MEREKA mula dikenali menerusi album Dookie (1994) tetapi naskhah American Idiot yang sebenarnya telah berjaya meletakkan Green Day ke peta muzik global. Berbekalkan lirik berani yang mengupas senario semasa terutama isu politik, Green Day berjaya memartabatkan punk rock sebagai muzik arus perdana di Amerika Syarikat (AS) ketika itu.
Mendiamkan diri sejak album American Idiot (2004), Green Day yang sering dibandingkan dengan kumpulan Ramones, The Clash, Sex Pistols dan The Jam terkenal dengan muzik rentak pantas dan bertenaga. Ditubuhkan pada tahun 1987, kumpulan trio dari AS itu terdiri daripada Billie Joe Armstrong (vokal, gitar), Mike Dirnt (gitar bass, vokal) dan Tre Cool (drum, perkusi).
Pernah memenangi tiga Anugerah Grammy, album Green Day sudah terjual sebanyak 22 juta unit di AS sahaja. Mengambil masa tiga tahun untuk menerbitkan album kelapan mereka, 21st Century Breakdown, naskhah itu sudah menemui peminat serata dunia bermula semalam.
Diterbitkan oleh Butch Vig, album itu menceritakan kehidupan masyarakat kini yang sentiasa dimanipulasi oleh kerajaan, agama, media dan pihak-pihak lain. Liriknya yang lebih bersifat politik menceritakan kronologi kehidupan satu pasangan, Christian dan Gloria berdepan dengan 'masalah' yang ditinggalkan oleh Presiden AS ke-43.
|
|
Dibahagikan kepada tiga babak, Heroes and Cons, Charlatans and Saints dan Horseshoes and Handgrenades, album itu masih mengekalkan elemen muzik opera rock sepertimana yang terkandung dalam album American Idiot.
Bagi mendalami album yang banyak dipengaruhi oleh muzik Queen, The Clash dan Bruce Springsteen itu, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Warner Music Malaysia.
Perasaan bekerja untuk album studio kelapan?
DIRNT: Ia mungkin album paling sukar yang pernah kami rakamkan. Kami mempunyai ilham baru dari segi penulisan lagu tetapi tidak tahu cara untuk memulakannya.
ARMSTRONG: Bagi saya, album ini adalah satu proses yang memenatkan.
Berbicara mengenai album terbaru anda, 21st Century Breakdown, adakah ia menyampaikan mesej lebih mendalam berbanding American Idiot? Apakah isi kandungannya?
DIRNT: Ia situasi realiti kehidupan di Amerika Syarikat buat masa ini. Ia adalah penghujung kepada satu era, tetapi permulaan kepada era baru.
ARMSTRONG: Ia adalah mengenai keadaan huru-hara di jalan raya dan pemberontakan terhadap kerajaan secara beramai-ramai.
Kita sedang berdepan dengan kemelesetan ekonomi dan ramai orang telah berputus asa. Namun, anda masih sanggup menulis lagu mengenai kesengsaraan dunia?
ARMSTRONG: Saya suka menulis mengenai politik. Saya rasa paling berkuasa apabila mampu menggunakan perkataan sebagai senjata.
Adakah benar 21st Century Breakdown mengambil masa selama tiga tahun untuk dirakamkan?
ARMSTRONG: Ya. Ia lebih besar, berani, garang dan bergelora berbanding album kami sebelum ini. Rasanya kami telah merobohkan satu benda dan membinanya sekali lagi. Itu yang mengambil masa panjang.
Green Day masih dikenali sebagai kumpulan indie dan peminat membesar bersama anda sehingga kini. Ada yang menyatakan bahawa kalian mampu mencapai kejayaan besar walaupun tidak di bawah label besar seperti Warner Brothers?
ARMSTRONG: Kami menandatangani kontrak dengan Warner Brothers pada tahun 1993, masa itu amat teruk. Adalah bagus anda mempunyai suara hati mengenai apa yang sedang berlaku. Ketika itu kami berasa seperti orang lumpuh. Kami tidak dapat menikmati apa yang sedang berlaku ketika itu. Kami asyik berfikir sama ada kami melakukan perkara yang betul dengan menandatangani kontrak syarikat rakaman gergasi.
Adakah anda sudah mengetahui konsep album sebelum memasuki studio dan mencipta 21st Century Breakdown ini?
DIRNT: Tidak. Kami bermula tanpa sebarang arah tujuan. Dari situ kami ingin melahirkan muzik genre berbeza.
ARMSTRONG: Ini adalah album paling 'ganjil' yang pernah kami lakukan. Sekarang ini belum ada pendengarnya, kami tidak tahu ia satu idea yang teruk atau tidak.
Bagaimana dengan liriknya?
ARMSTRONG: Saya jadikan diri saya seperti 'span' yang akan menyerap semua benda yang dibaca atau tonton di TV. Kadangkala saya sendiri tidak pasti dari mana saya mendapat liriknya. Contohnya ketika saya menyanyi lirik yang berbunyi, Sieg Heil to the President gas man dalam lagu Holiday (album American Idiot), saya terkejut dan memikirkan dari mana saya mendapat liriknya. Saya mempunyai perasaan yang sama ketika menulis dua buah lagu untuk album ini.
Bagaimana anda mendapat idea untuk membahagikan album ini kepada tiga babak?
TRE COOL: Kami sedang duduk di lantai dengan membentangkan kertas dan lirik.Kemudian kami bertanya lagu apa yang boleh dikumpulkan bersama. Selepas itu kami membuat keputusan untuk membahagikan album itu kepada tiga babak iaitu Heroes & Cons, Charlatans and Saints dan Horseshoes and Handgrenades.
Pada tahun 2006, Green Day berehat dan kalian melakukan kerja secara berasingan. Apa yang kalian lakukan?
DIRNT: Saya melawat negara Eropah bersama tunang. Apa yang saya mahu ialah waktu rehat, kehidupan yang ringkas bersama keluarga dan kawan-kawan.
TRE COOL: Saya pula berada di Cuba dan belajar bermain drum.
Bagaimana pula dengan anda, Armstrong?
ARMSTRONG: Saya melawat New Orleans untuk memberi bantuan bagi membina semula rumah yang musnah akibat taufan Katrina. Walaupun sudah setahun tragedi itu berlaku, tempat itu masih teruk. Kami membina bumbung dan apa yang mengujakan, penduduk di sana tidak mengetahui identiti saya. Ideanya datang daripada isteri saya, Adrienne.
Pernahkah anda bertiga mempunyai perasaan untuk bersara daripada industri muzik?
DIRNT: Pernah sekali Armstrong menelefon saya dan bertanya, "Anda mahu lakukan benda (menyanyi) ini lagi?" Dan saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab kerana kami tidak tahu apa yang boleh dilakukan selepas ini. Kami duduk dan bertanya pelbagai soalan. Adakah kami mahu berpisah? Tapi kami masih mempunyai kesungguhan dan 'kemarahan' yang ingin ditonjolkan. Lagipun kami bukan jenis orang yang mudah berputus asa.
ARMSTRONG: Sebenarnya saya tidak suka orang memanggil saya dengan gelaran bintang rock (rockstar). Saya cuba untuk memusnahkan apa yang berkaitan dengan gelaran itu. Sebenarnya kami boleh berseronok dengan karier kami. Tetapi kami telah mengambil masa 10 tahun untuk sedar dengan mula menikmatinya. Kejayaan album American Idiot telah menyedarkan kami.
Maksudnya anda bertiga tidak pernah berfikir untuk berhenti secara serius?
ARMSTRONG: Saya rasa kami ingin menjadi salah sebuah kumpulan yang terbaik. Kami merasakan masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Jadi, idea berhenti tidak ada dalam agenda lagi.
No comments:
Post a Comment