Pembaca, pelakon 'bebas' tuduhan pesta seks, direman hingga Ahad

Kesemua 26 ditahan diserah kepada Jabatan Narkotik

SEDUTAN rakaman siaran televisyen menunjukkan antara mereka yang ditahan, dipercayai menyertai 'pesta seks' menjelang tahun baru 2009 awal pagi semalam.

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Seramai 26 orang termasuk pembaca berita dan pelakon wanita, yang ditahan kerana dipercayai mengadakan parti seks di sini sempena Tahun Baru 2009 awal semalam, tidak akan dikenakan tuduhan berkaitan pesta seks.

Sebaliknya mereka telah dirujuk kepada jabatan narkotik untuk tindakan lanjut kerana menggunakan dadah.

Mereka termasuk seorang pembaca berita berusia 22 tahun, yang berkhidmat dengan rangkaian televisyen swasta dan seorang pelakon wanita sambilan, yang juga penulis skrip.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan polis di sebuah bilik di tingkat 11 hotel empat bintang di Jalan P. Ramlee kira-kira 3.30 pagi semalam.

Ketika serbuan kesemua mereka berpakaian lengkap manakala beberapa kondom yang tidak digunakan juga ditemui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Kominisioner Kanan (II) Ku Chin Wah berkata, kes itu telah dipindahkan ke jabatan narkotik untuk tindakan lanjut kerana dadah ditemui di kawasan kejadian.

Ketua Jabatan Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, ujian awal menunjukkan sembilan orang termasuk pembaca berita dan pelakon berkenaan positif mengambil dadah.

"Kesemua sembilan orang itu, yang berusia antara 20 dan 30 tahun didapati positif ujian menggunakan ekstasi dan ketamin dan mereka akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur Hospital untuk ujian lanjut," katanya.

Kang juga berkata, kesemua mereka akan direman hingga Ahad ini.

"Kami menyoal mereka untuk memberitahu sumber dadah diperoleh untuk siasatan lanjut," katanya.

Majistret Amalia Marsita Hamdan membenarkan reman ke atas mereka di bawah Seksten 15 (1)(a) Akta Dadah Berbajaya dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

BERITA TERDAHULU

Pesta seks: Penyampai berita kahwin minggu depan antara 26 ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang penyampai berita televisyen swasta dan seorang pelakon wanita adalah antara 26 orang yang ditahan dalam pesta seks dan dadah sambutan tahun baru di sebuah bilik hotel di Jalan P. Ramlee di sini, awal pagi semalam.

Penyampai berita berusia 22 tahun itu dijadual melangsungkan perkahwinan pada 10 Januari ini.

Operasi pukul 3.30 pagi yang diketuai oleh ASP Mahani Ahmad dari Bahagian D7 cawangan maksiat, judi dan kongsi gelap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL )itu turut mendapati pembaca berita wanita dan pelakon itu positif dadah.

Mahani berkata, serbuan di sebuah bilik di tingkat 11 itu turut menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, kokain dan syabu serta minuman keras.

"Kesemua 26 yang ditahan berumur 18 hingga 31 tahun dan sembilan daripadanya iaitu enam lelaki dan tiga wanita positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata pembaca berita wanita itu gagal dalam saringan pertama ujian air kencing yang mana didapati positif dadah jenis ketamin dan syabu.

Mahani berkata turut ditahan dalam serbuan itu seorang pelajar dari sebuah kolej swasta di Kelana Jaya berusia 20 tahun yang dipercayai ejen pembekal dadah.

Katanya ketika serbuan terdapat tiga pasangan berada di atas katil manakala selebihnya sedang berhibur dalam keadaan separuh sedar dipercayai mabuk.

Difahamkan pesta seks dan dadah itu dianjurkan oleh dua lelaki dan kesemua mereka berkenalan di dalam kelab dan melalui rangkaian laman web friendster.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPKKL dan sembilan yang positif dadah disiasat di bawah Sekyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.

Sementara itu, sambutan malam tahun baru di Bukit Bintang tercemar apabila kira-kira 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Bukit Bintang mendapati beberapa kejadian pergaduhan membabitkan remaja dilaporkan berlaku sejurus selepas detik 12 malam semalam.

Antara punca pergaduhan itu adalah akibat salah faham dan kerana mabuk.

Bagaimanapun anggota polis yang bertugas bertindak pantas meleraikan pergaduhan itu dan mereka yang terlibat telah ditahan untuk siasatan.

Selain itu, ada di kalangan pelancong asing yang menjadi sasaran peragut membabitkan kehilangan wang tunai, pasport dan alatan elektronik (gadget).

Sebanyak 10 laporan polis telah diterima oleh Balai Polis Bergerak yang ditempatkan di lokasi sambutan Tahun Baru di Jalan Bukit Bintang tersebut.

Seramai 200 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas membuat kawalan pada malam itu. BERNAMA

No comments: