Peluang terakhir

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff




Jika gagal sebagai penyanyi Alyah berjanji untuk terus memberi sumbangan kepada industri muzik di belakang tabir saja

SEJAK memenangi pertandingan Bintang HMI pada 2000, Noor Hasliah Abu Hassan atau kini mahu dikenali sebagai Alyah, tidak pernah mengecap kegemilangan sebenar dalam dunia nyanyian. Walaupun sudah memiliki dua album solo sebelum ini, bintangnya dalam arena seni belum benar-benar bersinar.

Begitu juga namanya sudah biasa dikaitkan dengan beberapa pertandingan nyanyian seperti One In A Million (OIAM) dan Gang Starz setelah dia sudah pun bergelar artis. Tetapi, program terbabit juga belum mampu meletakkan gadis berusia 27 tahun ini pada tahap yang boleh dibanggakan.

Begitupun, semua kepayahan dalam mengejar impian bergelar seorang bintang tidak dijadikan halangan untuk Alyah meneruskan langkah dalam bidang yang amat dicintai. Menyedari usahanya selama bertahun-tahun tidak harus dinoktahkan begitu saja, wanita muda ini menanam semula keyakinan apabila dia diberi peluang oleh keluarga untuk muncul dengan album terbaru yang hanya diberi judul Alyah.

"Famili tidak pernah membantu saya 100 peratus dalam dunia muzik sebelum ini. Cuma kali ini, mereka memberikan peluang merakam album menerusi syarikat Complete Version. Kata mereka juga, inilah peluang terakhir untuk saya membuktikan kejayaan," kata Alyah ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Menurut wanita peramah ini, jika ditakdirkan album terbabit masih gagal menaikkan namanya, berkemungkinan besar dia akan berhenti daripada karier nyanyian, sebaliknya memberikan sumbangan kepada industri muzik di belakang tabir saja.



Album baru memuatkan lapan lagu hasil ciptaan Ajai, Aidit Alfian, Omar dan Azlan Abu Hassan. Ia diterbitkan Ajai dan sudah diedarkan ke pasaran seluruh negara November lalu oleh Maestro Records.

"Sedikit berbeza daripada penghasilan terdahulu, kali ini Ajai membentuk muzik saya lebih kepada pop Indonesia. Muziknya lebih berjiwa dan mengikut gaya kesukaan muda-mudi sekarang," cerita Alyah yang berasakan, dia sekali lagi berani memasuki studio menghasilkan album dek keyakinannya pada perancangan baik oleh keluarga dan pengurusan.

Sebagai memperkuatkan promosi, Alyah sudah pun merakamkan dua klip video lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai dan lirik Habsah Hassan serta lagu Ku Pinjam Satu Bintang, juga ciptaan Ajai dan lirik hasil tangan Roslen Fadzil (Slen). Bagi lagu kedua, dia menyanyikannya bersama peserta Akademi Fantasia musim keenam, Riz.

Ketika ini, single pertama, Tak Mungkin Kerana Sayang mula kerap diputarkan radio, menjadi petanda awal Alyah mewarnai persada muzik tempatan.


'Jodoh tak menyebelahi saya'

AWAL tahun ini, kedengaran gosip penyanyi yang pernah bernaung di bawah label EMI ini akan mengakhiri zaman bujang bersama jejaka Indonesia bernama Irfan. Begitupun, sehingga kini Alyah masih memegang status solo. Lalu, apa sebenarnya berlaku pada perancangan menaiki pelamin bersama pemuda berkenaan?

"Sepatutnya kini saya sudah pun berkahwin, sekiranya semua mengikut perancangan. Tetapi, nampaknya jodoh tidak menyebelahi saya. Apabila tiba dekat dengan saat kami sepatutnya bernikah, ia tidak menjadi kenyataan. Tidak ada keserasian lagi nampaknya antara kami berdua.

"Semuanya pernah berjalan dengan lancar, tetapi secara tiba-tiba, keadaan ‘meletup’. Jadi, saya jadi ‘gila’ jugalah untuk seketika. Mula-mula, saya memang berasa geram dengan apa yang terjadi. Namun, lama-lama saya dapat menerima kenyataan, antara kami memang tidak ada jodoh.

"Pasti ada hikmah di sebalik semua kesedihan itu. Contohnya, selepas saya tidak jadi kahwin, peluang merakamkan album pula tiba. Ia umpama peluang kedua untuk saya memberikan fokus kepada karier seni. Saya juga sudah tidak berhubung dengannya lagi. Biarlah tumpuan saya kini diberikan kepada album baru saja," katanya.

Dedah Alyah juga, dia ke Medan, Indonesia, beberapa bulan lalu juga bukan semata-mata untuk mendirikan rumah tangga bersama jejaka yang dikenalinya di Kuala Lumpur itu. Malah dia sendiri mempunyai rakan produser di bandar raya berkenaan. Lalu, kesempatan itu digunakan untuk meninjau peluang merakamkan lagu di sana.

Malah, dia sebenarnya sudah pun membuat perancangan merakamkan album bersama sebuah kumpulan diberi nama Recall di kota itu. Tetapi, rezeki tidak juga menyebelahinya apabila rancangan hanya tinggal rancangan, walaupun usaha ke arah itu sudah dilakukan. Saat dia menyelesaikan soal pembayaran di Medan, Mei lalu, saat itu jugalah dia terlepas tarikh akhir menyertai program Gang Starz walaupun dia antara peserta terpilih menjayakan program realiti berkumpulan itu bersama One Nation Emcees.

Sebelum itu, Alyah juga terpaksa menarik diri daripada kumpulan Fabulous Cats kerana berasakan dirinya tidak dapat memberikan komitmen akibat kesihatan diri.

"Saya tidaklah menyesal apabila meninggalkan kumpulan berkenaan kerana saya juga pada asalnya bermula sebagai penyanyi solo. Cuma saya agak terkilan kerana tidak dapat bersama-sama mereka dalam mengatur langkah membina nama. Bagaimanapun, kami masih berhubungan sebagai rakan artis.

"Saya dan kumpulan itu berpisah bukan kerana kami bergaduh. Ia berkait rapat soal komitmen saya apabila saya jatuh sakit. Mereka juga nampaknya sudah pun mempunyai anggota pengganti, Farhan," cerita Alyah lagi.

Info

  • ALYAH tampil bersama dua album sebelum ini, iaitu Destinasi pada 2002 dan Permata (2003). Dia turut merakamkan lagu bersama Fabulous Cats.

  • PENYANYI ini juga mengusahakan sebuah kafe, White Cafe, bersama keluarga di Johor Bahru (JB). Kafe berkenaan beroperasi sejak April lalu. Ia menyediakan hidangan ringan serta menyediakan kelengkapan karaoke. Kata Alyah, di JB, kalau sesebuah restoran tidak mempunyai karaoke, ia bagai tidak lengkap.

  • ALYAH turut merancang pembukaan sebuah butik menjual pakaian kasual di JB. Dia memilih kota raya berkenaan kerana berasakan, butik sedemikian sudah begitu banyak jumlah di ibu kota.
  • No comments: