Personaliti awal TV3 tidak mencari glamor


TETAP UNGGUL... (Belakang dari kiri) Mahadzir Lokman, Razak Abdullah, manakala (duduk dari kiri) Charmaine Augustin, Ezzah Aziz Fawzy dan Wan Zaleha Radzi telah mencipta kehebatan serta meletakkan nama mereka sebagai personaliti yang berlandaskan bakat dan bukan glamor semata-mata.


DALAM diam tak diam, hari ini (1 Jun) genaplah usia stesen televisyen swasta pertama negara, TV3 25 tahun.

Rasanya baru seperti semalam TV3 memulakan siaran pertamanya pada 1 Jun 1984 dan kehadiran TV3 ketika itu ternyata telah mencipta satu landskap yang cukup segar dan baru.

Selama suku abad beroperasi, TV3 telah meletakkan jenamanya ke satu peringkat yang cukup membanggakan dan sekali gus telah meninggalkan impak yang cukup besar dalam masyarakat hari ini.

Tempoh itu juga sememangnya bukan satu masa yang singkat untuk TV3 memberikan hiburan dan mesej yang berguna menerusi rancangan-rancangan terbitannya yang mendapat sambutan menggalakkan.

Mula beroperasi pada 1 Jun 1984, TV3 telah membuka satu lembaran baru dalam industri penyiaran negara dan membuka mata penonton tempatan menerusi isi kandungannya.

Tidak dinafikan juga di awal kemunculan TV3, mereka telah berjaya melahirkan personaliti-personaliti yang sehingga kini mampu bertahan serta mencipta kejayaan yang cukup membanggakan.

Tidak bersandarkan rupa semata-mata tetapi bakat yang dimiliki oleh mereka melangkaui segala-galanya kerana ia umpama permata yang cukup bernilai.

Bertempat di Sri Pentas, TV3 minggu lalu, satu sesi fotografi khas telah diatur dengan menghimpunkan nama-nama besar TV3 yang pernah mencipta satu fenomena satu ketika dulu.

Kehebatan nama-nama seperti Datuk Mahadzir Lokman, Abdul Razak Abdullah, Wan Zaleha Radzi, Charmaine Augustin dan Ezzah Aziz Fawzy sememangnya tiada tandingannya.

Fenomena yang dicipta mereka sememangnya telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam sehinggakan aura dan pesona yang dimiliki mereka sehingga kini tiada siapa mampu mengekangnya.

Berpeluang mendekati dan berbicara tentang TV3 bersama mereka, hanya kenangan manis dan terindah sahaja yang terbit dari bibir masing-masing.

Kelima-lima mereka menggamit memori yang tercipta sehingga gelak tawa mereka memecah keheningan di bilik yang dingin dan sunyi itu.

Ditambah dengan keletah dan gelagat Mahadzir atau lebih dikenali sebagai Dell yang bagaikan tok dalang menceritakan susur galur dan menyelusuri kenangan di TV3, menjadikan pertemuan selama lima jam bersama mereka terasa begitu singkat

Namun begitu, kelima-lima figura tersohor ini menjelaskan kemasukan mereka ke TV3 bukan untuk mengejar glamor tetapi sebaliknya minat dan kesungguhan untuk membina imej TV3 itu sendiri.

"Glamor? Tiada dalam kamus hidup kami. Semua itu datang sendiri. Kami tidak pernah mencarinya," kata mereka saat diajukan tentang kisah glamor dan populariti yang kini seolah-olah menjadi keutamaan bagi personaliti muda hari ini.

Nilai suara Razak

ANAK kelahiran Temerloh, Pahang ini sememangnya cukup dikenali menerusi suaranya yang cukup unik itu.

Biarpun wajahnya tidak ditatap, tetapi menerusi suaranya sahaja kita tahu suara itu dimiliki oleh pemilik nama penuh Abdul Razak Abdullah atau lebih mesra di sapa sebagai Razak.

Malah sehingga kini, khidmatnya masih lagi diperlukan untuk dijadikan sebagai suara latar dalam beberapa rancangan.

Menyertai TV3 pada tahun 1984 bersama lapan orang kakitangan yang lain termasuk Dell dan Gerard Benedict, Razak tidak pernah sesekali melahirkan rasa kesalnya apabila meninggalkan stesen itu selepas 10 tahun berkhidmat.

Apa yang penting baginya, stesen televisyen itu telah menyediakan satu platform terbaik bagi dirinya untuk mengembangkan bakatnya di luar dan menjadikan dirinya seperti hari ini.

"Bagi saya, setiap hari itu adalah proses pembelajaran untuk saya kerana kita perlu tahu bagaimana cara penyampaian hari ini yang ternyata berbeza seperti mana saya aplikasikan dulu.

"TV3 juga telah menjadikan diri saya sebagai seorang yang lebih berkeyakinan dan pengalaman selama sedekad di TV3 terlalu banyak saya kutip dan pelajari.

"Bukan itu sahaja, apa yang penting bagi saya adalah untuk melahirkan mutu kerja yang berkualiti semata-mata untuk TV3 dan juga penontonnya," jelas bapa kepada empat orang anak ini lagi.

Sepanjang berkhidmat dengan TV3, Razak tidak hanya menjalankan tugasnya sebagai wartawan penyiaran dan penyampai berita tetapi juga perantara untuk rancangan seperti Memo dan Sekapur Sirih bersama Christine Ling serta Nurfarahin Jamsari.

Malah, Razak juga tidak dapat melupakan pengalamannya melakukan tugasan sewaktu kemangkatan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada Disember 1990 yang berlangsung dari pagi sehinggalah selepas pengkebumian.

Sudah mencecah usia 54 tahun, Razak yang kini menetap di Pantai Dalam menjelaskan salah satu faktor dia meninggalkan TV3 adalah kerana keluarganya.

Kesibukannya sebagai petugas di TV3 kadang-kala menjadikan dirinya terasa begitu jauh dengan keluarga terutama anak-anaknya.

"Saya tidak mahu anak-anak tidak mengenali diri saya sebagai ayah mereka. Maka dengan itu, saya harus lakukan sesuatu demi kebaikan mereka. Percayalah, 10 tahun di TV3 sudah cukup membuatkan saya mampu mencari peluang lain," ujar Razak yang kelihatan sedikit susut.

Pengalaman berharga Ezzah

MENYERTAI keluarga TV3 pada November 1987 sebaik sahaja tamat pengajian dari Amerika Syarikat, wanita kelahiran Kluang, Johor ini tidak pernah terlintas untuk memilih pekerjaan ketika itu.

Masakan tidak, tahun itu dikatakan amat genting kerana kegawatan ekonomi yang menyebabkan ramai graduan luar negara terpaksa menganggur dan bekerja di luar lingkungan pengkhususan mereka.

Namun nasib menyebelahi Ezzah Aziz Fawzy apabila dia diterima masuk ke TV3 walaupun ketika itu hanyalah sebagai petugas separuh masa sahaja.

Tetapi tidak lama selepas itu, dia diterima sebagai staf sepenuh masa atas merit kecemerlangannya menerusi hasil kerja yang ditunjukkan sebagai seorang wartawan penyiaran.

"Dulu, kami sebagai wartawan memang harus peka dan sensitif terhadap semua perkara dan masing-masing tahu tugas yang telah diberikan.

"Malah, ketika itu juga tidak ramai yang berkhidmat dan menjadikan kami begitu rapat sehingga perhubungan kami seperti keluarga.

"Bukan itu sahaja, dengan bantuan serta tunjuk ajar wartawan senior seperti Razak dan Dell membuktikan mereka tidak lokek untuk mencurahkan ilmu untuk sama-sama membangunkan imej TV3," cerita Ezzah tentang kenangan silamnya sewaktu menyertai TV3.

Mungkin ramai yang terlupa, Ezzah juga merupakan salah seorang penyampai berita terawal menerusi segmen Dari Bilik Berita yang kini dikenali sebagai Berita Terkini.

Kelangsungan itu menjadikan Ezzah menjadi pilihan TV3 untuk mengacarakan Majalah 3 dan Nona selama lima tahun dari 1988 hingga 1993.

"Saya bangga kerana TV3 merupakan perintis dalam segala-galanya menerusi rancangan terbitan mereka.

"Mereka juga tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial mereka dalam memberikan mesej yang berguna kepada penonton selain daripada hiburan," ujar ibu kepada lima orang anak yang kini menjawat jawatan Penerbit Eksekutif Primeworks Studios.

Masih lagi setia bersama TV3, Ezzah yang sudah berusia 46 tahun itu sendiri tidak mampu memberikan jawapan sampai bila dia akan bertahan di TV3.

"Sukar sekali memberikan jawapan itu dan saya akan berkhidmat selagi saya diperlukan. Malah, saya juga kini sudah mengusahakan kedai makan iaitu Kawan Kopitiam yang sudah setahun beroperasi. Semuanya untuk persediaan masa depan," jelasnya tersenyum.

Bangga dengan Muzik-Muzik

SIAPA yang tidak kenal dengan Charmaine Anne Augustin atau Charmaine Augustin yang sememangnya cukup sinonim dengan rancangan hiburan Muzik-Muzik.

Karakternya yang gila-gila di samping pasangan pengacaranya dalam rancangan hiburan itu telah menjadikan anak berdarah Cina, Sepanyol dan Ireland ini antara personaliti TV3 yang cukup diminati.

Jika yang lain bermula sebagai wartawan penyiaran dan berkhidmat di bilik berita, tetapi ia berbeza bagi anak jati Kuala Lumpur ini.

Bermula sebagai penyampai intisari rancangan, tuah sememangnya berpihak kepadanya apabila menjadi tiga calon terbaik daripada 2,000 orang calon bagi mengisi tiga kekosongan sebagai pengacara rancangan terbitan TV3 ketika itu.

Muzik-Muzik menjadi tempatnya mencari rezeki dan ketika itu, pertama kali dia digandingkan dengan N.D. Lala untuk rancangan mingguan.

"Saya memang tidak dapat melupakan kenangan sewaktu di TV3 dan Muzik-Muzik kerana ia telah membuka lembaran baru dalam hidup saya.

"Ke mana sahaja saya pergi, pastinya akan menjadi tumpuan dan itu bukanlah yang dicari oleh saya sebenarnya. Tetapi, apa yang saya dan krew penerbitan Muzik-Muzik mahukan ketika itu adalah memberikan yang terbaik menerusi rancangan kami.

"Syukur kerana Muzik-Muzik berjaya menjadi sebuah rancangan hiburan yang diminati ramai dan peminatnya bukan sahaja dari luar bandar tetapi di bandar juga yang terdiri daripada golongan profesional," kata Charmaine yang masih lagi mengekalkan pesonanya meskipun kini berada di pertengahan usia 40-an.

Jelasnya lagi, ketika itu dia dapat menyaksikan sendiri kebangkitan industri muzik yang dilabelnya sebagai sesuatu yang cukup hebat dan dahsyat.

"Bayangkan, setiap kali artis baru muncul, Muzik-Muzik akan menjadi platform terbaik untuk mereka menonjolkan muzik dan karya mereka sekali gus meletakkan nama mereka di puncak.

"Jadi, saya berpeluang melihat kegemilangan industri muzik ketika itu dan sehingga kini, impak Muzik-Muzik dalam hidup saya sememangnya cukup besar," jelasnya yang kini menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar DDBPR.

Bukan itu sahaja, Charmaine juga memberitahu Muzik-Muzik telah membuka mata masyarakat tentang pengisian dan isi kandungan rancangan hiburan paling lama bertahan di Malaysia itu.

Sepanjang lima tahun berkhidmat di TV3, Charmaine yang masih lagi solo ini sudah empat kali mengacarakan Anugerah Juara Lagu dari tahun 1988 hingga 1991 selain beberapa rancangan hiburan khas yang lain.

Raja Memo milik Dell

MEMANG tidak kering gusi apabila Mahadzir Lokman atau Dell menceritakan pengalamannya sepanjang sedekad menjadi petugas dari tahun 1984 hingga 1994.

Antara yang menjadi perhatian adalah apabila Dell mengakui kerap menerima memo daripada pihak pengurusan.

Katanya, memo yang diterimanya bukanlah disebabkan masalah disiplin mahupun berkaitan kerja, tetapi untuk perkara yang tidak masuk akal.

"Saya pun pelik sampaikan untuk menjadi pengacara sebuah konsert ketika itu juga dipersoalkan sehingga menerima memo.

"Bukan itu sahaja, membantu rakan setugas untuk menyiasat sebuah kes kebakaran dan menyiapkan beritanya juga dikenakan memo.

'Itu antara dua insiden yang memang melucukan dan sehingga kini saya masih lagi menyimpan memo itu," kata pengacara unggul ini mengimbau kenangan silam.

Apa pun yang pasti jelas pengacara versatil berusia 52 tahun ini, segala pengalaman yang dikutip sepanjang berkhidmat di TV3 telah menjadikan dirinya seperti hari ini.

Jauh sekali untuk berasa menyesal meninggalkan stesen swasta itu, yang paling utama bagi Dell adalah untuk berasa bangga dengan pencapaian serta rekod yang telah dicipta oleh TV3 sepanjang 25 tahun berdiri dengan penuh gah.

Baik dari segi penyampaian berita yang lebih santai, memperkenalkan salam pembukaan serta melemparkan senyuman setiap kali permulaan berita, sudah cukup membuktikan kecemerlangan TV3 selama 25 tahun hasil daripada usaha semua pihak.

"Malah, TV3 juga mempelopori penyampaian berita dwibahasa oleh penyampai beritanya seperti saya dan Wan Zaleha Radzi.

"Bukan untuk mendabik dada mahupun bermegah tetapi dengan kelebihan bakat yang ada pada kami, ia disalurkan demi keuntungan semua pihak. Apatah lagi untuk memikirkan tentang glamor, itu adalah jauh sekali," katanya penuh makna.

Apa yang dia mahukan adalah untuk melihat generasi muda hari ini yang bercita-cita untuk menjadi penyampai berita memiliki penggunaan serta penyampaian bahasa yang betul serta tepat.

Selain daripada menjadi wartawan penyiaran, Dell juga pernah menjadi pengantara untuk rancangan Malaysia Hari Ini, Sekapur Sirih dan sudah pasti, pengacara pertama untuk rancangan hiburan sensasi, Melodi.

Dunia indah Wan Zaleha

ANAK jati Kuala Lumpur ini boleh dianggap sebagai ikon TV3 kerana impak yang terhasil daripada kemunculannya di kaca televisyen sememangnya cukup hebat.

Dia bagaikan dewi yang disanjung dan diangkat ke tahap tertinggi dan tidak salah apabila dikatakan dia bagaikan inspirasi kepada anak muda untuk menceburi bidang penyiaran.

Wanita berusia 45 tahun ini memiliki karisma dan pesona yang cukup membuatkan penonton setia TV3 untuk terus melekat di kaca televisyen menyaksikannya membaca berita mahupun mengacarakan Majalah 3.

Sambil ketawa kecil, Wan Zaleha atau lebih popular digelar Leha di kalangan rakan setugasnya di TV3, tidak pernah mengimpikan untuk bekerja di dalam bidang penyiaran.

Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang penyiaran, kata pemilik nama penuh Wan Nor Zaleha Wan Ahmad Radzi ini, TV3 telah berjaya membawanya ke satu dunia yang cukup berbeza dan tidak pernah diimpikannya selama ini.

Sesuai sekali bidang penyiaran dengan personalitinya yang menggemari aktiviti lasak dan agresif walaupun secara luarannya dia seorang yang lemah lembut.

"Kalau saya tidak meminta pekerjaan di TV3, tidak mungkin saya akan menikmati apa yang saya telah rasai sepanjang sembilan tahun bersama bekas majikan saya itu.

"Mereka telah memberi peluang kepada saya untuk melakukan aktiviti yang cukup saya gemari dan saya percaya semua itu tidak datang dengan sendiri.

"Sebaliknya, ia adalah usaha keras saya dan semua pihak yang berjaya menjadikan Majalah 3 khususnya sebagai satu kejayaan sehingga mampu bertahan ke hari ini," jelasnya yang memulakan tugas sebagai wartawan penyiaran pada tahun 1986 selama setahun setengah sahaja sebelum diserap menjadi penyampai berita.

Pada mulanya, dia hanya mahu memohon untuk jawatan sebagai penyampai intisari rancangan tetapi atas dorongan Dell yang juga sahabat karibnya, dia terus memohon untuk jawatan wartawan penyiaran.

Tambahnya, dia memang begitu teruja setiap kali keluar mencari berita dan membuat tugasan kerana dia berasa puas jika apa yang dilakukannya itu diterima dengan positif oleh audiens.

Malahan katanya, Majalah 3 juga telah membawanya merantau ke seluruh negara dan dunia untuk menyelami dan mempelajari sesuatu yang baru sehinggakan rancangan majalah itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

"Kecintaan saya kepada dunia penyiaran memang tiada batasnya. Apa sahaja yang saya lakukan ketika bersama TV3 adalah kerana minat yang cukup mendalam dan saya percaya jika itu ada dalam setiap daripada kita, nescaya apa yang dihasilkan itu akan terserlah," tutur isteri kepada Peter Imran Winton ini.

Antara tugasan mencabar baginya adalah sewaktu membuat laporan khas mengenai Penjara Pudu dan Penjara Kajang serta ekspedisi menyelam di salah sebuah pulau di negara ini.

Malah, Wan Zaleha juga pernah dipilih menjadi pengacara untuk pertandingan lagu iaitu ABU Golden Kite Song Festival satu ketika dulu.

No comments: