
Ketika dikunjungi Sinar Harian kelmarin, Emma sedang berpuasa kerana perlu menjalani pembedahan bagi membetulkan tulang hidungnya yang bengkok. Menurutnya, pembedahan itu perlu dilakukan dengan segera kerana tulang rawan yang lembut pada hidung akan mengeras dan kian susah untuk dibetulkan jika dibiarkan lebih lama lagi. Jika ini berlaku, dikhuatiri ia mampu mempengaruhi kariernya kelak.
“Ini hanyalah pembedahan minor sahaja namun menurut doktor, ia tetap berisiko tinggi memandangkan saya merupakan penghidap asma kronik sejak kecil. Meskipun pembedahan memakan masa setakat 15 hingga 20 minit, ubat bius yang dikenakan akan berkesan sehingga tempoh dua jam. Dikhuatiri jika saya tidak sedar dalam tempoh berkenaan, saya mungkin mengalami koma,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, sambil mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang mengenalinya jika ditakdirkan berlaku perkara yang tidak diingini.
Syukurlah, Emma yang kembali dihubungi semalam menyatakan pembedahan berjalan dengan lancar dan dia dijangka akan pulang ke rumah petang ini.
Selain bergelar pelakon, Emma juga menceburkan diri dalam bidang peragaan dan giat berlakon iklan; antaranya untuk syarikat telekomunikasi Celcom dan Tahun Melawat Singapura di samping menjadi duta bagi produk kecantikan Lumiglow.
No comments:
Post a Comment