Kamera... Action!

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


DARI kiri, Ahmad Khairi Zulkifli, Hasymee Latif dan Arzuan Anuar (Alet)

XY - Ikon Lelaki minggu ini menyelami prospek kerjaya tiga jejaka yang bergelar penerbit di stesen televisyen 8TV. Muda dan kreatif - momentum itulah mewakili generasi muda yang mencorak dunia penyiaran Malaysia hari ini! Ayuh, kenali mereka...

ADA nada berbeza dalam cerita Ahmad Khairi Zulkifli, Arzuan Anuar dan Hasymee Latif tatkala menyentuh soal kerjaya dalam dunia penyiaran. Posisi di belakang tabir tentunya meletakkan profesion mereka tidaklah menonjol berbanding aksi di depan kamera.

Namun, bukan calang-calang tanggungjawab tiga anak muda ini. Cabaran memikul tugas penerbit program dan jurukamera memaksa tiga insan kreatif ini mencetus idea melangkaui kotak fikiran. Ini penting dalam memastikan program yang diterbitkan mereka segar, relevan dan memberi impak besar kepada penonton.

Peluang berkunjung ke studio mini 8TV di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini merungkai segala persoalan mengenai skop kerjaya tiga personaliti ini. Bagi tiga anak muda ini, bidang diceburi mereka menuntut kreativiti tinggi selain perlu cekap bertindak dalam memastikan kelancaran program.

"Apatah lagi andai kita mengendalikan segmen secara langsung. Itulah yang lebih mencabar kerana penonton menyaksikan terus di kaca televisyen.

"Saya pernah mengalami keadaan mencemaskan apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus ketika kami sedang bersiaran untuk program Latte at 8 yang dihoskan Jason Lo di Genting Highlands, beberapa tahun lalu.



"Bayangkan, ketika itu rating 8TV tinggi kerana Latte at 8 disiarkan sebaik saja Malaysian Idol berakhir," kata Arzuan Anuar mengingatkan detik terbabit dalam program bual bicara secara langsung itu.

Menyingkap skop kerjaya sebagai penerbit, tidak ada apa yang lebih membanggakan tiga anak muda ini selain kepercayaan dan kebebasan mencetus idea baru. Meletakkan sasaran untuk golongan urban, nyata setiap program di 8TV menjurus kepada aliran terkini.

"Lebih penting, masyarakat harus berani berubah dan tidak terlalu sensitif dalam menolak sesuatu pembaharuan. Usahlah sekadar berpuas hati dengan apa yang ada, sebaliknya tampil lebih kreatif dan berani berubah bagi memajukan dunia penyiaran," kata Hasymee Latif bersemangat.

Muda, berkaliber dan kreatif - Ikuti bicara di belakang tabir tiga jejaka ini...


Dunia TV Ahmad Khairi

MEMILIH jurusan penyiaran sebagai subjek pilihan pada semester akhir pengajian, Ahmad Khairi Zulkifli tidak menyangka bidang itu akhirnya menjadi punca rezeki. Bergelar penerbit untuk segmen Quickie di 8TV, nyata banyak cabaran dilaluinya.

"Banyak perkara baru saya pelajari setiap hari. Biarpun segmen Quickie tidak mengambil durasi lama berbanding program lain, kandungannya yang berinformasi serta konsep interaksi bersama penonton memaksa kami memikirkan idea baru untuk sajian televisyen.

"Cabaran ini memberi pengalaman baru dan menarik bagi saya sejak berkecimpung dalam dunia penyiaran," katanya yang memiliki ijazah dalam bidang animasi di sebuah institut pengajian tinggi swasta.

Kata Ahmad Khairi, bergelar penerbit di stesen televisyen urban tidak bermakna tugasnya mudah. Sebaliknya, beliau sama menggembleng tenaga dan turun padang untuk memastikan kandungan dan sumber informasi digarap sepenuhnya.

Pada usia 28 tahun, Ahmad Khairi yang juga mempunyai band muzik, Siarra, mengimpikan sebuah program muzikal yang disiarkan secara langsung.

Bagi anak muda ini, dunia penyiaran melalui fasa berbeza yang menuntut perubahan dan idea baru. Apatah lagi penonton sudah mempunyai banyak pilihan dan alternatif untuk memilih program televisyen kegemaran.

"Disebabkan itulah, kita tidak boleh berada di takuk lama semata-mata sudah selesa dengan paparan sedia ada. Lebih-lebih lagi cabaran dan persaingan begitu sengit dalam dunia penyiaran sekarang," katanya.

Ahmad Khairi sempat bercerita mengenai pemilihan pengacara Quickie, Henry Golding. Katanya, sudah menjadi rezeki pengacara itu yang terpilih daripada 30 jejaka yang mencuba nasib.

Ditanya apakah kriteria dimiliki jejaka berdarah kacukan itu, Ahmad Khairi menyifatkan personaliti Henry yang ceria serta petah berkata-kata memberi impak dan disenangi ramai.

"Tidak sukar bekerja dengannya kerana dia tahu apa yang dikehendaki," katanya.

Profil: Ahmad Khairi Zulkifli
Umur : 28 tahun
Tarikh lahir : 14 April 1981
Tempat lahir : Damansara, Kuala Lumpur
Tinggi : 171 sentimeter
Berat : 65 kilogram.

Jelajah Alet

SELAMA lima tahun berada di belakang tabir, banyak cerita dikongsi jejaka kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.

Selain menuntut kerja lebih masa, Arzuan Anuar atau lebih mesra dengan panggilan Alet mengakui banyak pengalaman dan eksperimen dilakukannya untuk diketengahkan dalam program 8TV.

Apatah lagi, menurut Alet, tenaga kerja stesen televisyen itu mewakili suara generasi baru yang mahu mengetengahkan sesuatu yang berbeza daripada paparan segmen hiburan sedia ada.

"Bayangkan ketika peringkat awal penubuhan 8TV, kami terpaksa melakukan hampir semua skop kerjaya merangkumi suntingan, penggambaran, skrip hinggalah pengisian rancangan. Ini semua dilakukan bagi memastikan stesen ini membawa kandungan yang lebih urban kepada penonton.

"Mujur masing-masing faham dan bersemangat untuk tampil dengan idea baru," katanya yang bermula sebagai pelatih amali bergandingan dengan pengacara Quickie, Rina Omar di stesen televisyen itu.

Alet berkata, tugas sebagai penerbit tidak saja terikat di studio, sebaliknya beliau turun padang bagi memastikan setiap segmen dan program menepati cita rasa penonton.

Tidak mahu setiap program yang ditampilkan berteraskan konsep sama, Alet gembira diberi kebebasan menggunakan kreativitinya dalam bersiaran.

"Ini dirasai ketika saya terbabit dalam penggambaran bersama Qi dalam program, Feel Trip USA. Program ini memberi kebebasan kepada saya untuk meneroka dan menyelami budaya dan suasana berbeza di luar negara.

"Walaupun ada masanya saya hampir tidak mempunyai masa terluang, pengalaman yang diperoleh sebagai penerbit di 8TV memberi makna berbeza dalam hidup," katanya.

Ditanya mengenai program televisyen kegemarannya, Alet tanpa berselindung mengakui, beliau menggemari program Flight of the Conchords, American Idol, Family Guy dan The Simpsons.

Profil: Arzuan Anuar (Alet)
Umur : 27 tahun
Tarikh lahir : 6 April 1982
Tempat lahir : Sungai Petani, Kedah
Tinggi : 180 sentimeter
Berat : 65 kilogram.

Kreativiti Hasymee

LIMA tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran cukup mematangkan Hasymee Latif mengenai selok belok dunia glamor itu. Biarpun bukan sebagai personaliti, Hasymee yang juga pemegang ijazah media dari University Melbourne, Australia nyata menemui keseronokan sebagai penerbit.

Kata Hasymee, sejak memulakan kerjaya pada Disember 2003, beliau terdedah dalam banyak perkara baru terutama dalam bidang pengarahan dan penerbitan program televisyen. Lebih-lebih lagi, ketika itu, 8TV baru bertapak dalam dunia penyiaran negara.

"Jika kakitangan baru sekarang mendakwa tugas mereka berat, tipulah kerana peralatan yang digunakan sekarang makin banyak dan moden berbanding dulu," katanya.

Sambil bercerita pengalaman bekerja di 8TV, Hasymee berkata, beliau pernah berdepan situasi mendebarkan apabila tetamu yang diundang dalam sebuah program yang dikendalikan secara langsung, terbabit dalam kemalangan kecil.

"Bayangkan situasi kita ketika itu yang menuntut kita bersikap profesional dan pada masa sama, membantu tetamu jemputan yang terbabit dengan kemalangan. Situasi ini banyak membantu saya lebih berhati-hati," katanya.

Ditanya mengenai masa depan dunia penyiaran di Malaysia, Hasymee percaya masyarakat bijak menilai serta mempunyai cita rasa memilih program hiburan yang digemari. Selain itu, kemunculan banyak program baru memberi anjakan kepada segmen hiburan tempatan.

"Kemunculan program seperti Kami sebagai contoh memberi pembaharuan ketara dalam gaya hidup remaja di Malaysia. Inilah yang harus ditampilkan dalam banyak program televisyen tempatan bagi menyaingi program yang dibawa masuk dari luar negara," katanya yang menggemari program televisyen Dexter dan True Blood.

Profil: Hasymee Latif
Umur : 26 tahun
Tarikh lahir : 9 Mac 1983
Tempat lahir : Kuantan, Pahang
Tinggi : 169 sentimeter
Berat : 55 kilogram.

No comments: