Hasrat tidak kesampaian

Oleh Rozdan Mazalan


SYED ALWI SYED HASSAN.

Teater patriotik Melaka Menjelma yang bakal dipentaskan di Istana Budaya tinggal kenangan

HASRAT Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hassan, 78 untuk mementaskan karya terbarunya di Istana Budaya (IB) tahun depan tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhirnya dipercayai terjatuh di dapur kediamannya malam Ahad, baru-baru ini.

Ketua Pengarah IB, Juhari Shaarani berkata, pihaknya dimaklumkan, Allahyarham akan menghantar karya terbaru beliau yang berjudul Melaka Menjelma dalam masa terdekat ini untuk perhatian pihak IB.

“Pihak kita amat terkejut dengan kejadian menimpa Allahyarham kerana baru-baru ini beliau ada berjumpa dengan menteri kita bagi menghantar karya terbarunya untuk dipentaskan di IB.

“Karya beliau dijangka akan dipentaskan di IB pada tahun depan yang berkonsepkan patriotik yang sangat bersesuaian untuk diperjuangkan oleh IB bagi mengisi teater Tema pada tahun depan.

“IB sebelum ini pun pernah memberi dua slot untuk mementaskan karya beliau. Antaranya pada tahun lalu iaitu teater Keris yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

SYED ALWI ketika mengarahkan teater Keris.

“Sepanjang mengenali beliau, Allahyarham adalah seorang yang sangat tegas dalam bidang pengarahan. Walaupun tegas tetapi beliau cukup mudah untuk didekati kerana sikapnya yang gemar berjenaka,” katanya yang ingin mengadakan perbincangan bersama pihak atasan untuk meneruskan perancangan mementaskan karya Allahyarham bersama arahan pengarah lain.

Mantan IB (dulu dikenali sebagai Panggung Negara), Supiat Mukri berkata, kejadian menimpa Allahyarham cukup memeranjatkan negara terutama yang mengenali Seniman Negara itu.

“Sebagai kenalan rapat, saya cukup terkejut mendengar berita kematian Allahyarham, biarpun kita tahu bahawa beliau sudah uzur tetapi cara kematian itu seakan tidak boleh diterima.

“Saya mengenali beliau sejak awal 70-an lagi dan pernah terbabit dengan beberapa produksi beliau. Sejak saya di kementerian lagi pihak kita banyak memberi peluang kepadanya untuk mementaskan karya beliau.

“Sebagai sahabat juga, Allahyarham banyak mengadu kepada saya berkaitan dunia teater di negara ini. Jika dulu kerajaan sukar untuk memberi peruntukkan bagi pementasan teater tetapi hari ini pemahaman itu sudah berubah dan anak seni hari ini sudah diiktiraf,” katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi sahabat beliau, Rohani Yusof berkata, pengenalannya bersama Allahyarham di awal 70-an meninggalkan banyak nostalgia bersama.

“Saya rapat dengan Allahyarham sejak zaman 70-an lagi dan pernah terbabit dalam beberapa produksi arahan beliau. Pertama kali bersama beliau semasa dia mementaskan pementasan Getar Rasa (1971) dan memanggil saya untuk menjadi penyanyi dalam pementasan itu. Kemudian saya terbabit dengan teater Alang Rentak Seribu karya dan arahan beliau yang mula-mula dipentaskan di awal 70-an.

“Saya cukup rapat dan mengetahui beliau sangat suka memasak. Kali terakhir berjumpa beliau di Aswara sebulan yang lalu, namun saya tidak dapat bersembang lama kerana ramai tetamu di sana.

“Sememangnya pemergiannya adalah kehilangan besar bagi industri teater ini semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya,” katanya yang masih bersedih dengan kehilangan seorang sahabat baik.

Beliau pernah menerima pengiktirafan hasil karya seninya, antara karya yang memenangi pelbagai hadiah seperti drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris I Remember The Rest House (1992) dan Member of The Club (1994).

Beliau juga diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara kelima pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara.

Allahyarham disembahyangkan di Masjid Taman Tun Dr Ismail dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas zuhur, kelmarin.

No comments: