiri.

”Selepas itu, doktor nasihatkan untuk buang tiub Falipio sebelah kanan sebab ia membahayakan kesihatan saya. Jadi doktor terpaksa buang juga akhirnya," ujar Deja yang berada dalam dewan bedah selama 2 jam 45 minit bagi menjalani pembedahan tersebut.

Menurut Deja dalam sejarah keluarganya juga tidak ada yang pernah mengalami masalah mengandung di luar rahim seperti yang dialaminya, dan ini adalah yang pertama terjadi perkara sedemikian terjadi.

”Ini pertama kali berlaku dalam keluarga saya. Saya tahu Fendy sangat sedih dengan apa yang berlaku. Even saya sendiri pun sangat kecewa masa mula-mula tahu mengenainya.

Upacara memotong kek berlangsung meriah sebaik majlis makan beradap berkahir.

”Tapi bila kami dah dengar penjelasan panjang lebar dari doktor yang beritahu kami kena pilih salah satu, sama ada ibu atau bayi. Akhirnya kami bersetuju untuk mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut,” kata Deja dalam nada sendu dan bergenang air mata di kelopak matanya.

Jelas Deja lagi, doktor telah menasihatinya untuk berehat selama enam minggu dan menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan yang lasak.

”Doktor pun ada nasihatkan saya rehat selama 6 bulan hingga setahun untuk mengandung kali kedua bergantung kepada tahap kesihatan saya. Even nak menyanyi pun tak boleh sebab doktor tak bagi saya buat kerja berat-berat,kata Deja yang menjalani pembedahan tersebut di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, pada 23 Disember lalu.

Terima sebagai qada dan qadar

Sementara itu, Fendy yand ditemui selepas majlis resepsi tersebut melahirkan rasa syukur kerana isteri tercintanya selamat menjalani pembedahan tersebut.

Biarpun dia agak kecewa dengan apa yang berlaku nyata anak jati Kuala Lumpur ini tetap menerima apa yang berlaku sebagai qada dan qadar yang sudah tertulis.

”Dia (Deja) punya kerja pun saya banyak ambil alih, walaupun dia nak turut serta dalam bantu persiapan majlis ini saya tak bagi. Saya suruh dia banyak berehat.

”Saya kagum dengan semangat dan sifat dia, alhamdulillah semuanya berjalan lancar, saya doakan dia cepat sembuh.

”Mula-mula seronok bila dapat tahu dia mengandung tapi bila dapat tahu tentang pilihan yang kami terpaksa buat saya kecewa jugak tapi kami reda dengan apa yang berlaku. Mungkin belum masanya lagi.

Menurut Fendy lagi, mereka tak merancang untuk mendapatkan cahaya mata secepat mungkin namun syukur dengan apa yang diberikan. Memang kami tak merancang, alhamdulillah rezeki awal walaupun tak lama,” katanya dalam nada sedih.

Tambah Fendy lagi, selepas ini Deja perlu menjalani tempoh berpantang seperti ibu-ibu yang baru lepas bersalin yang lain.

”Deja kena berpantang 44 hari macam ibu bersalin yang lain, lepas tu dia kena banyak berehat. Dia pun tak boleh lakukan kerja-kerja berat,” ujarnya.

Kedua mempelai telah selamat diijabkabulkan pada 30 Ogos lalu oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid, Ustaz Mohd. Nazarudi Nadzir mewakili bapa Deja, Wan Moss Wan Hamid di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.Penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini menerima mas kahwin RM1,111 bersama sembilan dulang hantaran tanpa memberitahu jumlah wang hantaran yang diterimanya.

Majlis resepsi pihak pengantin perempuan pula telah diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 16 November yang lalu.

Hasrat tidak kesampaian

Oleh Rozdan Mazalan


SYED ALWI SYED HASSAN.

Teater patriotik Melaka Menjelma yang bakal dipentaskan di Istana Budaya tinggal kenangan

HASRAT Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hassan, 78 untuk mementaskan karya terbarunya di Istana Budaya (IB) tahun depan tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhirnya dipercayai terjatuh di dapur kediamannya malam Ahad, baru-baru ini.

Ketua Pengarah IB, Juhari Shaarani berkata, pihaknya dimaklumkan, Allahyarham akan menghantar karya terbaru beliau yang berjudul Melaka Menjelma dalam masa terdekat ini untuk perhatian pihak IB.

“Pihak kita amat terkejut dengan kejadian menimpa Allahyarham kerana baru-baru ini beliau ada berjumpa dengan menteri kita bagi menghantar karya terbarunya untuk dipentaskan di IB.

“Karya beliau dijangka akan dipentaskan di IB pada tahun depan yang berkonsepkan patriotik yang sangat bersesuaian untuk diperjuangkan oleh IB bagi mengisi teater Tema pada tahun depan.

“IB sebelum ini pun pernah memberi dua slot untuk mementaskan karya beliau. Antaranya pada tahun lalu iaitu teater Keris yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

SYED ALWI ketika mengarahkan teater Keris.

“Sepanjang mengenali beliau, Allahyarham adalah seorang yang sangat tegas dalam bidang pengarahan. Walaupun tegas tetapi beliau cukup mudah untuk didekati kerana sikapnya yang gemar berjenaka,” katanya yang ingin mengadakan perbincangan bersama pihak atasan untuk meneruskan perancangan mementaskan karya Allahyarham bersama arahan pengarah lain.

Mantan IB (dulu dikenali sebagai Panggung Negara), Supiat Mukri berkata, kejadian menimpa Allahyarham cukup memeranjatkan negara terutama yang mengenali Seniman Negara itu.

“Sebagai kenalan rapat, saya cukup terkejut mendengar berita kematian Allahyarham, biarpun kita tahu bahawa beliau sudah uzur tetapi cara kematian itu seakan tidak boleh diterima.

“Saya mengenali beliau sejak awal 70-an lagi dan pernah terbabit dengan beberapa produksi beliau. Sejak saya di kementerian lagi pihak kita banyak memberi peluang kepadanya untuk mementaskan karya beliau.

“Sebagai sahabat juga, Allahyarham banyak mengadu kepada saya berkaitan dunia teater di negara ini. Jika dulu kerajaan sukar untuk memberi peruntukkan bagi pementasan teater tetapi hari ini pemahaman itu sudah berubah dan anak seni hari ini sudah diiktiraf,” katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi sahabat beliau, Rohani Yusof berkata, pengenalannya bersama Allahyarham di awal 70-an meninggalkan banyak nostalgia bersama.

“Saya rapat dengan Allahyarham sejak zaman 70-an lagi dan pernah terbabit dalam beberapa produksi arahan beliau. Pertama kali bersama beliau semasa dia mementaskan pementasan Getar Rasa (1971) dan memanggil saya untuk menjadi penyanyi dalam pementasan itu. Kemudian saya terbabit dengan teater Alang Rentak Seribu karya dan arahan beliau yang mula-mula dipentaskan di awal 70-an.

“Saya cukup rapat dan mengetahui beliau sangat suka memasak. Kali terakhir berjumpa beliau di Aswara sebulan yang lalu, namun saya tidak dapat bersembang lama kerana ramai tetamu di sana.

“Sememangnya pemergiannya adalah kehilangan besar bagi industri teater ini semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya,” katanya yang masih bersedih dengan kehilangan seorang sahabat baik.

Beliau pernah menerima pengiktirafan hasil karya seninya, antara karya yang memenangi pelbagai hadiah seperti drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris I Remember The Rest House (1992) dan Member of The Club (1994).

Beliau juga diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara kelima pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara.

Allahyarham disembahyangkan di Masjid Taman Tun Dr Ismail dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas zuhur, kelmarin.

Saling memuji, tidak janggal




PADAHAL mereka tidak sebaya tetapi masuk ke dunia lakonan, drama TV khususnya, si jelitawan Siti Shahrizah Saifuddin dan jejaka tampan bergaya, Fahrin Ahmad ini sering digandingkan bersama.

Ternyata usia tidak menghalang dua nama yang sedang indah di bibir ramai untuk mencapai penghayatan maksimum ketika di lokasi penggambaran.

Siti Shahrizah yang akrab disapa Eja ini sudah menginjak usia 36 tahun manakala, Fahrin pula jejaka 29 tahun yang semakin menjadi rebutan, walaupun pernah dihangatkan dengan kontroversi 'putus kasih' bersama pengacara dan penyampai radio popular, Linda Onn.

"Sering juga saya ditawarkan untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon baru, tapi entahlah, saya sedikit canggung tapi bukan kerana usia.

"Puas pihak penerbit pujuk, kata saya tak nampak tua atau tak jauh berbeza daripada segi fizikal dengan pelakon-pelakon baru itu. Tapi saya tolak juga sebab secara natural, rasanya saya tak mampu nak tenggelam dalam emosi lakonan jika digandingkan pelakon baru."

"Dengan Fahrin lain, walaupun dia lebih muda daripada saya tapi kami boleh bergandingan," kata Eja sambil memuji Encik Johan (watak lakonan Fahrin dalam Seputeh Kasih Ramadan) yang tersengih di sisinya.

Tambah Eja sedikit berseloroh: "Sepatutnya dia (Fahrin) hero saya dalam drama terbaru, Tasbih Cinta arahan Erma Fatima, tapi dia sibuk sangat, jadi terpaksa penerbit ambil pelakon lain."

Memperihalkan topik yang sama, cepat-cepat pengacara program realiti Sehati Berdansa ini mengangguk mengiakan pendapat wanita yang dibahasakan sebagai Kak Eja ini secara spontan.


PADA usia 36 tahun, Eja masih sesuai membawakan watak perempuan muda.


"Bukan sebab pelakon baru tak boleh berlakon tapi rasa janggal tetap timbul. Macam saya yang selalu dipasangkan dengan pelakon-pelakon generasi terdahulu sikit, Umie Aida dan Eja contohnya, soal janggal tak wujud lagi.

"Jadi, bila digandingkan dengan pelakon generasi baru, bukan tak boleh buat. Boleh, cuma rasanya lain sikit. Tapi bila tengok mereka berlakon sesama mereka, nampak macam tak ada masalah pula," jelas Fahrin yang kini popular dengan drama Fara di TV3.

Sebenarnya, persoalan usia dan siapa pasangan serasi bagi Eja dah Fahrin ini bukanlah tujuan asal fotografi bertempat di hotel Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur ini diadakan.

Ini semua gara-gara idea kreatif daripada Bill Bora, pengatur acara yang sering terlibat dengan majlis-majlis glamor di sekitar KL. Lantaran Eja dan Fahrin ini menjadi pasangan pilihan ramai penerbit drama dan disukai ramai peminat, mereka digandingkan sekali lagi.

Jadi duta kek coklat

Kali ini, bukan menerusi drama, filem atau program TV tetapi menjadi duta kek coklat mewakili hotel Crowne Plaza Mutiara menjayakan Selebrity Cake Sales bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada projek kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik anjuran Great Eastern.

Selain Fahrin dan Eja, seramai 28 selebriti lain seperti Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran, sertai ramai lagi yang mewakili 14 buah hotel bertaraf lima bintang akan berkumpul di Great Eastern Mall, Jalan Ampang bagi menjayakan jualan amal berkenaan. Acara ini akan berlangsung dari pukul 3 hingga 5 petang esok.

Nampak seperti manipulasi pihak korporat untuk menggunakan populariti para artis, tapi bagi Eja ini satu penghargaan buatnya.

"Mungkin ramai yang tak perasan, sebenarnya tak ramai masyarakat KL yang menonton dan pandai menilai kerja kami, kerja produksi drama Melayu. Apabila kami diundang sebegini, ini satu petanda bahawa hasil kerja kami selama ini memberi impak walaupun ia berlaku secara tidak langsung.


ASYIK bergurau, tak ada yang marah ke Fahrin dan Eja?


"Saya juga anggap penglibatan sebegini bukan semata-mata atas dasar publisiti tetapi sumbangan kami sendiri terhadap insan yang kurang bernasib baik.

"Walaupun bukan secara material tapi sebagai artis, inilah sumbangan yang mampu kami lakukan," katanya yang pernah sama-sama menjayakan kutipan dana RM1 juta untuk membantu anak-anak yatim Sabah menerusi Mount Kinabalu Charity Club 2008, Mei lalu.

Menyeru para peminat agar datang memeriahkan acara jualan kek coklat berkenaan, Fahrin pula tidak sabar untuk menjual sebanyak mungkin kek coklat yang diberi nama Innovation of Chocolates dari hotel yang diwakilinya.

"Saya fikir ini satu aktiviti positif, apabila kami dipanggil sebagai duta untuk mempromosikan apa juga acara, contohnya kebajikan seperti ini menunjukkan kami bukan setakat selebriti atau pelakon semata-mata. Kami juga ada tanggungjawab sosial,"kata Fahrin.

Penggambaran di Mekah

Seronok bersembang sambil menikmati keenakan kek coklat yang dihidangkan. Bicara kami terarah menyelinap kerja seni yang sedang dijalani Eja dan Fahrin.

Kata Eja, dia baru sahaja kembali dari Mekah, Madinah dan Taif kerana terlibat dengan drama bersiri Tasbih Cinta yang menjalani penggambaran selama 3 minggu di sana.

Disebabkan Fahrin tidak berpeluang beraksi bersamanya untuk drama berkenaan, Eja yang melakonkan watak Fatin menerusi Tasbih Cinta dipasangkan bersama pelakon yang tidak kurang hebatnya, Shahronizam Noor.

Selama penggambaran, bukan komitmen terhadap lakonan sahaja yang berjaya dilunaskan Eja, dia bahkan berpeluang menunaikan ibadah umrah yang menjadi sebahagian daripada agenda wajib umat Islam yang menjejakkan kaki di Bumi Ambiya.


FAHRIN, Eja dan Chef Raimi Ahmad (tengah) mewakili Hotel Crown Plaza Mutiara untuk menjayakan Selebrity Cake For Sale membantu si kecil yang bernasib malang.


"Itu kelebihan drama berkenaan, selaku pengarah dan penerbit Erma Fatima tidak pernah menyekat malah memberi kelonggaran kepada kami untuk mengerjakan ibadat umrah dan solat lima kali sehari. Saya sendiri sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali.

"Cuma saya kurang selesa dengan cuaca panas yang melebihi 40 darjah celcius. Selain itu makanan di sana juga agak kurang sesuai dengan selera Eja, tak tahan dengan makanan, berat badan turun 2 kilogram," cerita Eja tentang pengalamannya.

Selain drama arahan Erma berkenaan, Eja kini terbabit dengan drama bersiri Spa Q yang kini masuk musim kedua.

Tanpa Eja dan Tasbih Cinta, rezeki Fahrin untuk berlakon di Tanah Suci tidak terhakis begitu sahaja. Sebaliknya, hero TV ini menerima lamaran pengarah yang sama untuk membintangi dan terlibat dengan penggambaran empat telemovie serentak juga di Tanah Suci, awal bulan lalu.

Telemovie berkenaan termasuklah Tetamu Allah yang menggandingkan Fahrin dengan Ziana Zain, Nur Kasih Di Jabar Rahmah (juga dengan Ziana Zain), Qasidah Buat Laila (Fifi) dan Kau Mencipta Lalu (Norish Karman).


KERJA sosial begini beri kepuasan buat Fahrin sebagai sumbangan buat masyarakat.


"Sebagai pelakon saya anggap jadual penggambaran sebegitu sebagai cabaran. Hampir tiga minggu juga saya ke sana kemudian bergegas kembali ke KL kerana komitmen lain.

"Bayangkan, 11 jam dalam penerbangan, tiba di lapangan terbang terus bergegas ke Astro untuk program Sehati Berdansa, penatnya buka main, tapi dah jadualnya begitu," ucap Fahrin yang kini hangat digosipkan bercinta dengan pendatang baru, Scha.