SEBAGAIMANA disiarkan Sinar Harian semalam, pelakon yang sedang popular dengan drama komedi Pepaya, Zul Yahya sudah pun menimang cahaya mata sulung. Bayi yang diberi nama Arissa Qaisara itu selamat dilahirkan jam 12.30 tengah hari di Pusat Perubatan Darul Ehsan, Seksyen 9, Shah Alam oleh isteri Zul, Siti Raihan Mohd Rodzi, 24. Menurut Raihan, maksud bagi nama yang dipilihnya itu ialah ‘ketabahan, keazaman permaisuri’.
Jika sebelum ini nada ceria hanya dapat ditangkap pada suara Zul menerusi telefon, kesempatan melawat sendiri pelakon ini membenarkan telahan bahawa dia sedang berbahagia dengan kurniaan yang diterima pada awal Syawal ini. Manakan tidak, di saat juru gambar sibuk mengambil gambar bayinya bersama isteri, Zul juga tidak putus-putus berbuat perkara yang sama. Malah katanya, Arissa kini dianggap ‘girlfriend’ nombor satu dalam hidup.
“Asalnya Isnin lalu kami datang untuk membuat pemeriksaan biasa sahaja kerana Raihan dijangka bersalin pada 18 Oktober ini. Tapi kami terperanjat besar apabila doktor memaklumkan Raihan perlu datang kembali petang itu juga dan bersedia untuk bersalin kerana sudah ada bukaan sebanyak 3 cm. Dalam keadaan terpinga-pinga kami pulang semula ke rumah untuk mengambil barangan keperluan tapi memandangkan Raihan masih belum terasa sebarang sakit, kami hanya kembali ke hospital pada sebelah malamnya.
“Keesokan paginya (Selasa) bukaan yang dicatatkan pada pukul 11 pagi baru 4 cm dan kesakitan hanya mula dirasai setelah air ketuban dipecahkan. Alhamdulillah tanpa perlu menahan sakit terlalu lama, tengah hari itu juga anak kami selamat dilahirkan,” cerita Zul yang menemani isterinya sepanjang proses bersalin. Tambahnya, perasaan melihat sendiri proses kelahiran sehinggalah anaknya menjengah dunia tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan sebak dan terharu saling berbaur terutama ketika menyambut si anak untuk diazan dan dibacakan iqamah ke telinganya.
Rumah baru
Hari Raya lalu, Zul dan isterinya beraya di utara. Bermula di rumah ibu bapa masing-masing di Ipoh, mereka kemudiannya merentas Perlis dan Kedah untuk memenuhi jemputan kahwin. Setelah pulang ke rumah pada hari Ahad, mereka bercadang untuk mengemas rumah pula kerana mereka baru sahaja berpindah ke rumah baru di Subang Permai beberapa hari sebelum raya lalu. Bagaimanapun, niat itu tidak kesampaian kerana Raihan dimasukkan ke hospital lebih awal.
“Itulah juga salah satu sebab mengapa kami lewat sedikit ke hospital walaupun dinasihatkan berbuat demikian pada sebelah petang. Kami tidak mahu keluarga yang datang berkunjung setelah saya bersalin nanti tidak selesa jika ia belum siap dikemaskan. Apa pun, seminggu selepas ini saya akan pulang ke rumah ibu bapa di Ipoh untuk berpantang di sana. Ibu bapa Zul pun tinggal tidak jauh, jadi mudahlah untuk mereka turut menjenguk nanti,” sampuk Raihan yang akan bercuti selama 60 hari sebelum kembali bertugas di Istana Budaya.
Pasangan bahagia ini turut meluahkan hasrat untuk mengadakan majlis kesyukuran dan cukur jambul kelak namun tempat dan masanya masih belum dapat dipastikan. Menyentuh tentang bilangan anak yang dirancang pula, mereka bercadang untuk menambah cahaya mata hanya setelah Arissa berumur sekurang-kurangnya dua tahun.
“Kalau boleh biarlah Arissa puas bermanja dahulu. Tapi kalau ditanya bilangan anak, saya menerima berapa sahaja pemberian tuhan kerana ia merupakan rezeki dariNya,” ujar Zul sambil diiakan Raihan.
Pepaya musim 2
Ditanya tentang perkembangan karier seninya, Zul menyatakan dia akan kembali ke lokasi penggambaran Pepaya 2 pada pertengahan bulan ini memandangkan sambutan hangat yang diterima daripada penonton TV3 terutamanya golongan kanak-kanak. Ternyata, sasarannya untuk lebih mendekati golongan kanak-kanak setelah berjaya dengan drama komedi Kaber Hero Kaber Zero sebelum ini berjaya dilakukan.
“Memang saya lebih suka dengan cerita yang dekat dengan kanak-kanak kerana pada masa yang sama, pelbagai nasihat boleh diberikan kepada mereka biarpun menerusi komedi. Selain itu ada juga tawaran lain yang datang tapi seperti mana cara kerja saya sebelum ini, saya akan menyudahkan satu-satu projek terlebih dahulu sebelum memberi perhatian pada yang lain. Sekarang pun badan saya semakin kurus kerana kerja yang sangat banyak dan kadangkala tidak mengira masa. Restoran (di seksyen 13, Shah Alam) pun masih belum dibuka lagi kerana terlalu banyak perkara yang perlu saya uruskan buat masa ini. Insya-Allah, sehari dua lagi ia akan beroperasi seperti biasa,” akhiri Zul.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment