Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
Diana Danielle akui pengalaman berada di Pusat Latihan Khidmat Negara selama tiga bulan banyak meninggalkan kesan positif terhadap dirinya
TIGA bulan lalu, dia cukup risau dan perasaannya bercampur baur untuk meninggalkan ibu tersayang, adik angkat, teman sebaya dan keseronokan bergelar selebriti kerana harus mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang sejak 19 Mac lalu.
Namun, masa bergerak begitu pantas kerana pejam celik, Diana Danielle yang bakal menginjak usia 18 tahun pada November nanti sudah pun menamatkan sesi latihannya sejak 8 Jun lalu.
Ketika ditemui minggu lalu sebelum berangkat ke Jakarta selama empat hari kerana harus menyelesaikan beberapa urusan di sana, gadis comel tinggi lampai itu tidak dapat menyembunyikan perasaannya saat ini yang cukup merindui kembali suasana di PLKN.
Terlalu banyak kenangan dan pengalaman yang ditimba sepanjang berada di sana, malah akuinya, dia kini kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan mendatang.
Menurut Danielle yang bakal menjalani sebuah penggambaran telefilem Aidilfitri arahan Erma Fatima pada bulan ini, dia sudah mula boleh berdikari tanpa terlalu mengharapkan bantuan ibunya, Norsiah Ramli. Secara jujur, katanya, PLKN banyak mendidiknya menjadi lebih berdisiplin selain meningkatkan motivasi serta jati diri.
ANTARA gambar kenangan Diana sewaktu mengikuti PLKN di Kem Princess Heliza, Sepang. |
"Saya sekarang lebih fokus, malah semangat cinta terhadap negara juga lebih menebal. Berada di PLKN ibarat kenangan indah yang cukup bererti di dalam hidup saya. Paling mengujakan apabila saya dilantik sebagai Timbalan Penghulu Wirawati, bahkan saya turut menerima Anugerah Khas Komandan.
"Sebenarnya, rasa seperti baru semalam saja saya menarik beg untuk menyertai PLKN. Paling saya rindui sekarang ialah kawan dan cikgu serta aktiviti yang dilakukan. Pelbagai pendedahan saya pelajari termasuk latihan membina karakter pada bulan pertama, khidmat komuniti (bulan kedua) dan kelas kenegaraan (bulan ketiga). Saya rasa bebas dan merasai nikmat seperti remaja lain kerana sebelum ini saya tidak berpeluang melakukan perkara yang diatur di PLKN.
"Dalam pada itu, saya bersyukur kerana mama tinggal tak jauh sangat daripada kem berbanding peserta PLKN dari Sabah dan Sarawak yang jarang dapat bertemu dengan keluarga masing-masing. Lalu, mama kerap meluangkan masa terutamanya pada bulan pertama saya di PLKN. Cuma dua bulan seterusnya, mama agak sibuk mungkin hingga tidak sekerap bulan pertama dia datang melawat," usik Danielle.
Ambil jurusan biosains di Universiti Nottingham
DIANA melonjak gembira di depan bangunan utama cawangan Universiti Nottingham di Semenyih. |
UMUM juga kini tahu, pelakon yang pernah dikenali dengan drama Air Mata Maria itu akan melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham cawangan Semenyih dan katanya, dia akan mendaftar masuk mulai 9 Julai depan.
Pemilik bernama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu mengambil pengajian asas jurusan biosains selama setahun sebelum melanjutkan ia ke peringkat ijazah berbaki tiga tahun lagi.
Tawaran pengajian ini sedikit sebanyak mengubat kedukaan yang dirasainya selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mencatat 2A masing-masing untuk subjek Matematik dan Bahasa Inggeris manakala 5B untuk subjek Sejarah, Kimia, Fizik, Bahasa Melayu dan Biologi.
Katanya lagi kini keutamaan jatuh kepada bidang pengajian, namun, itu tidak bermakna dunia seni akan ditinggalkannya begitu saja.
"Saya sudah melakukan lawatan awal ke universiti terbabit baru-baru ini dan amat berpuas hati dengan persekitarannya. Seronok juga melihat senario di sana dan ia satu permulaan yang baik buat saya memulakan pengajian. Saya menyambung pelajaran ini bukan untuk buktikan apa-apa atau kepada sesiapapun. Ia ada matlamat yang saya impikan sekian lama demi masa depan yang lebih menjaminkan.
"Tujuan saya memilih bidang itu kerana saya bercita-cita mahu menjadi saintis yang berjaya. Insya-Allah, kalau ikut perancangan nanti, pada tahun akhir, saya akan ke England menyudahkan baki pengajian yang tinggal. Apa terjadi, saya sebolehnya tidak mahu melupakan bidang seni yang cukup dicintai. Bidang lakonan menjadi keghairahan tertinggi saya dan saya belum puas lagi dengan apa yang dipersembahkan selama ini.
"Lagipun sejak berusia sembilan bulan lagi saya sudah berlakon iklan. Mustahil saya akan luputkan ia daripada ingatan. Bidang seni ini pun belum tentu mampu memberi jaminan kehidupan kepada saya. Maka, pengajian yang saya bakal lalui ini mungkin dapat menampung rezeki saya ke depan kelak. Artis lain seperti Dafi contohnya mampu mengimbangi masa di antara dua bidang ini. Saya pun akan buktikan perkara yang sama," katanya yang yakin dengan komitmen dan fokus, dia mampu membahagi masa antara seni dan pelajaran.
Setakat ini, Danielle belum mendapat jadual pengajiannya dan dia belum boleh memberikan pengesahan untuk sebarang tawaran seni. Beralih ke bidang nyanyian yang pernah dipukul canang termasuk melebarkan sayap ke negara seberang, Danielle nampaknya tidak mempedulikan cakap-cakap belakang yang masih meragui kemampuannya untuk bergelar penyanyi.
Katanya, hasrat dan impian itu akan terus menjadi kenyataan. Hanya masa akan menentukan dan penantian Danielle akan berbayar tidak lama lagi. Hip difahamkan komposer Octav Panggabean yang pernah menyatakan keinginan untuk bekerjasama sebelum ini tidak lagi berterusan. Khabarnya, Danielle akan bekerjasama dengan sebuah syarikat lain yang belum boleh didedahkan lagi buat masa ini.
"Saya lakukan ini semua atas tiket ingin mencuba dan berkongsi sedikit bakat yang ada. Saya tak salahkan masyarakat yang memandang sebelah mata bakat nyanyian ini. Saya harus buktikan bahawa saya ada bakat dan tidak boleh sesekali patah semangat. Tidak kiralah dalam bidang pelajaran mahupun seni, saya kena lalui sisi baik atau negatif sekalipun yang bakal menerjah kepada saya," katanya menoktahkan perbualan.
INFO: Diana Danielle
No comments:
Post a Comment