Jawablah!: Tak perlu melenting, melatah

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


MISHA nafi luahan perasaan tidak puas hati pengurusnya dalam Facebook baru-baru ini ditujukan kepada Kak Engku.

Luahan kakak Misha Omar dalam laman sosial Facebook tidak merujuk kepada sesiapa

BENARKAH penyanyi Misha Omar mempunyai masalah dengan pengacara serta penyampai radio terkenal, Raja Azura atau Kak Engku? Khabarnya pertelingkahan ini tercetus apabila pengurus serta kakak kepada si pelantun Bunga Bunga Cinta itu dikatakan tidak berpuas hati dengan Raja Azura yang didakwa mengeluarkan cerita kurang baik mengenai Misha ketika penyanyi itu sedang menjayakan sebuah program televisyen.

Dan luahan perasaan tidak puas hati itu ditulis Mimie di laman sosial terkenal Facebook miliknya. Antara inti pati yang ditulis Mimie di statusnya itu adalah dia meminta kepada seseorang itu supaya menghentikan segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas artisnya itu.

Justeru dalam satu temu bual menerusi akhbar sisipan Bintang Popular Ahad lalu, Raja Azura memberikan komen terbuka terhadap tindakan dua beradik itu. Malah, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Pendekar itu juga kesal dengan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah itu.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Misha menafikan luahan kakaknya itu ditujukan kepada Kak Engku. Sambil menegaskan apa yang dikatakan kakaknya itu sebagai sekadar luahan peribadi, tegas Misha dia bukanlah seorang yang bersikap kacang lupakan kulit dan masih mengenang jasa Kak Engku yang pernah membimbingnya untuk bergelar pelakon suatu waktu dulu.

Hip: Adakah luahan yang ditulis pengurus Misha, Mimie di laman sosial Facebook itu sebenarnya ditujukan kepada Kak Engku?

Misha: Saya akui memang Mimie ada menulis sesuatu di status Facebooknya baru-baru ini dan bagi saya, itu adalah sekadar luahan peribadi dirinya dan dia tidak menujukan perasaan tidak puas hatinya itu kepada sesiapa. Justeru apabila Kak Engku memberikan reaksi seolah-olah individu yang dimaksudkan Mimie itu adalah dirinya, kami jadi pelik. Dia sebenarnya tidak perlu melenting atau melatah. Lainlah kalau kami menyebut secara jelas orang itu adalah dirinya, barulah dia boleh memberi komen. Apabila cerita seperti ini tersebar, apa yang orang akan nampak adalah kami berdua beradik ini yang jahat.

Hip: Kalau begitu siapa yang pengurus Misha maksudkan?

Misha:
Kalau awak ada baca status itu, saya rasa tentu awak sendiri boleh merasakan yang ia adalah sekadar luahan secara am. Tidak ditujukan kepada mana-mana individu tertentu. Akan tetapi ia lebih menjurus kepada mereka yang selama ini suka melemparkan fitnah dan tohmahan kepada saya.

Sebagai pengurus dan juga adik beradik kandung, sudah tentu dia cuba untuk menjaga produknya ini dengan baik. Lebih-lebih lagi apabila produknya itu adalah darah dagingnya sendiri. Justeru, apabila dia mendengar ada pihak yang cuba menyiarkan cerita kurang baik mengenai saya dan ia memang tidak benar, jadi tidak salah kalau dia mencurahkan perasaan kesalnya itu di laman Facebook. Lagipun sekarang ini memang sudah menjadi trend orang menggunakan Facebook untuk meluahkan perasaan. Dan secara tidak langsung, menerusi komentar yang diberikan terhadap status itu, sekurang-kurangnya lega sedikit perasaan. Malangnya, ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap luahan itu dan bertindak serkap jarang. Itu yang membuatkan hal ini menjadi besar.

Hip: Misha bersedia sekiranya Kak Engku ingin mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi ini?

Misha:
Saya tidak kisah. Beginilah, seperti yang dinyatakan Kak Engku dalam artikel itu kalau betul dia ada melakukan kesilapan, kenapa tidak menghubunginya sendiri dan itulah juga pendirian kami. Kalau betullah orang yang dimaksudkan itu adalah Kak Engku, buat apa nak luahkan perasaan menerusi internet. Lebih baik kami bersemuka dengannya secara profesional. Itu lebih baik, orang tidak tahu dan cerita ini tidak tersebar. Sebagai seorang artis yang baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan pengacaraan, saya akui jasa Kak Engku dalam membimbing saya sebelum ini memang saya hargai. Itu memang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Saya harap isu ini tidak akan dipanjang-panjangkan kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Lagipun, dalam hari baik bulan baik ini, saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa.

Hip: Misha risau akan dituduh sebagai kaki gaduh selepas ini?

Misha:
Sudah tentu. Lebih-lebih lagi apabila membabitkan hal remeh temeh seperti ini. Apa yang boleh saya katakan, semua ini berlaku hanyalah disebabkan salah faham. Betul kata orang, teknologi memang memudahkan kalau kena pada caranya. Tetapi, kalau disalah guna, beginilah jadinya. Sepanjang tujuh tahun saya bergelar artis, saya tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Untuk apa saya menjerat diri dengan tindakan yang boleh menjatuhkan karier saya dan membuat diri ini di mata peminat? Saya harap selepas ini tidak ada yang cuba untuk melaga-lagakan kami atau dengan sesiapa saja.

Hip: Mungkin ini berlaku kerana Misha sekarang sudah jadi anak emas RTM. Jadi ramai yang cuba sabotaj kerana cemburu.

Misha:
Saya tidak merasakan sebegitu dan ingin saya tegaskan di sini yang saya bukanlah anak emas RTM. Saya sendiri tidak menyangka yang rezeki saya akan lebih banyak tertumpah di sini. Saya melihat perkara itu lebih kepada rezeki. Bagi saya, tak salah jika RTM memberikan peluang kepada produk yang dilahirkannya. Lihat saja Datuk Siti Nurhaliza, walaupun bukan sebagai pengacara tetapi bagi menghargai bakatnya sebagai penyanyi nombor satu, dia diberikan slot oleh RTM untuk menerbitkan rancangan. Begitu juga dengan Dia Fadilla dan Izwan Pilus. Mereka juga turut diberikan peluang yang sama rata macam saya. Lagipun, baru-baru ini saja rezeki saya bersama RTM datang mencurah-curah. Apapun, saya bersyukur atas kurniaan ini.

Ally tak marah Fasha

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Ally Iskandar

"SELAGI Fasha tidak membuat pengakuan secara lisan kisah empat lelaki yang melamarnya, selagi itu saya tidak percaya dia yang bertanggungjawab menulis kisah itu di laman myspacenya," demikian kata personaliti TV3, Ally Iskandar mengenai pendedahan pelakon sensasi itu dalam laman myspace empat lelaki yang pernah melamarnya.

Selain Ally Iskandar, tiga jejaka lain yang dinyatakan pelakon itu dalam myspace pernah melamarnya ialah penunggang negara, Qabil Ambak; bekas suami pelakon Nora Danish, Rizal Ashram serta seorang VVIP dari negara jiran, Brunei Darussalam.

Ally yang pernah berkawan rapat dengan pelakon sensasi itu selama setahun menafikan dia cuba menyelamatkan nama baik pelakon berkenaan, tetapi katanya kecanggihan teknologi memungkinkan pelbagai kejadian tidak diingini daripada berlaku.

"Sesiapa saja boleh menceroboh masuk dan menulis mengikut sesuka hati mereka saja di internet. Oleh sebab itu, selagi Fasha tidak mengesahkan sendiri kebenaran cerita itu secara lisan, selagi itu saya tidak mempercayai dakwaan berkenaan dan tiada apa yang perlu saya marahkan.

"Saya tidak mahu memberikan kenyataan lebih-lebih mengenai tulisan berkenaan kerana saya tidak mahu memanjangkan cerita. Saya tahu mengenai kisah itu pun melalui rakan yang datang bertanya, tidak lama selepas itu saya sendiri menerima e-mel yang dimajukan rakan kisah yang kononnya ditulis Fasha itu.

"Secara jujur saya tiada sebarang perasaan sewaktu membaca e-mel itu, tidak terkejut dan tidak pula melenting. Hanya orang yang mengenali Fasha saja yang tahu orangnya macam mana, jadi kita nak marah pun tak boleh, nak terkejut pun tak boleh. Buat apalah nak dipanjangkan cerita ini kerana bagi saya kisah itu tidak mendatangkan manfaat kepada orang yang dikaitkan dalam cerita itu," kata Ally ketika dihubungi.

ALLY tidak menafikan keakrabannya dengan Fasha.

Ditanya apakah dia pernah melamar pelakon itu, Ally berkata, sepanjang berkawan selama setahun dengan pelakon itu, mereka tidak pernah membincangkan hal yang menyentuh mengenai hati dan perasaan secara mendalam. Perbualan mereka tidak lebih sekadar perbualan biasa seperti dengan rakan yang lain.

Ally tidak kisah jika peminat mahu membuat sebarang spekulasi mengenai pengakuannya kerana baginya mereka berhak untuk bersuara. Yang penting ujar pengantara program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI), hanya dia yang tahu apa yang berlaku.

"Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan cerita itu. Jika saya nafikan nanti lebih banyak lagi spekulasi yang akan timbul. Lagipun apa pula kata keluarga saya, keluarga dia dan Fasha sendiri jika kisah ini dibesar-besarkan.

"Jadi terpulanglah kepada orang untuk membuat apa saja spekulasi, biarlah mereka hendak kata apa kerana hanya saya yang tahu apa yang berlaku," kata Ally lagi.

Bagaimanapun, Ally tidak menafikan sepanjang perkenalan itu, dia bukan saja rapat dengan Fasha tetapi juga dengan seluruh anggota keluarga aktres berkenaan iaitu ibu bapa serta adik-beradiknya yang lain.

Bagaimanapun, menurut Ally, keakrabannya dengan Fasha tidak lebih sekadar sahabat sama seperti dia melayan rakannya yang lain. Biarpun mengaku rapat, mereka jarang dapat bersua muka kerana kesibukan Fasha sebagai pelakon popular ketika itu.