Album baru...

ALBUM: Black Dog Bone vs Carefree
ARTIS: Black Dog Bone & Carefree
GENRE: Pop

PENGGEMAR muzik pop 70-an pastinya sukar untuk menyisihkan ingatan manis mereka terhadap dua band yang mencipta populariti luar biasa dekad itu.

Secara kebetulan, Black Dog Bone dan Carefree memulakan karier mereka dengan bermain gigs di kelab malam sekitar Kuala Lumpur dan Singapura.


Mereka bagaikan menyimpan persamaan apabila komposisi ahlinya terdiri daripada pemuzik pelbagai kaum, menggambarkan muzik menyatukan insan tanpa mengenal bangsa dan agama.

Carefree dianggotai Jay Jay, Charlie, Wan, Boy, Nana, Lockman dan Rahim. Mereka mula mencipta populariti lewat lagu Rindu Bayangan pada 1979. Lagu itu juga menjuarai carta LPMI di rangkaian Nasional RTM selama 13 minggu berturut-turut.

Menerusi album pertama, Kebebasan, Carefree mengukuhkan populariti apabila lagu Dendangan Laguku dan Joget Mak Enon mendapat sambutan hangat pendengar.

Bagaimanapun, populariti tidak membawa mereka untuk bertahan lama dalam industri. Selepas menghasilkan empat LP, Carefree membawa haluan masing-masing.

Jay Jay muncul sebagai antara penyanyi lelaki solo berpengaruh pada dekad 80-an dan 90-an, manakala Rahim Othman pula bergerak di balik tabir. Sentuhannya mempopularkan band baru seperti Gersang dan Exists.

Black Dog Bone pula terlebih dulu menceburi bidang muzik. Mula merakamkan album pertama bersama EMI Singapore pada 1977, Si Gadis Ayu memperkenalkan mereka dengan lagu antaranya Geram, Joget Bujang Di Rantau dan Hatiku Luka Lagi.

Bersama EMI, mereka menghasilkan empat LP iaitu Khayalan, Dulu dan Sekarang, Bahagia dan Derita serta Diskorama. Kesemua penerbitan album itu mendapat sentuhan S Atan.

Pengaruh yang dicipta dua kumpulan ini mendesak Box Office Sdn Bhd untuk menyatukan mereka pada sebuah konsert khas di Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Bagaimanapun, atas beberapa sebab Carefree terpaksa menarik diri dan hanya Jay Jay muncul solo di pentas yang menyaksikan limpahan lagu popular mereka dialunkan.

Membawa kenangan manis itu, Warner Music menghadirkan kompilasi yang menyatukan dua kumpulan ini dalam sebuah album khas.

Carefree hadir bersama 16 lagu antaranya Rindu Bayangan, Belaian Jiwa, Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Joget Mak Enon, Joget Teruna Dara dan Joget Anak Gembala.

Peminat Black Dog Bone pula bakal dihiburkan dengan lagu Si Gadis Ayu, Dulu Dan Sekarang, Diganggu Kenangan, Hatiku Luka Lagi, Khayalan, Geram, Hari Dan Esok, Di Saat Perpisahan dan Sayang.

Kata Hip:
PILIHAN lagu malar segar yang membangkitkan nostalgia kerana nyanyian dua kumpulan ini tidak pernah ‘mati’ atau jemu dihayati.



ALBUM: Memori Hit Razis Ismail
ARTIS: Razis Ismail
GENRE: Pop

WAJAH kacak anak kelahiran Pulau Pinang ini menghantui peminat pada awal dekad 80-an. Razis Ismail mula menjadi sebutan selepas diperkenalkan komposer, Akbar Nawab.

LP pertamanya, Hadirmu Membawa Sinaran hadir pada penghujung 1982. Suara romantisnya menjadi pujaan ramai, lantas melonjakkan namanya. Razis turut menjadi igauan apabila merakamkan semula lagu Penawar Rindu yang dinyanyikan Taufik Ali.

Populariti memuncak namun Razis enggan menampilkan kisah peribadinya membuatkan kelibatnya sentiasa dinanti peminat terutama menerusi program hiburan popular seperti Puspawarna dan Hiburan Malam Minggu.

Pada 1985, kejayaan mengekori Razis apabila lagunya, Mawar Bukan Milikku menjuarai carta LPMI Rangkaian Nasional.

Kemuncak kejayaan Razis dikecapi apabila penyanyi ini menerbitkan album kelima, Kepulangan yang meletakkan namanya pada kedudukan selesa.

Kali terakhir muncul bersama album keenam, Terserah pada 1987 terbitan Manan Ngah, Razis akhirnya menyepikan diri selepas mendirikan rumah tangga.

Lebih selesa menjalani kehidupan privasi dengan menjalankan perniagaan perusahaan makanan, nama Razis dengan seraut wajah manisnya tidak pernah terhakis daripada ingatan peminat.

Mengembalikan memori terhadap penyanyi ini, kompilasi khas diterbitkan bersama 32 lagu pelbagai rentak seperti pop, balada, asli dan joget yang menyerlahkan kredibilitinya di pentas seni.

Selain Akbar Nawab dan Manan Ngah, Razis pernah bekerjasama dengan Booty Boys, Omar Taib, Kenny Tay dan Jay Jay.

Kata Hip:
MASIH terkesan dengan lagu Kepulangan yang disampaikan Razis. Alunan romantis suaranya menyentuh perasaan membuatkan lagu itu tidak jemu dinikmati biarpun sudah mencecah lebih dua dekad.



ALBUM: Rhydian
ARTIS: Rhydian
GENRE: Pop Klasikal

RHYDIAN Roberts mencipta nama selepas menamatkan perjuangannya dalam pertandingan realiti, X Factor di United Kingdom. Bakat luar biasa Rhydian membawa langkahnya untuk bertahan lama dalam pertandingan itu, namun malang kerana kelebihan itu gagal mencuri perhatian peminat apabila Leon Jackson sebagai pemenang.

Menerusi produksi pertama ini, Rhydian diberi penghormatan untuk bekerjasama dengan komposer dan mentor seperti Steve Mac, Desmond Child, Per Magnusson dan David Kreuger.

Menerima latihan dalam nyanyian klasikal membuatkan ramai meluahkan pandangan ia bukan langkah terbaik untuk dia menggerakkan karier nyanyiannya.

Bagaimanapun, untuk percubaan pertama yang hadir selepas hampir setahun dia menamatkan perjuangannya, Rhydian selesa mengambil langkah selamat.

Tidak terlalu mencuba sebaliknya album ini tampil dengan hanya sebuah rakaman terbaru, manakala 10 lagu lain adalah rakaman semula.

Tindakan yang barangkali mengecewakan sebahagian besar peminatnya kerana Rhydian pernah berjanji untuk tidak menghasilkan album penghargaan X Factor. Sebaliknya itu yang dilakukannya untuk produksi pertama.

Antara lagu yang ditampilkan dalam produksi ini adalah Bridge Over Troubled Water, Somewhere dan What If duet bersama bintang Broadway, Idina Menzel.

Kata Hip:
SEBUAH album yang tidak menyerlahkan sepenuhnya kredibiliti Rhydian sebagai artis rakaman. Ada ketika dia berlebihan membuatkan pesona yang diciptanya sepanjang pertandingan itu sedikit tersirna.

No comments: