Saat sukar gara-gara Jasmin

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


AFZAN ketika beraksi di samping pelakon, Jasmin Hamid.

Anak Wayang uji kreativiti peserta, perlu berlakon secara spontan

SETAHUN pengalaman di lokasi tidak sama dengan cabaran yang dilalui sepanjang seminggu menyertai persaingan Anak Wayang - Minggu Ketiga bagi merebut watak mekanik.

Afzan A Rahman yang mengetepikan saingannya, Mazlan Mokhtar mengakui, Anak Wayang membentangkan cabaran baru apabila kebanyakan tugasan dilakukan spontan sekali gus menguji kreativitinya sebagai pelakon.


“Ia cukup mendebarkan kerana saya tidak pernah berlakon pentas. Namun paling menyukarkan ketika beraksi dengan pelakon Jasmin Hamid di skrin hijau.

“Kami berlakon cuma berpandukan monitor tanpa sebarang skrip atau arahan. Saya akui ia memberikan cabaran besar kerana perlu pantas bermain dengan emosi dan penghayatan.

“Lakonan pula perlu lahir secara spontan. Semua itu tidak mudah, apatah lagi gandingan kami ialah pelakon yang sememangnya semula jadi dan hebat. Kami perlu bijak mengawal suasana kerana jika tidak lakonan akan ditenggelamkan oleh Jasmin,” kata Afzan.

DETIK mendebarkan apabila tiga peserta diumumkan tersingkir.

Ditemui selepas rakaman Pentas Anak Wayang: Minggu Ke-3 - Mekanik, anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, masa tiga hari yang diperuntukkan untuk menggali segala ilmu di kelas adalah terlalu singkat.

Dalam tempoh itu katanya, mereka perlu memanfaatkan segala ruang yang ada untuk dipraktikkan pada hari penggambaran.

“Masa memang terbatas kerana dalam tempoh singkat itu, kami perlu melengkapkan diri sebelum melangkah ke pentas persaingan.

“Banyak perkara perlu dititikberatkan dan paling menakutkan adalah gangguan di persekitaran yang mungkin menjejaskan fokus untuk memberi persembahan terbaik.

BIEL (kiri) masih tercari-cari arah dalam melunaskan tugasannya.

“Tambahan pula, saya seorang yang mudah gemuruh dan sukar melakukan sesuatu secara spontan. Alhamdulillah berdiri antara dua terbaik memberikan saya kekuatan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan,” katanya.

Afzan, 27, yang mengagumi Aaron Aziz berharap Anak Wayang membuka platform baru kepadanya untuk lebih dikenali dan bakatnya diakui khalayak.

“Sebelum ini kebanyakan watak yang ditawarkan kurang menonjol. Justeru saya memerlukan platform yang dapat mengetengahkan bakat dan secara tidak langsung menolak nama saya untuk lebih dikenali.

“Dengan Anak Wayang saya berharap bakat akan lebih diakui dan kebolehan saya dipercayai untuk diberi peranan lebih mencabar serta berkesan,” katanya.

Wajah duda anak satu yang pernah menghiasi drama seperti Nilai Cinta, Cinta Yang Indah selain drama bersiri 26 episod, Bonda yang disiarkan TV9 dipertontonkan dalam drama bersiri, Kecuali Cintamu, malam Isnin lalu.

Sementara itu, Mazlan atau Lan mengakui tidak kecewa apabila gagal meraih watak yang ditawarkan kerana percaya andai terus berusaha rezeki akan menyebelahinya.

Menyifatkan Afzan sebagai antara saingan terdekat kerana pengalaman luasnya dalam bidang lakonan, anak muda dari Pahang itu berkata, kesemua lima peserta yang bersaing untuk watak mekanik mempunyai kekuatan tersendiri.

Setiap mereka katanya, datang dalam pakej yang lengkap diperkuatkan lagi dengan karakter yang seandainya diasah mampu memberi persembahan mengesankan.

“Dalam pertandingan kita tidak boleh menidakkan kebolehan setiap peserta. Sesiapa saja yang diangkat sebagai pemenang berhak menerimanya kerana kesemua peserta sudah mencuba yang terbaik dengan tunjuk ajar tenaga pengajar selama di kelas,” katanya.

Dia yang meminati lakonan Abu Bakar Omar dan Fizz Fairuz mengakui, berada dalam kelompok 25 terbaik membuka matanya untuk membawa bakatnya ke tahap lebih selesa.

Kata Lan, apa yang penting adalah menggandakan usaha tanpa pantas berpuas hati setiap kali menerima pujian kerana semua itu hanya melekakan.

“Saya perlu lebih berani menonjolkan diri tanpa terlalu memikirkan diri ini sudah hebat apabila lakonan saya menerima pujian.

“Komen positif yang diberikan pengkritik saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki kelemahan. Masih banyak kekurangan dalam diri saya yang perlu diberi perhatian,” katanya merendah diri.

Lan yang pernah memegang peranan sampingan dalam telefilem, Misi serta filem Momok The Movie, mengakui dia berasa terlalu kerdil apabila digandingkan dengan pelakon sehebat Jasmin.

“Saya akui ketika itu terlalu gemuruh membuatkan lakonan saya menjadi kaku. Pada masa sama saya harus melawan diri dan cuba memberikan lakonan sebaik yang dipersembahkan Jasmin.

“Itu tidak mudah untuk dilalui memandangkan kami masih baru dan kurang pengalaman berdepan dengan situasi seperti yang dialami ketika tugasan Anak Wayang,” katanya.

Pelakon perlu bijak

PENGKRITIK tetap, Rashid Sibir ketika merumuskan persembahan peserta pada minggu ketiga berkata, pelakon yang baik tidak hanya bersandar kepada wajah kacak semata-mata.

Sebaliknya, mereka perlu bijak serta peka bermain dengan aspek dalam untuk diterjemahkan dalam lakonan sekali gus menggunakan ruang menonjolkan diri tanpa menenggelamkan pelakon gandingan.

“Persediaan penting selain perlu pantas melontarkan aksi, malangnya masih ada beberapa peserta yang agak berlebihan ketika berlakon.

“Masalah utama peserta adalah tidak bersedia membuatkan mereka hilang tumpuan apabila berlakon. Itu merugikan kerana sepatutnya ruang yang ada dimanfaatkan untuk menyerlahkan tugasan yang dipertanggungjawabkan.

“Saya memuji Afzan yang mempunyai pengisian dan nampak tenang dalam tugasannya. Nasihat saya, setiap mereka perlu berusaha keras andai mahu menjadi anak wayang yang dihormati,” katanya.

Nasha Aziz pula berkata, pelakon perlu mempunyai pengetahuan mengenai watak yang diamanahkan dengan melakukan kajian supaya tidak nampak kekok di mata penonton.

Lontaran suara serta olah tubuh dan bahasa badan katanya, turut memainkan peranan penting untuk menghidupkan watak namun ada yang tidak membuahkan hasil.

“Saya memuji Biel (Syed Hassan Nabil Al-Habshi) yang cuba mencari kelainan dalam wataknya sebagai tukang masak, malangnya usahanya itu tidak kesampaian,” katanya.

Minggu ketiga Pentas Anak Wayang turut menampilkan dua lagi peserta iaitu Lokman Sokran dan Amar Baharin dibantu dua pelakon muda berbakat besar, Nabila Huda dan Liyana Jasmay.

No comments: