MAJLIS sambut menantu penyanyi, Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss,35 dan suami, Azfendy Azzuddin,29 yang berlangsung di Dewan Perdana Felda malam tadi disambut meriah biarpun Deja baru sahaja selesai menjalani pembedahan akibat keguguran kandungannya seminggu yang lalu.
Biarpun jelas terpancar riak kelesuan di wajah si pelantun lagu Asmara Ini namun dia tetap melemparkan senyuman mesra buat tetamu yang hadir pada majlis resepsi pihak pengantin lelaki.
Berkonsepkan moden kontemporari, Deja tampil anggun menggayakan busana kebaya moden berwarna putih perak rekaan Putra Aziz dari butik Cosry manakala Andy tampil segak dalam persalinan baju Melayu dengan warna sedondon dari pereka yang sama.
Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu berlangsung hampir dua jam setengah dimulakan dengan perakakan masuk pasangan merpati dua sejoli diiringi enam orang ’flower girls’ yang menabur bunga di atas karpet merah menuju ke pelamin nan indah.
Penggunaan bunga ros berwana merah jambu menonjolkan suasana romantis serta menaikkan seri majlis persandingan Deja dan Fendy.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Yusof Nor.
Majlis resepsi yang menggabungkan konsep perkahwinan dalam taman turut diisi dengan beberapa majlis menepung tawar dan merenjis oleh keluarga pengantin kedua belah pihak, diikuti dengan persembahan menghiburkan daripada teman-teman rapat Deja seperti Misha Omar, Farhan AF4 dan Sharifah Zarina dan diakhiri dengan upacara memotong kek.
Majlis resepsi tersebut dihadiri kira-kira 800 orang tetamu yang terdiri dari kalangan ahli keluarga, rakan terdekat serta tetamu VIP.
Antara artis yang turut hadir memeriahkan majlis resepsi Deja dan Fendy ialah, penyanyi popular, Anuar Zain, Kevin Lau, Bob AF3, Rem, penerbit drama, Ziela Jalil, guru vokal AF, Siti Hajar dan pelakon Noniswara.
Tetamu yang hadir dihidangkan dengan makanan enak seperti nasi minyak, ayam masak merah, rendang tok, sambal udang berserai, dalca sayuran, acar buah, air sirap laici dan pencuci mulut istimewa, tapai aiskrim.
Alami keguguran
Hati ibu mana tidak sedih apabila mengetahui bayi yang dikandungnya terpaksa digugurkan kerana bimbang akan mengundang mudarat pada si ibu.
Biarpun sedih akan apa yang berlaku nyata Deja tabah menghadapi dugaan yang menimpa dirinya.
Walaupun mengalami kesukaran untuk menaiki tangga, kerana baru sahaja selesai menjalani pembedahan seminggu yang lalu nyata ia tidak memudarkan semangat Deja dan Fendy untuk meneruskan majlis resepsinya mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Biarpun sakit akibat pembedahan masih terasa namun Deja tetap menggagahkan diri meraikan mereka yang telah banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.
”Saya kesian dengan ibu dan ayah mertua saya sebab persiapan untuk majlis ini mereka dah atur lebih kurang sebulan yang lalu.
"Jadi agak payah untuk tangguhkannya, saya pun gagahkan diri untuk teruskan majlis ini walaupun ibu mertua ada minta hendak tangguhkan majlis ini dan tunggu hingga saya betul-betul sembuh,"kata Deja yang berehat seketika daripada menyannyi.
Bercerita mengenai kisah keguguran yang dialaminya baru-baru ini nyata mengungdang sebak di hati penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.
”Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, selama ini selepas keluar hospital memang saya tak pernah naik dan turun tangga. Jadi pertama kali masa naik tangga tadi memang rasa susah sangat sebab sakit sebab jahitan pembedahan itu masih belum pulih sepenuhnya.
”Saya dengan Andy sedar, saya mengandung masa usia kandungan dah enam minggu itu pun sebab masa itu saya rasa sakit. Kami dapat tahu pada hari Ahad dan masa dapat berita itu kami gembira sangat.
”Tapi pada hari Selasa masa saya buat pemeriksaan doktor nasihatkan kami supaya buat pembedahan buang kandungan itu sebab saya mengandung di luar rahim.
”Masa buat pemeriksaan kali pertama memang tak nampak tapi bila doktor pakar sakit puan yang memeriksa saya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena, dia buat pemeriksaan kali kedua, dan masa ini lah dia dapat kenalpasti saya mengandung di luar rahim.
”Saya bersyukur sangat benda ini dapat dikenalpasti pada tahap awal kerana menurut doktor tersebut kalau kami lambat buat pemeriksaan dia akan bahayakan nyawa saya sendiri.
”Selepas itu, doktor nasihatkan untuk buang tiub Falipio sebelah kanan sebab ia membahayakan kesihatan saya. Jadi doktor terpaksa buang juga akhirnya," ujar Deja yang berada dalam dewan bedah selama 2 jam 45 minit bagi menjalani pembedahan tersebut.
Menurut Deja dalam sejarah keluarganya juga tidak ada yang pernah mengalami masalah mengandung di luar rahim seperti yang dialaminya, dan ini adalah yang pertama terjadi perkara sedemikian terjadi.
”Ini pertama kali berlaku dalam keluarga saya. Saya tahu Fendy sangat sedih dengan apa yang berlaku. Even saya sendiri pun sangat kecewa masa mula-mula tahu mengenainya.
”Tapi bila kami dah dengar penjelasan panjang lebar dari doktor yang beritahu kami kena pilih salah satu, sama ada ibu atau bayi. Akhirnya kami bersetuju untuk mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut,” kata Deja dalam nada sendu dan bergenang air mata di kelopak matanya.
Jelas Deja lagi, doktor telah menasihatinya untuk berehat selama enam minggu dan menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan yang lasak.
”Doktor pun ada nasihatkan saya rehat selama 6 bulan hingga setahun untuk mengandung kali kedua bergantung kepada tahap kesihatan saya. Even nak menyanyi pun tak boleh sebab doktor tak bagi saya buat kerja berat-berat,kata Deja yang menjalani pembedahan tersebut di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, pada 23 Disember lalu.
Terima sebagai qada dan qadar
Sementara itu, Fendy yand ditemui selepas majlis resepsi tersebut melahirkan rasa syukur kerana isteri tercintanya selamat menjalani pembedahan tersebut.
Biarpun dia agak kecewa dengan apa yang berlaku nyata anak jati Kuala Lumpur ini tetap menerima apa yang berlaku sebagai qada dan qadar yang sudah tertulis.
”Dia (Deja) punya kerja pun saya banyak ambil alih, walaupun dia nak turut serta dalam bantu persiapan majlis ini saya tak bagi. Saya suruh dia banyak berehat.
”Saya kagum dengan semangat dan sifat dia, alhamdulillah semuanya berjalan lancar, saya doakan dia cepat sembuh.
”Mula-mula seronok bila dapat tahu dia mengandung tapi bila dapat tahu tentang pilihan yang kami terpaksa buat saya kecewa jugak tapi kami reda dengan apa yang berlaku. Mungkin belum masanya lagi.
Menurut Fendy lagi, mereka tak merancang untuk mendapatkan cahaya mata secepat mungkin namun syukur dengan apa yang diberikan. Memang kami tak merancang, alhamdulillah rezeki awal walaupun tak lama,” katanya dalam nada sedih.
Tambah Fendy lagi, selepas ini Deja perlu menjalani tempoh berpantang seperti ibu-ibu yang baru lepas bersalin yang lain.
”Deja kena berpantang 44 hari macam ibu bersalin yang lain, lepas tu dia kena banyak berehat. Dia pun tak boleh lakukan kerja-kerja berat,” ujarnya.
Kedua mempelai telah selamat diijabkabulkan pada 30 Ogos lalu oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid, Ustaz Mohd. Nazarudi Nadzir mewakili bapa Deja, Wan Moss Wan Hamid di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.Penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini menerima mas kahwin RM1,111 bersama sembilan dulang hantaran tanpa memberitahu jumlah wang hantaran yang diterimanya.
Majlis resepsi pihak pengantin perempuan pula telah diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 16 November yang lalu.
No comments:
Post a Comment